Auto Feed Blog

Rasa Diri Disayangi

Thursday, August 27, 2015 Fendi Rocka 15 Comments

Minggu lepas time petang-petang aku rasa sangat haus, aku check peti ais kat pantri air batu tinggal beberapa ketul je, susu beku banyaklah, itupun mummy-mummy kat ofis punya.

Tekak aku dah mintak minuman sejuk, aku pun hilangkan diri sekejap dari padangan mata kasar rakan sekerja untuk ke kedai bawah ofis. Pandang kiri-kanan dan terus lesap.

Aku bukak fridge kedai, tengok air pun tak banyak pilihan. Aku nak cepat terus amik air botol Coca-Cola saiz kecik tu, dah bertahun jugak aku tak beli coca-cola, bukan kegemaran aku pun tapi hentam je la. Sekadar nak membasah kering di tekak.

Nak dijadikan kisah, aku minum sikit je air coca cola tu, tak sampai separuh pergi dia pastu bubuh dalam peti ais. Nanti lain kali tekak buat hal lagi minta air bukan-bukan aku teguk je Coca-cola tu.

Pastu kalau nak tahu sampai minggu ni air tu tak habis lagi, nampak sangat bukan kegemaran aku ye tak. Jadi aku pun berazam untuk habiskan hari ni jugak sebab esok aku dah cuti. Kalau simpan lama-lama makcik cleaner bising karang.

Lalu aku pun letak air coca-cola atas meja pastu melantak nasik. Pastu sorang-sorang kawan aku tegur.

Sedap tak?
Sedap tak?


"Abang, air ni tak baguslah untuk you..."

"You jangan minum selalulah air ni..."

"Ini air tak bagus.."

Aku pulak yang jadi segan, terus aku sorok air coca-cola aku. Tapi sempatlah aku beri keterangan yang ni baru pertama kali minum selepas beberapa tahun, lepas ni takde minum lagi. Aku pun tak tahu kenapa aku cakap camtu, walaupun betul...tapi sebenarnya sukati aku lah kan nak minum air apa.

Lepas dah habis makan, tiba-tiba rasa diri disayangi oleh masyarakat. Hati rapuh..macam kucing.

Terpaksa mengaku,dalam hal ni aku memang kerdil sangat, lemah dengan pujukan dan kata-kata orang.

Pasal apa.Kawan aku berpuluh tahun hisap rokok,tak cukup kat televisyen, radio, papan tanda, dinding,dalam buku,mukabuku, ustaz, doktor, saintis semua cakap rokok tak bagus untuk kesihatan, tapi steady je dia hisap sampai ke sudah.

Berkepul-kepul perginya.

15 comments:

Mudah Tertawa

Friday, August 21, 2015 Fendi Rocka 8 Comments

Semakin malang hidup yang kita jalani, semakin perlu kita untuk mudah tertawa, mentertawakan hidup ini misalnya.

Minggu lepas aku bergemelan meraikan pertabalan raja dan permaisuri sehari. Set tempatnya cukup indah bagi aku, dengan iringan muzik dan hiasan yang kena pada mata aku dan aku fikir kosnya tentu buat orang yang tidak cerdik matematik seperti aku pitam. Oh lupa pula, makanannya juga enak, secara tidak disengajakan pula kami bertiga dapat duduk di meja makan yang betul-betul di hadapan raja dan permaisuri sehari tadi.

Pagi itu, kami telah bersiap-siap untuk menghadiri majlis tersebut. Di katakan majlis tersebut adalah satu majlis formal dan beretika, maknanya aku tak boleh berpakaian sesuka hati. Sudah di wajibkan kepada tetamu lelaki untuk berpakaian baju melayu lengkap dengan songkok dan bersampin. Aduhai, sampin adalah kod pakaian yang aku tidak selesa. Semasa nak menikah dulu aku cuba jugak nak mengelat dari bersampin, tapi bila sudah di depan tok kadi, disuruh pulak aku bersampin. Aku turutkan juga.

Setelah bersampin bagai, songkok pula aku tak ada, kopiah yang ada entah ke mana.Singgah ke rumah kawan nak pinjam songkok. Lama jugak amik masa nak dapatkan songkok tu, aku pun faham rumah bujang ni macam mana, matahari terbit lewat sikit kat rumah bujang. Bila kod etika pakaian dah sempurna, kami bertiga iaitu aku, perempuan kegemaran dan seorang kawan lelaki kami pun terus ke majlis yang dinanti-nanti. Perut kami biarkan kosong supaya mudah kami isi dengan kepelbagaian juadah yang kami bayangkan.

Tiba berdekatan di kawasan yang dimaksudkan, kami menggunakan pula aplikasi Waze untuk mencari lokasi dengan tepat. Kami masuk ke perkarangan majlis, dari pintu masuk kelihatan banner yang mencatat nama raja sehari dan permaisurinya, ternyata nama yang tertera itu bukan nama yang kami cari-cari. 

Berpusing-pusing kami macam kuda di funfair untuk cuba nasib mana tahu ada majlis lain bersebelahan atau berdekatan. Tapi tak jumpa, kami masuk ke peringkat pencarian ke-dua di mana kami bertanya kepada tetamu lain di tepi jalan, tetamu tu mengesahkan nama pengantin bukan nama yang kami cari.

Masuk ke peringkat ke-tiga, kami bertanya pulak kepada orang tempatan di kawasan sekitar, kami tunjukkan alamat yang ada di kad jemputan eletronik, orang tempatan tersebut dengan yakin juga memberitahu di mana lokasinya iaitu di lokasi yang kami telah pergi awal tadi. Kami pun kembali ke lokasi tersebut, tapi sama jugalah...itu majlis orang lain. Sepuluh kali pusing pun majlis tu takkan bertukar jadi majlis kawan kami.

Jam dah pukul 2 tengahari, dah melintasi waktu makan ni. Kesabaran dah mula longgar. Aku tengok semula alamat yang diberi,berulangkali temgok pun sama, memang betul lah tempat tu. Memang jelas dan nyata nama bangunan yang sama, tiada istilah sesat dalam hal ni. Perempuan kegemaran pun dah sahkan. Kawan kami pun tak dapat menyangkal lagi kami berada di lokasi yang benar, tiada yang benar melainkan yang benar-benar belaka.

Sampailah bila kawan kami tengok kad elektronik tu untuk kali entah ke berapa, dengan nada sendu dia baca " Waktu bermula 7:45 pm". Kemudian kami ketawa serentak secara harmoni. Malangnya tuh di sini. 


***************************************************************

Sebelah malamnya tak kurang malang jugak,  walaupun berjaya juga hadir ke majlis perkahwinan tu, tapi sempat juga kawan kami terlanggar batu hingga bumper kereta kawan aku terpaksa diikat dengan wayar telefon, kemudian sempat juga ekzos dia tercabut, juga diikat dengan wayar telefon. Tapi kami terus cekal untuk ke majlis perkahwinan tu bagi kali kedua pada sebelah malam pula.

Sampai di majlis, segalanya berjalan lancar. Set tempatnya cukup indah bagi aku, dengan iringan muzik dan hiasan yang kena pada mata aku dan aku fikir kosnya tentu buat orang yang tidak cerdik matematik seperti aku pitam. Oh lupa pula, makanannya juga enak, secara tidak disengajakan pula kami bertiga dapat duduk di meja makan yang betul-betul di hadapan raja dan permaisuri sehari tadi.

Sebagai penutup, kami ubati hari kami dengan sesi karaoke di Neway, itupun selepas sampai di Redbox tapi rupa-rupanya RedBox kat tempat tu dah tutup, alahai. Yang ni pun terpaksa ketawa jugaklah nakntaknak, takkan nak menangis depan pusat karaoke yang dah tutup.

Semakin malang hidup yang kita jalani, semakin perlu kita untuk mudah tertawa, mentertawakan hidup ini misalnya. Haha!


8 comments:

Kisah 3 personaliti dalam satu tubuh

Thursday, August 20, 2015 Fendi Rocka 8 Comments


Tell Me Your Dreams (Sidney Sheldon) - Kisah 3 personaliti dalam satu tubuh


Ashley, Toni dan Alette, tiga karekter berbeza dan mempunyai kecenderungan berbeza, seterusnya mempunyai impian berbeza. Ashley seorang yang tidak pandai bersosial dan bekerja di syarikat IT, Toni lebih terbuka dan berbakat dalam bidang nyanyian, Alette pula lebih artistik di mana dia seorang yang genius dalam melukis. 3 watak utama ini dikupas sedikit demi sedikit, perlahan lahan sehinggalah menemui jiwanya.

Digemparkan dengan kes pembunuhan bersiri ke atas beberapa orang lelaki mengakibatkan Ashley menjadi suspek, semua bukti menunjukkan Ashley bersalah sedangkan Ashley sebenarnya tidak tahu menahu dan keliru. Ashley sendiri mengesyaki dia menjadi mangsa stalker/pengintip, tapi sudahnya dia pulak yang dituduh membunuh.

Ayah Ashley melantik seorang peguam bagi membuktikan anaknya tak bersalah. Siasatan dilakukan, membawa kepada penemuan yang mendebarkan, yakni..pembunuh sebenar bukanlah Ashley tetapi sama ada Toni ataupun Alette, yang mendebarkan tu adalah kerana Toni dan Alette tu adalah Ashley. Ashley adalah Toni dan Alette. Atau dengan kata lain, Ashley mempunyai 3 personaliti dalam dirinya yang tidak berada  dalam kawalannya.


Multiple personality disorder (MPD)


Sekejap-sekejap dia jadi Ashley...sekejap karang dia jadi Toni, sekejap kang dia jadi Alette pulak. Inilah yang secara saintifiknya orang panggil Multiple personality disorder (MPD). MPD ni dipercayai wujud sejak dulu lagi, kiranya sangat popular lah di kalangan psychiatrists. Dilaporkan jugak banyak kes jenayah yang berkait dengan isu ini, dan banyak jugak pusat rawatan untuk MPD, jadi..ini bukan benda jenaka hujung minggu, ini sah secara saintifik dan perubatan

Jadi, peguam Ashley memikirkan bagaimana caranya untuk membuktikan yang MPD di benar benar wujud, bagaimana nak menyakinkan mahkhamah, bagaimana nak menjelaskan bahawa Ashley dan Toni dan Alette adalah 3 personaliti yang berbeza dalam satu tubuh. Peguam Ashley yakin dengan Ashley sebab dia sendiri nampak Ashley bertukar karakter, peguam tu boleh berinteraksi dengan ketiga-tiga personaliti tu dengan menggunakan satu sesi yang disebut sebagai hipnosis, pernah dengar hipnosis?HIPNOSIS?

MPD terhasil biasanya berpunca dari peristiwa pahit yang menimpa seseorang, 2 per 3 kes MPD boleh dirawat. Ada yang rekaan, ada yang benar. Melalui cerita ni, boleh baca bagaimana seorang peguam tu cuba dapatkan maklumat dari ketiga-tiga personaliti tu untuk dia mencari kebenaran.

Buku Sidney Sheldon tak pernah menghampakan aku, aku tak pernah terfikir akan ada buku Sidney yang akan menghampakan aku. Jalan cerita yang penuh suspen sehingga membuatkan pembaca terhipnosis sama. 


"Memang keadaan begini berlaku dan bukan satu rekaan. Mereka yang mempunyai masalah ini tergolong dalam masalah kecelaruan personaliti. Namun disebabkan peratusan sangat rendah iaitu sekitar 1 atau 2 peratus daripada mereka yang mengalami masalah mental secara keseluruhan, DID jarang disebut," katanya. (kecelaruan identiti terpisah - DID). Kadangkala masalah tersebut juga dirujuk sebagai kecelaruan pelbagai personaliti (MPD).
Individu dengan DID kata beliau, didapati mempunyai keadaan personaliti berbeza dari segi penampilan, reaksi, emosi, mimik muka malah nadi dan tekanan darah juga boleh berlainan. Mereka juga boleh lupa dengan watak yang satu lagi pada satu ketika.
Jelas beliau, seseorang yang mengalami masalah tersebut mempunyai karakter lebih daripada satu dengan pakej kecelaruan personaliti berlainan- Petikan artikel dari Utusan Malaysia

8 comments:

Southpaw - Bangun Hidup Semula

Wednesday, August 19, 2015 Fendi Rocka 7 Comments


Southpaw - Bangun Hidup Semula


1. Luarannya Southpaw merupakan sebuah filem sukan tinju yang biasa, biasa di sini maksudnya sama macam filem-filem boxing terdahulu di mana wujud watak ejen yang tamak, jurulatih yang berfalsafah dan hero yang menang.Tapi filem biasa ni melintasi garis norma dengan memaparkan plot dan dialog yang mengena, serta lakonan yang menyentuh. 

2. Letak tepi dulu soal tinju, Southpaw berkisar tentang seorang lelaki yang kehilangan segalanya setelah memiliki segalanya. Pedih kan? Lelaki tersebut dilakonkan oleh Jake Gyllenhaal dengan jitu dan padu. Diberitakan Jake Gyllenhaal ni pada asalnya kurus je,tapi dia bikin badan dia sampai sado khas untuk membawa watak seorang juara tinju lighweight. 

3. Cuma, kalau jumpa Jake Gyllenhaal kat mana-mana jangan tanya sangat pasal badan dia, sebab dia kata dia kecewa peminat sibuk tanya pasal badan sado, sedangkan dia lebih hargai kalau peminat mendalami filem yang dibikin tu. 


4. Jake Gyllenhaal melakonkan watak Billy Hope yang kehilangan isteri dia menerusi satu kejadian yang di luar kawalan. Tanpa isteri di sisi yang selalu menenangkan, Hope mula hilang kawalan diri terutamanya kawalan spritual dan sahsiah diri. Orang kata biar bangkrupt duit, jangan bangkrupt spirit. Tapi Hope nampaknya dah mula bangkrupt spirit, seterusnya menjadi punca dia gagal kawal kewangan, rumah agam kena lelong, Maserati ditarik, dan paling sendu apabila hak penjagaan anaknya ditarik.

5. Permainan kamera untuk filem ni boleh dikatakan lebih mencengkam naluri kita untuk bertumbuk sama. Tak banyak menggunakan teknik slo-mo macam dulu-dulu, tapi kita dapat lihat kamera kali ni lebih live dan laju. Walaupun laju, tapi secara psikologinya kita boleh 'rasa' pergerakan badan peninju, serta setiap tumbukan dan lebam-lebam yang meniti di muka peninju pun menusuk ke Qolbu.


Menerusi filem ni, aku dapat satu pesanan secara tak langsung, seperti pepatah perancis 'Dalam sepinggan hidangan yang lazat, mungkin ada racun', kita hendaklah berhati-hati dengan mulut yang manis, atau jangan takut pada musuh yang sedia bertinju dengan kita kerana tangannya ada di depan kita, tapi berhati-hati dengan kawan yang memeluk kita erat kerana tangannya yang berada dibelakang kita...mungkin memegang pisau. 



7 comments:

Mengenali APJ Abdul Kalam

Tuesday, August 18, 2015 Fendi Rocka 6 Comments


Masa aku kat ofis, tiba-tiba kakak meja sebelah jadi sibuk luarkebiasaan. Aku pun tanyalah apa yang sibuk sangat, menteri dalam dan luar negeri pun tak sibuk begini. Kakak meja sebelah terangkan kat aku  yang unit kami di India pada hari tersebut cuti umum, menyebabkan kita di Malaysia kena back-up kerja dorang. Sebagai seorang kanak-kanak yang sifat ingin tahunya sedang membangun, aku pun tanya sebab apa India cuti umum.

"You dont know haa? Kan ada kematian Abdul Kalam, hari ni funeral" jawab kakak meja sebelah.

"Abdul Kalam, Abdul Kalam, Abdul Kalam, Abdul Kalam, Abdul Kalam, Abdul Kalam, Abdul Kalam, Abdul Kalam" aku cuba cuba cari nama Abdul Kalam dalam sistem pendaftaran dalam kepala aku, tapi tak tersenarai. Cara kakak meja sebelah sebut nama Abdul Kalam macam kita semua patut kenal siapa Abdul Kalam. Cara dia tekan suara macam kematian Abdul Kalam sepatutnya aku sedia maklum.

"Wow..i dont know him, must be someone very important right, since India dedicate public holiday for him" aku cakap.

Kakak meja sebelah beritahu lagi Abdul Kalam ni sangat disanjung oleh rakyat India, dia kata memang betul lah aku teka tu..dia seorang yang sangat baik dan berjasa. Aku pulak rasa tak patut sungguh tak kenal Abdul Kalam, Anushka Sharma aku kenal pulak.

"Dia menteri ke? Ahli politik?" sifat ingin tahu melonjak lagi.

"I pun tak pasti lah. I pun baru tahu pasal Abdul Kalam lepas orang cakap dia mati" kakak meja sebalah jawab. Hampeh jugak rupanya.

Aku meneruskan pencarian tentang Abdul Kalam tanpa mempedulikan kakak meja sebelah. Menerusi foto Abdul Kalam, aku sedar rupa-rupanya aku pernah mengenal secara tak langsung dengan Abdul Kalam menerusi "Quotes" beliau.



Abdul Kalam merupakan seorang saintis,guru, medical researcher dan penulis buku, dalam masa yang sama juga seorang pemuisi dan mendapat jolokan  “people's president ketika menjadi Perdana Menteri India.

Kisah Abdul Kalam ni adalah sesuatu yang berbaloi untuk aku ambil tahu. Beliau dikatakan seorang pemimpin yang disegani. Ada diceritakan di sebuah majlis yang beliau hadiri sebagai tetamu VVIP, beliau menolak untuk duduk di kerusi yang disediakan kerana kelihatan kerusi itu lebih mewah berbanding kerusi yang disediakan untuk tetamu lain. Abdul Kalam tidak mahu duduk selagi kerusi empuk tersebut tidak ditukar kepada kerusi biasa.

Pada aku ini satu teladan yang penting, di mana pemimpin tidak sepatutnya menjaga bontotnya sendiri sahaja dan membiarkan bontot orang lain kematu.



Abdul Kalam turut dikenali atas keberaniannya dalam kempen-kempen menentang penyakit korupsi, terutamanya dalam memberi inspirasi kepada golongan belia.

"Of the 200 millions houses in the country 60 million houses are corrupt. Each house comprise parent and their children," he said.

"The question is will the daughter or son would be bold enough to say to their corrupt father please do not do that (corruption)? Lets start from the home," he added. 
-Di petik dari www.economictimes.com

“If you know your father bought that car with money that he did not rightfully earn, tell him that you will never sit in the car. And stick to your words,” he said.

-Dipetik dari thestar.com.my

APJ Abdul Kalam pernah memohon supaya jangan adakan cuti umum bila dia meninggal dunia, dia kata lagi “If you want to remember me, work an extra day”. Sebab tu pekerja kerajaan kat sana tak cuti, cuma yang swasta je lah cuti rasanya, tu yang membuatkan kakak sebelah meja sibuk.



Man needs his difficulties because they are necessary to enjoy success

6 comments:

Penyusuan

Monday, August 17, 2015 Fendi Rocka 15 Comments

Lepas balik semayang jumaat ofismet aku beli air mango di area ofis, air mango tu seminggu sebelum tu aku dah rasa memang baek. Kebetulan dan selalunya lepas semayang jumaat matahari memang tengah sedap membancuh peluh kita sampai merecik, itulah sebab kena ganti air dalam tubuh.

Bila air mango tadi dah habis, ofismet aku pergi pantri dia buat air kopi pulak bubuh dalam bekas air tadi. Dia bubuh ais, pastu letak atas meja kerja dia claim air Starbuck. Kat semua orang dia kata air Starbuck, aku layankan je senda gurau. Aku tengok pun macam sedap. Tapi air pun macam manusia, tiada yang sempurna.

"Manis tak?" aku tanya.

"Ok je."

Kat pantri ada kan gula dengan cream..kalau bubuh sedap tu.

"Haa..."

"Ni kalau bubuh susu lagi sedap, apesal tak bubuh susu" aku cadangkan.

"Susu?Ada ke susu. Mana ada." Dia respon, mula menunjukkan minat.

"Ada lah..dalam peti ais."

"Dalam peti ais? Ada ke.."

"Ada. Kat belah atas.tempat beku."

Senyap beberapa detik. Otak jem.

"Itu susu hapaaa...buat hal lah." dia balas.

Sakan aku gelakkan dia, hampir-hampir dia nak dapat ibu susuan baru.


----------------------------------------------------------------------------------------------------

----------------------------------------------------------------------------------------------------

Pastu hari ni lepas makan tengahari aku lepak jap minum-minum sambil layan internet. Kat pantri adalah 5-6 orang staff perempuan juga. Tengah aku dok korek air batu di balik pintu peti ais, budak ofis aku  balas dendam "Woi buat apa...amik susu ke"


Cegampang.


15 comments:

Hero Masyarakat : Cikgu

Thursday, August 13, 2015 Fendi Rocka 10 Comments


10 comments:

Pengalaman Di Universiti : Paranormal Main Tingkap

Wednesday, August 12, 2015 Fendi Rocka 10 Comments



Banyak jugak sebenarnya kisah pahit manis belajar di universiti. The moment and the feel, antara yang paling berharga dan melekat sampai sekarang. Seminggu orientasi pun dah macam-macam cerita, nak berkenalan lah, rindu kampung bagai dan tak kurang popular jugak cerita angker.

Masa aku belajar dulu di asrama, aku berkawan dengan seorang pelajar yang cacat penglihatan. Disebabkan bilik aku dekat je dengan bilik dia,  jadi memang menunggu masa je untuk kami bersahabat.

Sebagai seorang pelajar yang tidak menggunakan penglihatan, dia banyak bergantung pada kepekaan telinga, recorder, dan software di komputer untuk belajar, selain semangat kental lah semestinya.

Sikap sempoi dan kerek dia memudahkan aku untuk berkawan dengan lebih rapat.

Sebagai budak junior, satu perkara yang wajib ditanyakan pada senior adalah " Kat asrama ni ada aktiviti paranormal tak?"

Sebenarnya bila google latar belakang aktiviti paranormal di asrama tu, kau akan jumpa orang bercerita tentang langsuir dan pontianak.

Menurut senior yang lain pun, memang halus lah tempat tu, tapi benda yang halus-halus tu kalau nak kacau orang pun beliau takkan kacau kawan aku yang cacat penglihatan, sebab dia tak nampak pun, lama-lama benda halus pun naik berbulu sebab tak respon.(Jadi tips untuk pelajar yang nak masuk universiti, kalau terserempak dengan benda-benda angker, kau buat-buatlah tak nampak. )

Menurut kawan aku tu yang cacat penglihatan tu, dia ada jugak dengar-dengar bunyi yang mencurigakan, tapi dia tak pastilah apa kejadah.

Tak berapa lama selepas aku kenal dia, aku cuba nak uji keberanian dia menangani gangguan halus. Malam tu dia tengah sorang-sorang dalam bilik, aku pergi ke bahagian belakang bilik dia, kat situ ada padang bola, dulu dikatakan hutan, dari cermin tingkap aku boleh nampak dia tengah menaip di komputer. Kau pun tahulah student suka study lewat malam.

Aku ketuk tingkap dia perlahan dan mendebarkan. Dia berhenti menaip. Cuba mengamati bunyi ketukan aku. Selepas beberapa saat dia sambung menaip, aku pun buat lagi ketukan pada tingkap,kali ni lebih kuat, dia berhenti lagi, kali ni dia bertanya "Sapa tu?"



Aku diam. Tengok muka dia dah berubah. Aku tekup mulut dengan tangan elak daripada terketawa.

Kali ketiga aku ketuk tingkap. Dari riak muka dia dah mula rasa tak sedap. Dia maki aku. Pung pang pung pang dia maki. Aku pun perlahan-lahan blah dari tempat kejadian. Tak sanggup aku nak kena maki. Selain dari aku, mungkin sebelum ni banyak lagi benda halus dah kena maki. Kalau begitu punya maki, apa pun lari.

2-3 kali jugak aku ketuk tingkap dia lepas-lepas tu, pastu bila jumpa dia aku maintain buat-buat inesen. Dia tanya aku, aku cakap takde je. Jadi kalau dorang kata ada paranormal main tingkap kat asrama aku, akulah paranormalnya.


10 comments:

Cara Turun Berat Badan 20KG

Tuesday, August 11, 2015 Fendi Rocka 11 Comments

 Turun Berat Badan 20KG


NAK TAHU CARANYA?

Aku ada kenal dengan sorang rakan sepejabat wanita ni, masa aku kenal tu badannya nak kata kurus memanglah tidak, nak kata gemuk pun tidak, bolehla. Namun, orang-orang yang mengenali dia sebelum aku mengenali dia, beritahu yang dia si rakan sepejabat wanita ni dulu badannya jauh lebih besar, Cuma baru-baru ni je dah surut. Baru-baru ni yang dimaksudkan dalam masa 2 bulan sahaja. Kalau menurut yang dibualkan, banyak juga surutnya kira-kira 20KG. Pergh.

20 KG ni bagi aku pun memang banyak, menyamai 2 kampit beras. Boleh anggap seperti hilangkan kapasiti nasi yang dimakan oleh aku sepanjang 2 bulan lepas. Namun, sebagai seorang yang dah memang kurus sejak lahir aku tak amik kisah sangat hal tu.

Sehinggalah rakan sepejabat yang dah kurang 20KG ni bukak cerita. Biasalah kalau orang kaya mesti akan petik cerita semasa susah, orang dah kurus sikit pun mesti nak jugak petik cerita masa gemuk. Walaupun aku tak amik kisah tentang gemuk-kurus, tapi bila orang dah cerita tentang kejayaannya kita hargailah dan berkongsi kepuasaan. Mungkin hal gemuk-kurus ni penting untuk dia dan kita boleh dapatkan sedikit motivasi dan semangat yang dia ada untuk mencapai sesuatu objektif.

Aku pun bertanyalah tentang amalan dan tips sehingga dia boleh turun berat badan dengan agak drastik.

Sangkaan aku mestilah dia daftar gym yang mahal-mahal tu, atau disebabkan berpuasa, atau jogging 5 kali seminggu, tak makan nasi selama 2 bulan, diet Atkins, pergi pejabat naik basikal, naik tangga setiap hari, atau beli treadmill, makan julap, consume Herbalife dan sewaktu dengannya, sedut lemak?,mungkin jugak  masuk kelas menari atau Zumba dan lain-lain lagi yang aku pernah terbaca cara menurunkan berat badan.

Tapi, sangkaan aku satu pun tak kena.

“Takdelah, kena denggi. Masuk wad muntah-muntah, berak-berak, pastu kurus” – dia jawab.






11 comments:

Review Terminator Genisys – John Connor muncul dengan misi yang berbeza

Monday, August 10, 2015 Fendi Rocka 2 Comments



Review Terminator Genisys – John Connor muncul dengan misi yang berbeza



Filem Terminator Genisys ni dah lama aku tengok, tapi sekarang baru nak tinggal nota di sini sebab kesibukan hari raya kononnya.


“Terminator 5 Genesis atau Genisys ini menceritakan sebuah trilogy baru. Film ini memiliki setting tahun 2029 yang mana pada masa tersebut diceritakan terjadi perang antara robot dan manusia yang dipimpin oleh John Connor (Jason Clarke) melawan sistem kecerdasan yang dibuat oleh perusahaan teknologi Skynet. Connor memiliki misi untuk mengirim Reese kembali ke tahun 1984 yang mana dimasa tersebut ibunda dari John Connor harus segera diamankan dari dari terminator yang diprogram untuk menemukannya. Keganasan robot ini bukan hanya untuk masa lalu akan tetapi juga mengancam masa depan dan sudah menjadi tugas John untuk menghentikannya.”- Sinopsis dari http://ulasanfilm21.blogspot.com/


1.Terminator adalah filem Hollywood yang terawal aku layan. Zaman tu zaman video tape. Kalau pergi rumah Mak Lang aku, video tape Terminator lah yang dok ulang setiap kali selain cerita Power Rangers. Zaman bergerak, kejayaan filem Terminator membuatkan sequelnya terus dibikin dan terus mendapat sambutan. Dari video tape, kemudian ke VCD, DVD, DOWNLOAD dari internet dan tak lupa menonton di wayang. Aku membesar dengan perjalanan hidup John Connor , penyelamat ummat manusia menentang kebangkitan robot.

2. Terminator Genisys menggunakan ramuan yang sama, kebanyakkannya kita dah pernah lihat pada filem Terminator yang lepas seperti mesin masa, baik pihak John Connor mahupun robot masing-masing menggunakan mesin masa untuk tujuan kembali ke masa silam bagi mengubah masa depan, bak kata orang ‘hari semalam menentukan kita pada hari ini’.

Selain itu, turut menggunakan ramuan sama dengan memaparkan badan sado Arnold, T-1000 dengan T-800 yang liat untuk ditewaskan, aksi kejar-mengejar dalam kenderaan dan beberapa lagi yang aku rasa macam pengulangan.

3. Walaubagaimanapun, Terminator Genisys kelihatan seperti mahu menamatkan pertelingkahan bertahun-tahun manusia dan robot, bakal diceritakan apa yang terjadi dalam peperangan masa hadapan,siapa yang mencipta mesin masa dan tujuannya yang sebenar. Plot-twist dalam Terminator Genisys kali ini lebih meruncing, siapa hero dan siapa anti-hero akan jadi cacamarba. Aku sendiri mula jadi keliru mahu memihak kepada belah mana. Perjuangan sudah berubah arah dan John Connnor yang dulu bukanlah yang sekarang.

4. Aku puas hati jugak dengan cara Terminator Genisys melangsaikan penceritaan, gaya macam dah selesai franchise Terminator ni, atau sekurang-kurangnya menjawab beberapa persoalan aku. Kalau nak keluarkan sambungan pun, mesti sesuatu yang segar dan harap bukan ulang benda sama. Tak sedaplah nak cerita semua, tapi dipendekkan review cukuplah kalau aku beritahu korang yang John Connor ada misi terbaru

5. Secara keseluruhannya,kalau filem ni dikira sebagai stand-alone/solo, aku boleh kata filem Terminator Genisys sudah cukup bagus. Namun, sebagai sebuah filem sequel yang berkait dengan filem-filem Terminator terdahulu, berlaku pengulangan dan juga wujud ‘alternate time-line’ yang mana telah memadamkan sejarah yang pernah berlaku dalam filem Terminator terdahulu.

Kalau die-hard Terminator mesti akan rasa tak fair kepada filem terawal, tapi untuk aku okey je.




2 comments:

Boss

Monday, August 10, 2015 Fendi Rocka 7 Comments

Kat ofis ni bos aku taknak dipanggil bos, hari tu aku panggil dia bos dia balas balik "yee boss".

Aku pun tak tahu apesal dia taknak dipanggil bos, awal-awal aku respek jugaklah, tapi pagi ni baru aku sedar, bila kami lalu depan security Myanmar semua pakat panggil security sebagai bos.

Mungkin 'Boss' dah tak exclusive.



7 comments:

Makanan Kegemaran - Nasi Ayam Penyet di Penyet Express

Sunday, August 09, 2015 Fendi Rocka 9 Comments


Makanan Kegemaran - Ayam Penyet


Salah satu makanan kegemaran aku yang paling atas adalah nasi ayam penyet. Kat Malaysia ni banyak franchise atau warung yang menyediakan menu nasi ayam penyet. Paling aku suka adalah Dapoer Bandoeng,tapi restoran tu dah tutup, sejak penutupan restoran Dapoer Bandoeng aku mula mencari-cari restoran yang dapat menggantikan rasa kepuasan menikmati nasi ayam penyek, salah satunya adalah Penyet Express.

Penyet Express


Penyet Express


1. Penyet Express ni ada banyak cawangan, aku pernah pergi yang dekat Sunway Pyramid dan yang paling kerap kat Giant Kelana Jaya,rasanya dah lebih 15 kali.

2. Aku bukan pakar makanan, tapi kalau aku makan sedap aku kata sedaplah, kadang-kadang tak tahu sebab apa, lagi parah kadang apa yang aku makan pun aku tak tahu.

3.Menu kegemaran aku tentulah ayam penyet. Hidangan lengkap ayam penyet pada aku mestilah ayamnya penyet dan lembut, ada tauhu goreng, ada tempe, kubis dan timun, sup dan yang penting adalah sambalnya yang pedass. Di Penyet Express,ayam penyetnya memenuhi citarasa aku secara total.

4. Aku ada cuba order menu-menu lain, tapi lepas tu mesti terkenang ayam penyet juga. Jadi setiap kali datang Penyet Express aku akan tengok menu yang diberi sekilas, kemudian order nasi ayam penyet jugak.

5. Pilihan airnya pulak tip-top, air buah dia memang terasa buah. Mana taknya, kalau order air mango memang ada mango dalam tu, kalau kau order air tembikai, kat air tu nanti ada ditenggelamkan sikit buah tembikai. Kalau tak rasa tembikai jugak memang kena bawak pergi berubat lah, klinik mediveron di tingkat 2 dalam Giant tu untuk check-up.

6. Kenangan pahit aku dengan Penyet Express berlaku bulan puasa lepas. Masa tu nak berbuka puasa,pelanggan takdelah ramai sangat, kami makan bertiga tapi bila dah azan pun masih ada order yang belum sampai. Dah 2\3 kali mintak pelayan semak tetap tak sampai. Sampailah terpaksa cancel order dan kemudian akak kaunter beritahu ada kesilapan dari pelayan.

7. Tapi dari segi layanan memang tak berapa mesra sangat,selain penjaga kaunter sedikit garang, selalu pun memang susah nak panggil pelayan dorang, merujuk pada yang kat Giant lah, tempat lain InsyaAllah power.




Ni menu kegemaran aku jugak, dalam tu ada macam-macam!

Ni lah dia ayam penyet

9 comments:

Orang Yang Kuat Senyum Dan Ketawa

Friday, August 07, 2015 Fendi Rocka 10 Comments


10 comments:

Bakat Menjadi Menteri

Thursday, August 06, 2015 Fendi Rocka 5 Comments

Kawan aku tanya aku soalan matematik. Dia kata kalau kau boleh jawab soalan ni, kau memang genius matematik!!

Aku jawab, aku memang bukan genius matematik, jadi aku tak payah nak jawab.

5 comments:

Bumi Cinta -Habirurrahman El Shirazy

Wednesday, August 05, 2015 Fendi Rocka 5 Comments

Bumi Cinta

Habirurrahman El Shirazy


Habirurrahman El Shirazy


1. Ayyas seorang graduan lulusan agama, pergi ke negara yang menjunjung tinggi seks bebas dan pornografi. Kalau boleh memang dia tak mahu pergi, sebab takut imannya tak dapat bertahan, namun diturutkan juga demi nak menyiapkan kajiannya.

2. Bila sampai ke Rusia memang sangkaannya tepat, gadis Rusia molek-molek yang amat. Macam Maria Sharapova lah kut.

3. Atas sebab tertentu, buat sementara waktu si Ayyas ni kena tinggal serumah dengan 2 orang gadis Rusia. Cuma bilik je asing. Housemate pulak jenis pakai seksi, siap ada yang buat projek kat ruang tamu. Gila!

3. Selain isu dengan housematenya yang main gila, ada ketika juga Ayyas macam jatuh hati pada seorang wanita muda yang membantu dia menyiapkan kajian. Kemain, pergi Rusia nak buat kajian..ada pulak drama..fokus dah lari sikit.

4. Aku tak suka sangat novel bumi cinta ni sebenarnya. Walaupun penulisnya Habirurrahman El Shirazy ni orang kata power, pernah tulis novel sensasi Ayat-ayat Cinta, tapi ceritanya tak berapa terkesan kat aku.

5. Buku bumi cinta ni dilabel sebagai Novel Pembangun Jiwa. Ada banyak bahagian yang bila aku baca macam baca buku teks atau baca teks khutbah Jumaat. Kadang tak berkait dengan cerita pun, mungkin sebagai serampang dua mata nak berkhutbah.

"Ingatlah nak, kecantikan wanita itu yang menjadi sebab para penuntut dan satria agung gagal dalam pertapaanya" pesan Kiai Luqman Hakim kepada Ayyas.

5 comments:

Restoran Satay-satay

Saturday, August 01, 2015 Fendi Rocka 11 Comments

Restoran Satay-satay

Pertama kali mendengar nama restoran ni 3-4 tahun lepas, aku membayangkan kepakaran atau makanan yang paling laris di restoren ni adalah satay. 

Tapi sebenarnya Tidak. Dah lebih 5 kali makan kat sini, aku tak pernah pun nampak orang order satay. Aku syak dia namakan restoran ni satay atas alasan sama macam kes Cendol Bakar tempoh hari.

Ataupun sebab nak menampakkan kemalaysiaan. Boleh jadi jugak tu, sebab menu-menu yang terdapat di sini adalah terdiri dari makanan-makanan popular di Malaysia. Sebagai contoh Cendol, Nasi Lemak, Laksa, Satay, Nasi goreng pelbagai, Ayam masak merah dan lain-lain.

Rasa makanan di Restoran Satay-satay

Dari segi rasa, takdelah menepati citarasa aku sangat, memandangkan menu yang ada merupakan makanan yang dah biasa makan dan dekat di hati, kadang pilih je restoran ni untuk menjamu selera. 

Harga Restoran Satay-satay

Harganya bagi aku sedikit mahal berbanding kepuasan perut, kalau restoran ni terletak kat luar shopping mungkin boleh dapat harga yang lebih murah. *sorry tak sempat snap gambar harga makanan

Staff Restoran Satay-satay cukup baik

Walaubagaimanapun, faktor utama yang buat aku tak rasa terkilan untuk kembali ke restoran ni adalah layanan pekerjanya yang aku bagi markah penuh lah. Pada aku, pekerja dia dah buat yang terbaik dari apa yang dia boleh buat. Dari segi dia menyapa di depan kedai, cara bercakap, amik order, raut wajah dia masa melayan karenah, pulang baki dan displin di restoran semasa ada pelanggan memang perfek.Dari pertama kali aku datang sampai kali ke berapa ntah masih kekal bagus.

Itu je aku nak cakap. Selebihnya boleh tengok gambar hidangan yang aku makan pada kali terakhir aku ke restoran satay-satay ni beberapa hari lepas.

Restoran Satay-satay

Restoran Satay-satay
Laksa

Restoran Satay-satay
Kueytiow Kungfu


Alamat Restoran Satay-satay

  1. Paradigm Mall, Lg 25 & 27 No. 1, Jalan Ss7/ 26A Kelana Jaya, Selangor, 47301 Petaling Jaya, Malaysia
  2. +60 3-7801 1188

11 comments:

Supermodel

Google+ Followers

Pautan

Nota Kaki

Nota Kaki