Auto Feed Blog

Batal

Thursday, December 13, 2012 Fendi Rocka 4 Comments

Masa tu waktu subuh sudah berdiri di hujung tanduk, aku baru selesai mandi. Aku selak daun pintu, nampak isteri aku yang tersayang sedang baring berlunjur kaki. Aku ni jenis tak boleh tengok benda-benda comel hidup tenang, contohnya aku suka kacau bayi tidur atau usik benda-benda comel seperti buku-buku yang tersusun, dan kaki yang berlunjur tu pun nampak elok je kat situ..maka tak boleh dibiarkan begitu saja, aku pun geletek tapak kaki tu sambil bersedia nak solat.

Tahu-tahu je isteri aku sound "kan dah amik air sembahyang tadi?". Aku sebagai perujuk kepada mazhab Shafie, maka batal lah wuduk. Itu kali kedua terbatal atas sebab yang sama kategori dalam tempoh 24 jam. Tersengih dalam penyesalan aku dibuatnya. Hikmahnya, biasakanlah diri pada hakikat bahawa bersentuhan suami isteri membatalkan wuduk. Omaimai.

4 comments:

Permata

Tuesday, December 11, 2012 Fendi Rocka 1 Comments

Ramai juga orang yang bertanya tentang persediaan aku sebelum akad, mungkin sebab aku nampak relaks masih bekerja walaupun esok adalah akad..padahal aku sebenarnya dalam keadaan risau juga, cuma aku sibukkan diri aku dengan hal -hal lain.

Lafaz akad nikah tu aku tak gusar sangat, tapi aku gusarkan pada soalan cepu-emas dari kadi nanti, kerana sesetengah kadi akan menguji soalan yang boleh buat basah dahi dan ketiak, sebagaimana yang dimomokkan oleh masyarakat kita lah.

Takut juga aku kalau ditanya soalan yang bukan kearifan aku, contohnya doa selamatkan diri dari binatang buas atau disuruh betulkan peti televisyen. Dalam pada tu aku sediakan juga helah-helah jawapan kalau ada soalan yang aku tak berapa tahu nak menjawab.

Juga tak dilupa aku cuba mempraktikkan senyuman yang paling tenang, supaya bila berhadapan dengan kadi nanti aku nampak bersedia dan tenteram, dengan harapan kadi ada keyakinan pada aku tanpa perlu buat ujian yang berat-berat.

Hari demi hari, pada saat yang dimimpi, di bilik nikah tersebut, aku lemparkan senyuman yang bergetaran, ketenangan yang belum ranum, lalu kadi punya bertanyalah satu soalan."Kamu asal dari mana? Andai ikut apa yang diceramahkan kepada aku masa kurus kahwin dulu, mahu saja aku menjawab asal kita dari tanah. Atau boleh saja aku petik satu surah yang aku google kan maksudnya.

"Bukankah dia dahulu setitis air mani yang ditumpahkan (ke dalam rahim). Kemudian mani itu menjadi segumpal darah, lalu Allah menciptakannya, dan menyempurnakannya. Lalu Allah menjadikan daripadanya sepasang: laki laki dan perempuan. Bukankah (Allah yang berbuat) demikian berkuasa (pula) menghidupkan orang mati?“ (surah al-Qiyamah: ayat 36-40)

Setelah mencatur-catur, aku menjawab "Saya asal dari Port Klang". Kemudian akad nikah berjalan dengan lancar. Alhamdulilah, berkat doa, ia dipermudah. Tanda satu perjalanan kehidupan berkeluarga yang baru hendak bertatih. Ceewah!

Yang Benar,
Fndrocka & Isteri yang sedang memotong carrot.

1 comments:

Tarikh

Friday, November 16, 2012 Fendi Rocka 4 Comments

Hari tu ada seeorang rakan sepejabat datang kepada aku, dengan suara santun dia memuji kekacakan aku yang misteri,aku separuh sengih, benda begini memang aku dah arif..memang dia nak tukar hari cuti dengan aku, aku ronyok-ronyok pujian tu kemudian masuukan semula ke mulutnya. Rakan sepejabat tu lantas menyatakan objektif sebenarnya, berserta tarikh terperinci penukaran hari cuti yang hendak dimohonnya, rasanya dia nak tukar sebab pakciknya nak kahwin, pakcik ke sepupu aku pun dah tak berapa nak hafaz.

Mendengar saja tarik cuti tersebut, terus aku lipat-lipat kembali kata-kata yang memanculkan tarikh tu dan memasukkan semula ke mulutnya. Aku sebenarnya seorang yang sangat mudah bertolak-ansur dan tidak berkepentingan sangat dalam memilih/tukar hari cuti ni, tetapi tarikh yang dia sebutkan tadi adalah satu tarikh yang keramat, yang begitu penting bagi aku, di mana ianya sama sekali tidak boleh ditukar atau diganti-ganti dengan mana-mana tarikh lain. Lalu aku katakan maaf pada rakan sepejabat kerana terpaksa mengecewakan.


Tarikh yang aku maksudkan itu adalah tarikh di mana aku perlu menghadiri majlis hari perkahwinan seorang perempuan yang begitu aku kasihi. Ini bukan soal aku kena juga datang majlis orang yang aku kasihi tu sebab nak jaga hati, ini lebih daripada itu. Orang yang aku kasihi ni walaupun tidak bertahun-tahun atau berabad aku kenali, tapi rasa kasih itu beranak-pinak bagai tiada masa hadapan lagi. Nama pun dah kasih, jadi jatuhlah hukum wajib untuk aku datang dan hadiri majlis tersebut, sampaikan kalau dirujuk pada mana-mana ustaz pun kalau aku tak datang, majlis tak jalan.


Mengenangkan hari majlis tu pun, aku rasa seronok, manakan tidak..melihat orang yang kita kasihi bertemu jodoh,alangkah untung dapat menumpang gembiranya. Orang yang aku kasihi itu adalah seorang wanita, seperti wanita lainnya juga, wanita ini punya kecantikkannya yang tersendiri, kecerdikannya yang tersendiri, kelembutan yang tersendiri..keistemewaanya yang tersendiri. Dan seperti kisah klise setiap wanita, dia juga punya emosi seorang wanita, yakni kalau aku tak hadir ke majlis dia nanti, habislah aku dimarahinya. 


Marahnya kadang seperti marah-marah semut, kadang marahnya seterik mentari tengahari, itu bergantunglah pada metafora yang terlintas…kalau kucing yang melintas..maka marah-marah kucinglah jadinya.kalau ayam yang melintas…maka marah-marah ayam lah jadinya, begitulah seterusnya. Nasib baiklah dinosaur dah pupus dan dengar kata dah jadi petroleum sekarang.


Walau apapun, dia punya perkara pokok adalah aku adalah orang penting dalam majlis tersebut. Nak dipendekkan cerita, mengenangkan dia akan jadi milik orang tak lama lagi,orang yang dia kasihi..sebenarnya timbul juga rasa sendu di hati,rasa hempedu pun ada, yelah...lepas dia dah berpunya mungkin dah jarang boleh meluang masa, tapi..tapi..tapi mengenangkan pula orang yang dikasihinya tu sebenarnya adalah aku, yang rasa sendu tadi, yang rasa hempedu tadi terus aku kunyah-kunyah dan aku ludahkan ke tepi. Moga rasa manis pula yang mendatang. 





Since you cannot do good to all, you are to pay special attention to those who, by the accidents of time, or place, or circumstances, are brought into closer connection with you. -Augustine of Hippo 

4 comments:

An-gka

Wednesday, October 31, 2012 Fendi Rocka 0 Comments


Semasa aku buat pemeriksaan kesihatan kat klinik, tiba-tiba aku ditanya tentang umur mak dengan ayah aku, aku tersengih tanda blur. Hal-hal yang melibatkan angka ni memang aku tak jaguh. Bila dah tengok nombor kad pengenalan mereka barulah boleh buat kira-kira, itupun bukan aku yang kira, orang lain yang kira. 

Pernah sekali aku buat pesanan makanan mekdi melalui telefon, bila tang nak bagi alamat aku boleh ragu-ragu pulak dengan nombor rumah. Kemudian, aku bergegas ke depan rumah untuk melihat nombor yang tertera di muka pintu. Nasib baik awek mekdi tak nampak muka aku melalui telefon, takdelah aku tersipu-siput sangat dibuatnya,

Dan yang paing parah sekali, kes baru-baru ni lah, aku belum cerita lagi kat orang sebab kalau aku cerita nanti aku malu sendiri, jadi aku simpan untuk aku tulis kat sini untuk diceritakan secara esklusif. Nak kata esklusif sangat sangat tu takdelah, ala-ala buka pekung di dada pun ada jugak sebenarnya.

Ceritanya begini, aku hari tu singgah ke Jusco AU2, niat aku nak beli CD lagu-lagu untuk bubuh dalam kereta, setakat ni kereta aku hanya ada CD lagu Opick dengan Rahmat, manalah cukup nak dengar dua CD tu je, nanti bosan pula, kalau dah bosan boleh mendatangkan kemarahan, bila dah datangkan kemarahan itu boleh buat syaitan gembira, penyelesainnya aku kena cari CD baru.

Malangnya Jusco AU2 adalah shopping Mall pertama yang aku pergi takde kedai CD. Aku tanya kat kaunter pertanyaan pun takde, dasyat. Dalam pada aku kecewa takde kedai CD, aku dengar satu pengumuman kat speaker shopping Mall, yang selalu ada pengumuman pasal budak hilang atau kereta parking block jalan orang. Kali ni aku dengar tukang cakap tu mintak pemilik kereta bernombor plat sekian sekian sekian untuk ke kereta dengan segera.

Aku termenung sekejap, aku rasa tu macam nombor plat aku, tapi aku tak pasti 100%, tapi macam mirip nombor plat aku, huruf yang depan dah betul..tapi angka dibelakang mengelirukan aku. Aku fikir fikir balik, rasanya aku dah parking elok dah tadi. Pada ketika itu, telah datang ke dalam diri aku satu perasaan untuk sms kawan yang tahu nombor plat aku, sebab aku nak confirmkan, malaslah aku nak pergi ke kereta dengan segera tapi karang sebenarnya bukan kereta aku, tapi aku malu pulak nak sms.

Aku tenung talifon bimbit, aku bukak album foto dalam talifon bimbit, aku cari kut kut ada gambar kereta aku pastu bolehlah aku tengok nombor plat, tapi rupanya takde pun gambar kereta aku. Damn, parah sangat aku ni nombor plat kereta tak ingat, bangang sangat dah ni, aku kutuk diri sendiri sambil menuju ke kereta.  Dua tiga bakul kutukan jugaklah yang terkumpul. 

Bila sampai kat kereta, aku perati nombor plat memang sama macam yang diumumkan di shopping mall tadi, aku perati pulak apa salah kereta ni sampai disebut nombor platnya di shopping mall, dari segi luaran nampak macam sebuah kereta yang tak berdosa, kemudian ada sorang Mamat tunjuk di bahagian depan kereta aku, rupa-rupanya aku tak tutup lampu. Terus aku bagi sebakul lagi kutukan buat pesanan kepada diri sendiri, kutukan membina lah agaknya.

0 comments:

An-jing

Wednesday, October 24, 2012 Fendi Rocka 0 Comments


Hari ni aku nak cerita pasal anjing, cerita pasal anjing ni aku dah post kat facebook beberapa hari lepas, tapi sekarang aku koleksikan lah kat sini, kalau hanya suka update facebook tak update blog sendiri..itu hanya menguntungkan Mark Zurkerberg saja ye tak.

Selama ni, aku sememangnya tak pernah apa-apa hubungan dengan mana-mana anjing, tak pernah menyimpan sebarang perasaan kat mana-mana anjing, sehinggalah terjadinya satu peristiwa yang menyebabkan aku mula bersangka buruk terhadap anjing.

Semasa aku nak ker parkir kereta, 2 ekor anjing telah menghalang perjalanan aku, dia buat bunyi anjing kat aku dan cuba menerpa, walaupun agak gelap tapi masih boleh nampak giginya yang membuka, sikit lagi nak dikejarnya aku, nasib baik aku cepat-cepat ubah buat muka garang...terus dia patah balik, syukur alhamdulilah.

Cuma isunya sekarang, kegarangan aku bukannya berkadar terus, mungkin hanya kebetulan riak muka yang aku pamerkan pada ketika itu itu boleh bertukar garang, kerana kebiasaanya muka aku adalah berkonsepkan  penyayang dan orang yang cintakan keamanan.(question mark)

Abis tu, takkan aku nak senyum tunjuk gigi kat anjing, aku tak rasa senyuman aku boleh melembutkan hati anjing, bukan semua anjing dilahirkan boleh mengenal senyuman yang menawan. Terfikir jugak nak selit pisau rambo kat kaki, manalah tahu berguna di kemudian hari. Tapi tak elok jugak gitu, tak menepati konsep penyayang dan cintakan keamanan.

Bila aku ingat-ingat balik, ada satu brader bagi aku satu lagi senjata yang berguna, senjata tu bukan saja berguna kat anjing, kalau perguna kat mana-mana situasi sama waktu dengannya pun boleh gamaknya..senjata tu berupa beberapa potong ayat dari kitab suci. Lagi tajam dari pisau rambo lah tu aku rasa. 

0 comments:

Fight For Your Dreams

Tuesday, October 16, 2012 Fendi Rocka 1 Comments

Untuk tujuan catatan, rumah yang aku sewa ni punyalah dekat dengan ofis. Punyalah dekat sampai kalau aku cuti pun aku akan ke ofis, nak elak untuk tak datang ke ofis atau elak untuk berjumpa dengan ofismate pun adalah sukar, sebab ofis ni dah macam halaman rumah aku. Bila orang tanya cuti kenapa datang ofis, aku cakaplah ini halaman rumah aku. Tambahan pula dia terletak depan rumah aku, jadi nak tak nak, aku akan ke arah ofis jugak, parking kereta pun depan ofis.

Jarak yang dekat dengan tempat kerja ni memang ada banyak pro nya, terutama dari aspek pengangkutan dan masa. Cuma bila dah dekat sangat, kadangkala akan ada rasa rimas. Bila 5 minit je dah sampai rumah, bau-bauan ofis tu masih melekat kat badan. Jadi, sebelum merebah badan ke katil, perlu mandi (harus) dan fokuskan kepada perkara-perkara yang bukan ofis, kalau boleh jangan menjengah ke tingkap, takut ternampak bangunan ofis.

Benda ni aku harus ingat dan amalkan supaya peristiwa semalam tak berulang. Balik kerja aku terus terjun tiruk ke katil. Kemudian sedikit demi sedikit aku dihayun ke alam mimpi.. alam mimpi tu aku jumpa ofismate aku..aku suka jumpa ofismate aku..tapi bila jumpa ofismate aku maknanya aku akan jumpa juga bos-bos aku..bila jumpa bos dgn ofismate dalam masa yang sama di dalam mimpi automatik lah apa yang aku mimpikan tu pasal kerja. Siap dengan meja kerja dan kes-kes yang perlu diselesaikan.

Pagi tu hangin lah aku bila bangun tido. Balik kerja seharusnya untuk tido dan berehat, tapi tak pasal-pasal  sambung buat kerja dalam mimpi. Kalau hidup tak indah mana sekalipun, biarlah mimpi indah..mimpi kerja apa kejadah. Lagi satu hal, yang aku buat kerja dalam mimpi semalam tu, sapa nak bayar? 8 jam tu. Diharapkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dapat beri perhatian terhadap kes saya ni.



"Life is full of beauty. Notice it. Notice the bumble bee, the small child, and the smiling faces. Smell the rain, and feel the wind. Live your life to the fullest potential, and fight for your dreams" - Ashley Smith

1 comments:

Sssejuk

Monday, October 15, 2012 Fendi Rocka 4 Comments


Masa aku bekerja di tempat lama dulu, banyak kali terdetik di hati aku untuk hantar resign letter on the spot disebabkan kesejukan di ofis yang tak patut. Setiap kali terdetik, aku pendamkan saja sambil menahan sejuk ke tulang belulang aku, ada satu ketika aku siap merayu lagi kat penghawa dingin supaya meninggal dunia, sampailah aku dapat offer dari tempat kerja sekarang. Tapi kalau itu aku anggap sebagai kemerdekaan dari kesejukan yang tak patut, aku silap. 

Kerana tempat kerja aku sekarang pun masih beriklim sejuk. Bagi yang sedang membayangkan aku bekerja di Eropah atau di Cameroon Highland sila pulang ke pangkal jalan, kerana kesejukan yang aku rasai bukanlah kesejukan alam yang semulajadi, tapi adalah kesejukan penghawa dingin. Cuma kali ni aku kurang sikit nak fikirkan untuk hantar resign letter on the dot, kerana kat sini bayarannya memuaskan bagi aku.

Sebagai alternatif, pencarian rezeki aku banyak bergantung pada sweater atau jacket atau cardigan yang aku pakai. Bukan saja rezeki, malah kesihatan badan aku juga boleh terjejas disebabkan iklim yang tak sesuai dengan aku. Bila aku google tips untuk tahan sejuk, jawapannya lebih kurang suruh aku pakai sweater jugak. Selain tu, aku ada juga gerak-gerak tak tentu hala kat ofis supaya badan panas, tapi kang terlebih tak tentu hala dapat bahana pulak dari bos.

Nak tak nak, aku kena cuba untuk mempertingkatkan ketahanan sejuk aku, belajar atau berlatih supaya badan aku lebih tebal, kalau nak dibandingkan dengan orang lain, ketahanan aku berada di tahap yang rendah, lebih-lebih lagi bila nak dibandingkan dengan amoi-amoi berseluar pendek yang pergi tengok wayang, aku yang bersweater pun pundi kencing bergetaran..tapi dorang buat tak tahu, aku ingat nak jadikan dorang sifulah.



“Being soaked alone is cold. Being soaked with your best friend is an adventure.” 
― Emily Wing Smith, Back When You Were Easier to Love



4 comments:

Punctual

Tuesday, October 09, 2012 Fendi Rocka 2 Comments

Bila kawan-kawan kita tak pernah punctual, kita seorang saja yang terkedek-kedek nak dapatkan punctual tu, terasa macam pendosa pula.

2 comments:

Hot Chocolate Untuk Sahabat

Tuesday, September 25, 2012 Fendi Rocka 1 Comments


Bicara ini untuk memujuk si gadis,
Bangun bangkit sudahi sisa tangis,
Biar sedikit-sedikit, asalkan semuanya habis,
Mari, lengkapi diri dengan senyum, manis,
dicemar digiris, masih kalis.
-----
Lepaskan segala, mula bersiram,
Bogelkan lara, luar dan dalam,
Cucikan diri padamkan dendam,
Sekejap nanti, wajah kau, hilang muram,
Sinar mata kau, takkan lagi kelam.
---
Di sini, berhembus aroma sarat,
dari secawan hot chocolate,
tiupkan semangat biar hangat,
hiruplah penuh tekad.
_


Dipurbakan oleh Fndrcoka pada September 14, 2011 at 11:41 am
(Didedikasi buat seorang sahabat bernama samaran A.Junkers)

1 comments:

1-2

Monday, September 24, 2012 Fendi Rocka 0 Comments

Setelah 5 perlawanan liga, aku masih menanti kemenangan pertama Liverpool pada musim ini. Dengan 2 seri dan 3 kekalahan, menduduki tangga ke-18 liga, adalah masih belum balik modal aku beli jersi original Liverpool dengan menggunakan duit tulen, atau, mungkin ni satu pelaburan bijak yang lambat matang (sedapkan hati). Menyaksikan Liverpool menentang pasukan yang kurang digemari Manchester United semalam, ianya merupakan satu perlawanan serba tidak menjadi buat pasukan Liverpool walaupun dominasi menyebelahi mereka, satu kad merah kepada Shelvey, memberikan sepakan penalti kepada Van Persie serta kecederaan kepada Agger dan Kelly melengkapkan malam malang Liverpool sambil aku menikmati nasi goreng Tom Yam di sebuah kedai melayu.  Tom Yam pun tak berapa nak menjadi.




0 comments:

Berkelana

Sunday, September 23, 2012 Fendi Rocka 0 Comments

Tiga hari dua malam berkelana di negeri Melaka, memberikan aku nafas yang segar dari hiruk pikuk dunia aku sendiri. Moga dengan kepulangan ini, dapat menjadikan aku lebih solid dari segi keutuhan tubuh badan dan keanjalan fikiran. Dikehendaki untuk beraksi di gelanggang selama beberapa jam, aku akur demi menimba ilmu dan kemahiran. Potensi dalam diri ini harus dipecahkan dengan sedikit keperitan.Natijahnyanya, muka aku menjadi sedikit merah setelah dibakar oleh keterikan cahaya matahari, pagi dan petang, menjadikan aku seperti seorang lelaki teruna yang blushing akibat diusik wanita muda.

“The most important thing we learn at school is the fact that the most important things can't be learned at school.”-HM


0 comments:

Dadah dari Jepun

Thursday, September 20, 2012 Fendi Rocka 0 Comments

Sejak pertama kali aku baca buku Haruki Murakami, langsung aku hilang spirit nak tulis review pasal buku. Biasa kalau lepas baca buku mesti ada rasa nak tuliskan atau kongsikan kat blog , tapi lepas baca buku Murakami terus rasa nak baca buku dia yang lain, dan lain, situasi ni dah berulang untuk buku Murakami yang ke berapa entah aku tak ingat. Nak habiskan baca pun rasa sayang, sebab takut untuk berpisah.Ini boleh diibaratkan..kalau baca buku Murakami dapat pahala, muka orang syurga aku ni gamaknya sekarang.


0 comments:

The Soul Of Money

Tuesday, September 18, 2012 Fendi Rocka 0 Comments


Miskin duit tak apa-apa,

Selagi tak miskin motivasi,
Bila motivasi dah papa kedana,
Si kaya pun nak bunuh diri.

Cari duit, buang duit,

Sampai bila mahu berhenti,
Cari duit sampai sakit,
Masih juga tak happy-happy,
Makin hari makin sedikit,
Biasalah kalau dah greedy.


Pasang resmi mencari rezeki,

Makin  diberi makin berbudi,
Walau disua  harga tinggi,
Kukuh Jiwa tak terbeli.

Duit punya cerita,

Menyentuh seribu satu emosi,
Takut, tamak, sengsara,
Gembira, suka, cemburu atau depresi,
Macam-macam ada,
Tepuk poket, rasai dompet sendiri.
Terus bangkit, bergetar suatu kuasa,
Jerit pekik..The soul of money!


Dipurbakan oleh fndrocka on October 7, 2011 at 11:51 pm

0 comments:

Cinta itu sifatnya memaafkan

Thursday, September 13, 2012 Fendi Rocka 2 Comments


Cinta itu sifatnya memaafkan,
Memaafkan itu tak lain tak bukan datangnya kerana cinta,
Orang yang pemaaf hatinya penuh cinta,
bagai berlian bertebaran di angkasa,
takkan habis walau dikutip dinoda-noda,
walau terpalit hitam suram berbalam-balam,
akhirnya putih bercahaya menyuci alam,
lembut berdepan kalut, senang dan menenangkan,
semuanya kerana cinta yang memaafkan,
yang masih ku cari dan ku dambakan,
dari bayangan kekasih masa hadapan...

 Fndrocka - August 31, 2011 at 11:01 am

2 comments:

Tuduhan

Wednesday, September 12, 2012 Fendi Rocka 0 Comments

Hari ni ada ofismate wanita tuduh aku amik telefon bimbit dia. Katanya takde orang lain lagi, mesti orang dekat-dekat situ juga yang amik atau sembunyikan..dekat-dekat situ tu dia tujukan kat aku, beriya sungguh dia kata aku amik, aku buat bodoh sebab aku ingatkan dia gurau-gurau dengan aku, lagipun aku tengah selsema dan ada kerja lain nak buat, tapi dia mintak jugak kat aku telefon bimbit dia, aku kata aku tak amik, dia mintak lagi, aku kata tak amik lagi, dia tanya lagi, aku jawab yang sama..

Seketika kemudian, barulah dia jumpa telefon bimbitnya, yang dari tadi dok ada kat tangan dia.

0 comments:

Auto

Monday, September 10, 2012 Fendi Rocka 0 Comments

"Kalau bilik yang bersepah dipandang sebagai seni, nyatalah aku adalah seorang seniman" tulis aku di status facebook beberapa minit yang lalu.

Malangnya perkara sebegitu tak berlaku, yang sering diiktiraf sebagai seni adalah bilik yang rapi susun aturnya, sedap mata memandang letak duduknya, bersih luaran dan dalamannya, cantik ruang dan pengisiannya. Seni hiasan dalaman ni bukan perkara main-main, ada yang pergi universiti nak belajar benda ni.

Tapi kan ke lebih canggih kalau bilik aku boleh automatik kemas dirinya sendiri. Aku sanggup menggadaikan seni untuk kecanggihan. Instead of kereta terbang, aku tak sabar nak lihat bilik atau rumah yang boleh mengemas dan mengurus dirinya sendiri...a smarthouse.




0 comments:

0.1

Sunday, September 09, 2012 Fendi Rocka 0 Comments

Kalau ikutkan hati, mahu je aku mohon cuti sebulan tanpa gaji untuk selesaikan hal-hal yang tersepit di pertengahan jalan, contohnya appointment dengan hospital, hal insuran kereta, hal lesen, hal kursus , hal habiskan baca buku 1Q84 dan hal nak install game Football Manager 2012 yang tak dapat dapat. Hal-hal ni sepatutnya dah selesai menjelang bulan ni, tapi dengan cuti mingguan yang tidak menentu macam tipis saja kebarangkalian untuk selesai.

Tapi tu kalau ikut hati aku lah, memang nak sangat cuti sebulan.. kalau hati bos pulak, kita tak tahulah dia nak bagi ke tidak, kalau dia nak bagi pun, kena tanya jugak dia nak bagi apa, bagi cuti atau bagi berhenti terus. Apa pun, aku rasa aku kena selidik juga perkara ni, manalah tahu zodiak bos aku bulan ni meramalkan dia akan jadi prihatin dan murah hati, walaupun keberangkalian untuk dia setuju mungkin 0.1 peratus, tapi tuah orang kita tak tahu ye tak.

0 comments:

Passion

Sunday, September 09, 2012 Fendi Rocka 0 Comments

aku biasa mendengar orang berduit berkata yang 'wang ringgit bukan segalanya' atau lebih kerap dalam english 'money is not everything'. mereka berkata jangan bekerja kerana duit, carilah 'passion' atau minat, barulah kerja kita betul-betul cantik dan bersemangat, untung-untung boleh kaya dan raya. 

Setuju. 

cuma dalam berkata mereka kadang lupa merasa bahawa orang tidak berduit bukan selalu dapat ruang dan peluang untuk berfikir atas landasan minat atau 'passion' atau jiwanya  ada atau kosong. Orang tidak berduit asalkan dapat mengisi perut nya, apa-apa pun dilakukan. Nanti bila dia sudah berduit bolehlah dia berkata seperti orang berduit tadi pula.

Bersambung..

0 comments:

zZz

Saturday, September 08, 2012 Fendi Rocka 4 Comments

kelmarin, aku keluar bersama teman sepejabat dan pulang agak lewat, aku sampai di muka pintu rumah dalam jam 3 pagi. aku seluk poket seluar di kiri dan di kanan, seluk ke dalam beg berkali-kali, kunci rumah tak dijumpai. aku kembali ke parkir kereta. setting kerusi ikut sedap spinal cord, tutup muka dengan jaket, kemudian pejam. 

4 comments:

Comel

Friday, September 07, 2012 Fendi Rocka 0 Comments

yang aku tak faham sekarang, apsal hacker yang gondam blog terdahulu aku ada tinggalkan mesej kata yang dia work for humanity , for justice, kemudian tulis 'Allahu Akbar'. kenapa begitu?

senang-senang je guna nama tuhan nak gondam blog aku. comel sangat lettew.


0 comments:

Mistik

Thursday, September 06, 2012 Fendi Rocka 0 Comments

aku rasa dihargai apabila perkara yang aku cakapkan itu didengari, sama ada diterima atau tidak itu belakang cerita, ceritanya sekarang aku suka bila orang beri peluang untuk dia dengar dan memahami apa yang aku katakan. kalau tak ingat pun, sekurang-kurangnya nampaklah lupanya.

tapi..mood aku akan hancur bila mana aku ditanya perkara yang sama seakan-akan sebelum itu aku bercakap dengan orang lain(atau pasu bunga). sehingga aku sendiri terkejut dan merasa mistik. Apakah aku ini diciptakan tuhan bersifat lutsinar ? Atau personaliti aku belum cukup keras untuk kata-kata aku dirasai seadanya?


0 comments:

Seteru

Thursday, September 06, 2012 Fendi Rocka 1 Comments

dunia ni dilimpahi dengan zat pilihan yang banyak, 
bila menu pilihan tu banyak dan semakin banyak,
jadi memang layaklah kalau di kalangan kita ni berbeza-beza situasinya.

jadi seeloknya kita hidup untuk memilih yang mana satu, bukan berkelahi menjadi seteru.

1 comments:

Semut Api

Thursday, September 06, 2012 Fendi Rocka 1 Comments

Menulis blog dah macam saka kepada aku, ia dah merasuk ke dalam jiwa aku sejak pertengahan remaja. Buat masa ini, belum ada mantera yang boleh buang ia jauh dari mendampingi aku. Ghairah menulis blog yang tumbuh dalam diri aku seperti pokok bunga yang tumbesarannya banyak cobaan, kadang bunganya dipetik, kadang rantingnya ditebas, kadang tanahnya kering, kadang cahaya mataharinya terlindung..sehinggalah baru-baru ini terasa seperti akarnya dicarik binatang apabila blog personal aku di-gondam mesra oleh penggodam mulia dari Indonesia dan Bangladesh. Kemain lagi depa kendurikan blog aku.

Mungkin salah aku juga, kerana kurang ilmu pertahanan maya,juga lambat untuk mengejar ilmu teknikal dan taktikal perang maya, namun 'sense of survival' aku tak pernah kurang. Macam resmi semut, bila semut-semut yang beratur panjang berkerumun menuju ke destinasi diganggu laluannya, semut-semut tu segera mencari laluan baru menuju ke destinasi, bila semut-semut yang tadi dah jumpa laluan baru lalu beratur panjang semula berkerumun menuju ke destinasi diganggu sekali laluanya, semut-semut tu segera mencari laluan baru menuju ke destinasi. Kalau kalau tersilap ganggu, mahu jugak digigit semut dibuatnya nanti. 

 Dipendekkan cerita, ini adalah blog personal terbaru aku dengan nama "nota purba". Segala isi kandungan adalah terpelihara dan membacanya adalah dengan kehendak diri sendiri.Walaubagaimanapun..cerita-cerita zaman purba, hang tuah,Merong mahawangsa, parameswara, dinosaur tiada di sini. Contengan dan tulisan tangan dari blog terdahulu mungkin akan muncul sekali sakala bergantung pada ruang dan nyawa selagi ada. 

1 comments:

Supermodel

Google+ Followers

Pautan

Nota Kaki

Nota Kaki