Ketakutan Pada Pengucapan Awam (Episod 1)

Ketakutan Pada Pengucapan Awam


Semasa menjalani latihan di tempat kerja aku, pelatih bertanyakan kepada kami 'What is your FEAR?'.

Dalam bilik tu ada 6 orang termasuk aku. Miss Z seorang rakan aku yang bergigi besi menceritakan tentang ketakutannya pada doktor gigi. Ada kawan aku lagi sorang takut pada anjing. Bila sampai giliran aku, aku pun dengan berani menjawab "Fear of public speaking". Dalam kata lain 'stage fright' atau takut bercakap di hadapan khalayak ramai.

Gejala takut bercakap di khalayak ramai ni kisahnya bermula sejak di bangku sekolah lagi. Pada masa itu, aku seorang pelajar yang kacak (kalau tak salah ingatan aku). Kebetulan pula, aku sering menghantar karangan yang dinilai baik oleh cikgu bahasa Malaysia aku, Puan Nooridayu. Makanya, bila tiba minggu Bahasa Malaysia, Nooridayu tanpa tanpa berfikir dua kali terus memilih aku untuk mewakili kelas dalam pertandingan perbahasan Bahasa Malaysia. 

Aku yang sememangnya tak berkeyakinan buat tak layan je lah dengan idea cikgu, cikgu bergurau ke nak suruh saya cakap depan orang ramai, saya nak cakap dengan cikgu pun saya malu tau tak.

Lalu aku sedayanya geleng kepala dan berkata tidak dan no way kepada cikgu. Tapi cikgu tetap dengan keputusannya, dia nak aku jugak wakil kelas, dia datang ke meja aku nak berunding secara aman perlahan-lahan, pun aku tetap keras hati. Walaupun masing-masing tak mahu mengalah, tapi aku rasa macam mahu menangis je ni, gaya dia macam serius je aku tengok, nampak macam pegang pen nak tulis nama aku kat kertas dia.

Pada masa tu lah yang aku mulai sedar, bahawa aku ada isu dengan public speaking. Bagi anjing menyalak depan aku dua tiga ekor pun aku tak takut, asalkan jangan suruh aku cakap depan orang ramai. Haa..gitu. Walaupun aku tahu cikgu kecewa dengan aku, tapi aku harap cikgu faham lah dengan keputusan dan ketakutan aku tu, amin.

Bila tiba pada hari pertandingan, aku mula panik. Entah apalah status aku, aku peserta ke bukan ni, nak lari pun tak boleh pasal pertandingan diadakan masa perhimpunan mingguan dalam dewan. Ada 10 orang peserta semuanya, aku tak tahu 10 tu termasuk aku ke tidak, aku harap-harap taklah kan. Satu persatu peserta dipanggil ke hadapan memberi perbahasan dengan tajuk yang diberikan.

Kawan aku kat belakang dah cuit-cuit tanya aku dah siap ke esei perbahasan. Aku tak tahu nak jawab mende sebab seingat aku memang tak pernah setuju nak sertai pertandingan ni. Muka aku dah pucat, rama-rama dah bertenggek atas perut. Tapi makin lama aku makin lega sebab dah sampai peserta ke 8 dan 9 takde pun nama aku. Sampailah giliran peserta ke-10, kalau bukan nama aku, memang senyum sampai telinga lah jawabnya.

Tiba-tiba saat berpuaka muncul.

"Dijemput peserta terakhir saudara (nama aku) untuk menyampaikan perbahasan dengan tajuk (tak ingat tajuk apa)"

Ah sudah! Aku buat tak dengar dan tak mengerti. Kawan-kawan aku kat belakang dah soksek-soksek. Aku pandang depan ke arah stage macam tak kenal dengan nama yang dipanggil buat kali kedua. Muka aku memang seposen lah, pandang kiri-kanan macam cari mana budak nak berbahas ni, lambat sangat keluar, nak berbahas ke taknak ni haramjadah betul.

Walaupun dalam dewan suasananya hening menanti kemunculan peserta terakhir, dalam diri aku ni sebenarnya berlaku gempa bumi 8 skala rithcer. Aku cuba jugak kelihatan setenang yang mungkin dah cuba berlakon menjadi pasu bunga.

Bersambung....






Next PostNewer Post Previous PostOlder Post Home

2 comments:

  1. ala.... apa kesudahannya... dh syok baca teru bersambung.... aduiihhh....

    ReplyDelete