Filem Roh ni aku nak tengok sebab ada Namron, tak pernah lagi aku tengok Namron berlakon tak best, kalau tiba suatu hari nanti bila mana Namron pun berlakon tak best, maknanya itu adalah Namron palsu..maknanya dah ada teknologi copy-paste manusia dan Namron yang asli telah dibekukan.


Atau mungkin ketika itu dia tengah berlakon pegang watak sebagai pelakon lelaki yang tak best dan memang jelas ditunjukkan betapa Namron berlakon tak best, demi menghidupkan watak. 



1. Kebiasaan tak semestinya betul, yang tak biasa tak semestinya salah. Bila aku dengar lagu, pertama kali mungkin rasa tak minat, tapi bila diulang-ulang rasa cenderung kepada minat pulak. Sebab tu bahaya hal-hal yang boleh mempengaruhi kita secara luar sedar, lebih-lebih bila kita tak perasan dah hadam makanan-makanan jiwa ni. Kalau baik okeylah, tapi kalau dah biasa yang tak baik pun rasanya baik ye dak.


2. Dont trust the influencer. 


3. Biasakan buat baik, supaya buat baik dapat diteruskan dan buat jahat tidak menjadi normal atau kebiasaan.


4. Bila difikirkan balik, mungkin sebelum kita tinggalkan dunia ni, kita tinggalkan benda baik, contohnya kita amalkan perkara baik supaya ianya jadi kebiasaan untuk masa-masa mendatang. Kalau kita masing-masing tinggalkan perkara tak elok, takut jadi kebiasaan lalu masa-masa akan datang benda tak elok adalah kebiasaan yang menjadi rutin. Perbuatan , lisan , hati.


5. Aku percaya pokok juga perlukan masa untuk membiasakan diri dengan sekeliling. Macam manusia, aku bila berada di tempat yang bersepah, memang akan stress dan rasa nak cari escapism untuk meredakan stress, pokok pun begitulah bila dibawakan ke tempat baru, atau ditukarkan pasunya, ada yang jenis mudah nak sesuaikan diri dengan persekitaran baru dan ada yang perlukan masa, tapi pokok bukan macam kita yang boleh keluar pergi jalan-jalan atau naik basikal untuk menangani stress, nak tak nak pokok kena hadapi stress, kalau beyond dia punya capacity untuk adapt memang dia akan murung, layu dan mengikut aturan alamnya - mati. 


6. Kita manusia kalau stress biasanya memang keluar rumah buat aktiviti yang sedikit sebanyak mengubah perspektif dan neutralize graf stress, asal stress je pergi bercuti, asal stress pergi bercuti, bila hilang stress balik rumah, stress lagi pergi bercuti, padahal mungkin apa yang kita perlu buat adalah mengemas rumah kita atau mengelak rumah daripada menjadi sumber stress. Tangani sumber stress, kalau tidak ditangani stress takkan habis pun..melainkan dah tak boleh nak ubah punca-punca tu, maka boleh cuba jadi pokok, adapt biasakan dengan suasana...bersepah atau bising, mengikut kapasiti masing-masing.

  • Draf-draf ni adalah hal yang aku boleh terang dan jelaskan, tapi aku banyak kerja lain nak buat masa ni..kalau disimpan lama-lama draf ni akhirnya dia akan jadi draf selama-lamanya, jadi aku terbitkan je la draf. Dah nama pun notapurba.com

ALOCASIA BAMBINO 

Semalam aku ada urusan di PJ, aku pun singgah nursery pokok melawat kawasan, sambil melawat tu mungkin boleh belajar satu dua perkara pasal gelagat pokok-pokok, atau mungkin boleh tengok harga semasa pokok-pokok. Atau mungkin boleh tenangkan fikiran. Ah banyak pulak alasan aku, nak pergi tu pergi je lah.

Bila masuk je nursery tu, semua pokok berdiri bagi salam, ada yang cakap bonjour mungkin baka dari Perancis, aku buat rock je jawab salam dengan acuh tak acuh dan suruh semua bawa bertenang, aku cakap kat dorang aku datang ni nak tengok-tengok korang je, jangan nak excited sangat, cash pun tak bawak banyak.

Tapi pokok-pokok tu dah dilatih oleh tuan kedai untuk tidak mengenal putus asa, masa aku pusing-pusing tu mereka meliuk-liuk dengan body seksinya, suara diserak-serakkan “please...please..you are handsome boy” bisiknya. Aku cuba baca doa-doa pelindung dan pendinding supaya tidak diganggu, lepas tu keadaan kembali tenang dengan angin sepoi-sepoi bahasa.

Cuma bila dah bertafakur lama dalam nursery tu, lepas ke sana ke sini, ke sana ke sini, akhirnya akan keluar kalimah azimat yang diucap para-para kesatria pokok, iaitu “sini boleh pakai kad ke”. Dia confirm cakap “Boleh!”. Arakian, dengan lafaz itu maka runtuhlah pendinding menjadi abu..pelindung menjadi asap, selesai.
Pagi tu tayar kerusi roda aku bocor. Tertusuk paku, lagi.Dalam keadaan tayar bocor sebelah,tersenget-senget dibuatnya, namun aku teruskan juga kayuhan pulang ke rumah. Hujan yang tadinya turun lebat tiba-tiba terhenti seperti sudah habis sisa tangisnya dan kini masa untuk mentertawakan nasib aku. Sebagai seorang yang berjiwa humor, aku pun tertawa sekali. 

Aku boleh dikatakan seorang pengguna kerusi roda yang agak aktif juga. Kerusi roda ini pernah menemani aku menuntut ilmu di Perlis, makan pasembur di Penang, menyertai aktiviti kayuhan di tepian sawah padi di Kedah, menaiki jambatan angkat terpanjang di dunia, menikmati keindahan Pantai Cahaya Bulan di Kelantan, merentasi taman-taman awam di Putrajaya, melihat buaya diberi makan di Sarawak malah pernah singgah di beberapa pulau dalam negeri Sabah, sebuah pengembaraan berkerusi roda yang penuh onak duri berjaya dilalui tanpa kerusi roda ini mengecewakan. Namun, siapa sangka, ia bertemu babak tragiknya di tempat yang disangka paling tidak merbahaya, di hadapan rumah sendiri.

Tayar ini umpama kaki aku, melihatkan paku yang tertusuk ke dalam tiub, terasa tajamnya seperti kaki aku yang terpijak paku ketika aku boleh berjalan di zaman kanak-kanak dulu. Kenangan berjalan yang kian tenggelami waktu. Aku ada tiga kenangan berkait dengan kaki. Pertamanya adalah kenangan terpijak paku , kedua adalah kenangan kaki tersepit di rim ketika basikal yang aku bonceng sedang bergerak. Pergh, dia punya sakit memang tak cukup kosa kata yang aku ada untuk menerangkannya dengan tepat.Sakit. Ya, sakit. 

Yang ketiga adalah kenangan yang paling signifikan, yakni ketika aku terlibat dalam kemalangan di usia 6 tahun yang sekaligus menjadi detik bersejarah perkenalan aku dengan kerusi roda. Kenangan yang dulu aku rasakan pahit kini seakan menjadi manis kerana sekarang kalau diseterika atau dikarate kaki aku sudah tidak rasa apa-apa. Ini bukan ilmu kebal yang aku peroleh dari bersahabat dengan jin, tapi secara saintifiknya disebut sebagai ‘spinal cord injury’.

Kini ke ceruk mana dunia aku pergi , aku tidak lagi meninggal jejak kaki sebagai kenangan tapi jejak tayar kerusi roda. Kemalangan tersebut telah mengubah dan menggondam algoritma tubuh aku menjadi kurang responsif pada arahan otak, namun nasib aku baik apabila doktor mengesahkan kekacakan tidak terjejas dan masih seperti asal.

Tidak seperti kaki yang dikurnia tuhan, tayar yang bocor boleh digantikan. Berbanding pengalaman bocor tayar sebelum ini, sekarang aku sudah bersiap sedia dengan tayar pengganti, sedikit sebanyak ini telah menyelamatkan aku dari menjadi serabut dan kelam kabut mencari kedai yang ada menjual tiub. Tayar bocor adalah putaran nasib yang sudah tertulis, namun kalau ada tayar pengganti sekurang-kurangnya pen yang menulis suratan ini warnanya sedikit menyenangkan hati.

Nak mencari alat ganti untuk kerusi roda pula bukan perkara mudah, seperti mencari jodoh kaedahnya. Masa aku belajar di Perlis dulu, roda kerusi aku pernah terseliuh (baca : mengalami kerosakan), setiap kali bergerak dia akan tersekat dan menghasilkan bunyi teriakan. Bayangkan lah pada masa tu memang tak jumpa tempat nak baiki, kalau ada pun tempat alat ganti tetap tak sesuai , jadi nak pergi kelas tu agak menguji kerohaniaan juga. Dengan dibantu rakan sebilik, kami terpaksa menggunakan satu kaedah tidak konvensional iaitu ‘wheelie’, yakni mengangkat tayar depan dan menunggang seperti mat rempit di ambang merdeka.

Alhamdulilah pengawal keselamatan tidak mengeluarkan saman dan tiada yang tercedera dalam aktiviti berbahaya ini. Cuma perasaan malu tu ada terselit sedikit. Nampak sahaja seperti berseronok, tapi siapa je yang suka jadi tontonan ramai, lainlah kalau setiap view dikira seperti youtube, itu bolehlah dijadikan punca pendapatan. Pergi mana-mana orang memandang dengan wajah kesian kerana menggunakan kerusi roda, kemudian kerusi roda yang digunakan tu tak dapat diselenggara dengan baik pula, malu bercampur syahdu.

Cuma aku masih berjaya tapis rasa kesian yang dilempar, supaya tidak melekat kat hati aku sendiri. Sebab rasa kesian tu seperti virus, mudah berjangkit dan melemahkan sistem badan, terutamanya imunisasi mental. Pokok-pangkalnya, aku tidak boleh dibuat rasa kasihan pada diri sendiri, aku bukan orang yang kasihan.  Rasa kasihan akan perlahan-lahan membuatkan harimau berbelang emas dalam diri aku ini menguap,mengantuk lalu tertidur 600 tahun lamanya, bangun pada tahun ke-601 untuk pupus.

Tidak dinafikan orang suka melihat atau menonton aku, sehingga timbul rasa kurang selesa seakan-akan aku begitu asing bagi mereka. Mungkin di fikiran mereka penuh tanda tanya tentang kehidupan aku, sampai suatu tahap mereka turut tertanya-tanya bagaimana masa hadapan yang bakal aku lalui. Walhal kita sebenarnya sama sahaja, cuma mungkin jalan yang aku lalui bukan jalan utama, sebaliknya aku menggunakan jalan alternatif yang berlainan dari majoriti namun arah tujunya tetap sama. 

Sampai suatu masa, memandangkan ramai yang suka memandang aneh, aku menerima ini sebagai salah satu lumrah dan hak alam yang berlaku semulajadi, sebagaimana teluk adalah hak ombak,ombak adalah hak pantai,pantai adalah hak pesisir, maka biarlah segalanya berlaku seadanya. Aku pun mulai kurang merisaukan hal menjadi perhatian, sebaliknya aku pakai baju elok-elok, sarungkan kasut yang ada gaya sikit, serta tak lupa untuk tambahkan sedikit keyakinan dalam senyuman supaya bila bertentang mata dengan masyarakat, mereka dapat melihat ke dalam diri aku yang ada impian dan kekuatan. Untung-untung ada yang jatuh cinta, haaa itu cerita lain.

“Lihatlah aku, aku juga seperti kalian, punyai hati dan perasaan-perasaan, ini adalah kerusi roda, jentera yang aku gunakan untuk menggerakkan hidup aku. Seperti cermin mata dicipta untuk orang yang rabun, jentera ini berkhidmat untuk aku dengan tujuan kehidupannya , itu saja. Aku juga seperti kalian, ingin mendaki impian, merasa kegetaran dunia, kesulitan yang mencabar-cabar, mahu pergi jauh menjelajah mengenal misteri dan seni kehidupan lalu menyerap dan mengembang dengan inspirasi, menikmati sari pati hidup!”

Begitulah kalimatnya lebih kurang jika mahu dibikin sedikit dramatik dan ala novel.

Kerusi roda sememangnya adalah sahabat baik aku, kami berkenalan sejak aku berusia 6 tahun dan mengenal hati budi masing-masing. Namun, tanpa sokongan keluarga dan kawan-kawan juga roda itu tidak berputar selayaknya. Rakan di bangku sekolah, di universiti dan di tempat kerja memainkan peranan dan memberi pedoman yang penting dalam pada aku cuba mencari jalan alternatif tadi.

Untuk aku sendiri, harus sebaik dan semampunya memberikan imej yang positif dan progresif kepada kerusi roda. Kerusi roda ni umpama sayap dan kebebasan untuk orang seperti kami,  ya kerusi roda harus membebaskan bukan mengurung atau mengikat kita pada stigma dan prejudis.

Aku sedar dan tahu, untuk keluar dari rumah sahaja adalah sesuatu yang mencabar bagi sesetengah OKU. Ramai yang terperangkap di dalam rumah kerana akses di luar tidak begitu mengizinkan. Sekaligus menjadikan kita takut pada dunia yang tidak menerima. Akan ada kesukaran dan penolakan kerana ketiadaan akses, kewujudan tidak diiktiraf sewajarnya seperti kita mahu mengeluarkan duit dari mesin ATM tapi gagal dan muncul paparan notis “Kad yang dimasukkan tidak sah”. 

Semasa mula-mula merantau ke Petaling Jaya dulu, aku banyak menggunakan pengangkutan awam untuk ke sana ke sini. Teksi adalah pengangkutan yang mewah bagi sesetengah orang, tapi boleh jatuh hukum ‘keperluan’ bagi OKU. Selain memerlukan wang ringgit, OKU juga memerlukan ketabahan untuk mendapatkan teksi.

Kalau ada 5-6 buah teksi beratur panjang, yang depan akan tunjuk insyarat untuk tanya teksi di belakangnya, kemungkinan kita kena berunding sampai teksi paling belakang baru lah akan ada teksi yang sudi hantar ke tempat yang hendak dituju. Kalau tidak kena ulang semula dari hadapan untuk naikkan sikit harga untuk mengubah keputusan pemandu teksi. Untung sekarang sudah ada perkhidmatan E-Hailing secara meluas, mereka sudah diajar secara praktikal dan adanya polisi untuk menyantuni OKU yang mempunyai keperluan khas. 

Sebagai OKU, kesukaran yang dialami dari aspek fasiliti bangunan dan pengangkutan sudah aku alami dan ianya adalah cerita yang berulang. Adakalanya, situasi ini membuatkan aku tidak dapat mengelak dari merasa geram bercampur kecewa. OKU amat takut pada tempat baru yang tidak diketahuinya. Apabila berdepan dengan tangga misalnya, aku terasa seperti pendatang asing tanpa permit, setiap anak tangga di hadapan itu adalah polis yang mengacu pistol. Perasaan gementar akan muncul  seperti peluru meluru laju ke jantung membunuh detakan semangat tersisa.

Walaubagaimanapun, aku sering mengingatkan diri sendiri, untuk sentiasa tenang dan terus memberi respon dan reaksi yang membina dalam apa hal yang boleh memberi input dalam proses menaiktaraf kemudahan dan sekaligus kesedaran terhadap OKU. Hal ini harus berjalan berterusan sampai jadi. Dalam masa yang sama, aku juga menggalakkan rakan seperjuangan untuk bersama-sama memberanikan diri meneroka ruang-ruang yang boleh diperbaiki. Orang kata, bersatu bertambah mutu.

Bila ada rakan seperjuangan OKU yang takut atau curiga untuk kemana-mana kerana akses yang tidak pasti, aku akan cuba kongsikan pengalaman peribadi aku yang boleh mengubah persepsi mereka. Aku juga akan mengajak mereka untuk keluar sama-sama, dengan harapan dapat menjentik sedikit keberanian dan memberi panduan, kalau ada kawan sekurang-kurangnya berat sama dijinjing, apa jua yang berlaku kita hadapi dan ketawakan bersama.
Sehingga ada antara kawan aku yang pada mulanya kalau nak ajak keluar tu perlu berunding panjang, sekarang sudah berani keluar sarapan dan tengok wayang di kotaraya sendirian, tak ajak aku pulak tu.

Bila ada rakan seperjuangan yang tidak cukup semangat untuk mengayuh kerusi roda, kebanyakkan masanya mengharapkan bantuan orang lain untuk menolak dia ke sana ke sini, aku cuba mempengaruhi dia untuk menjadi lebih kental supaya kehidupannya dengan kerusi roda bukan sekadar hidup, tapi hidup yang lebih mengujakan. Kini dia bukan sahaja mengayuh kerusi roda lebih laju daripada aku, bahkan telah menamatkan marathon 42km dengan jayanya pada tahun ini. Hebat bukan? Perangai macam sarang tebuan, baru dirodok sedikit semangat, sudah meradang!

Kita harus bina ‘Norma Baharu’ untuk warga OKU, bertenaga dan berdaya saing dalam apa jua bidang, sehingga menjadi sebahagian dari masyarakat yang dipandang hormat dengan kredibiliti dan kebolehupayaan tinggi. 

Seperti peristiwa tayar aku yang bocor, kita mungkin teragak-agak untuk keluar dari kubu persembunyian kita yang kita rasakan selamat, walhal yang menjadikan kita kuat adalah ketakutan-ketakutan yang berjaya kita patahrenyukkan. Roda harus terus berpusing kerana lumrah siang dan malam tak akan menunggu. Hidup penuh liku-liku, onak dan paku, jangan sesekali berundur. Mari keluar mencari semangat dan inspirasi di setiap selekoh hidup, kerana kita belum tahu inspirasi mana yang akan membawa kita menyusuri hakikat kewujudan. 


Perjalanan menuju healty diet yang penuh onak, duri dan teh tarik madu.

Maafkan aku jika aku ketawa setiap kali anda mengungkap kalimat azimat keramat “aku nak diet”, “nanti nak start diet healthy” dan seumpamanya, bukan sengaja bersikap sinis namun kita sedia maklum bahawa perjalanan menuju healthy diet adalah sangat panjang dan tiada jalan yang lurus. Pelbagai onak duri dan ranjau harus ditempuhi, anggaplah post ini sebahagian dari ranjau.

Ada jalan yang bengkang bengkok macam ular kena palu, sekejap on sekejap off dia punya diet. Ini ok lagi asalkan jalannya terus ke hadapan, biar lambat asalkan jadi, tapi kebanyakkan kes lepas dah off susah sikit nak on balik. Ada yang bila dah ON OFF ON OFF ON OFF, last sekali butang ON dah rosak, sama macam butang baju dah tercabut akibat terlebih muatan.

Ada pulak jalan yang berpusing-pusing, dah macam masuk bulatan kat Shah Alam berpusing macam gasing. Dia kata diet diet, tapi asik asik muka dia berpusing kat kedai makan. Dalam kepala dia berputar-putar menu makanan dan masakan, silih berganti, tapi katanya dia sedang diet..ah sudahnya aku lak yang pening.

Setakat ni aku jumpa sorang la yang betul-betul ikut rapat diet pemakanan, Fuad Sanoesi dengan diet memang sahabat karib. Kau offer dia makan apa pun dia geleng-geleng kepala, rasa nak pusing je lehernya tu, cukup berkira dengan pantang larang dalam masakan/makanan terutamanya kemanisan lah. Rasanya semut pun dah blacklist rumah dia.

Kalau nak makan kat A&W, MCd atau KFC , kena bergaduh dulu la baru dia nak order, itupun dia order kentang je..kita pun makanlah ayam goreng depan dia tanpa rasa bersalah.

Manakala, orang yang paling mudah aku nak rosakkan diet ialah Ellias Ruslan. Diet dia memang macam harga minyak turun naik, tengah-tengah dia cerita pasal dia tengah diet 2 minggu tak makan nasi ke, tak amik gula ke, sarapan roti ke biskut ke, karbohidrat, senaman, apa ke, aku dengar je dulu pastu aku hulur menu je terus dia lupa asal usul, semudah tunjuk gambar di menu atau tunjuk makanan kat pinggan aku..cukup, terus dia panggil waiter dengan suara manja. Tak payah susah-susah, makanan sampai terus takde dah cerita pasal diet diet ni.apebende diet.

Ada sekali tu pergi aktiviti sukan di luar kawasan, time makan macam biasalah catering hidang aneka lauk macam bantal memanggil jiwa yang mengantuk, Ellias awal-awal dia amik sikit letak dalam pinggan. sambil makan dia cerita yang dia makan sehari sekali je, lepas tu orang ajak dia pun tambah, datang pulak orang lain ajak dia pun amik lagi, aku lagi ajak..dia amik lagi. Aku perhatikan je game mamat ni, aku pun tanyalah tadi kau kata sehari kau makan sekali je, sekali campur sekali kan dah dua kali, campur lagi sekali kan dah 3 kali, dia jawab memang sekali lah tapi makan banyak terus. 

Aku pun macam terpedaya dengan ayat dia, tapi aku betulkan sikit, maksudnya bukan sekali lah dia makan, tapi sekaligus. Terel betul lah Lias ni..aku suspek kat perut dia banyak poket boleh simpan stok.

Note : Ini aku cerita yang lelaki je lah, kalau yang wanita lagi dramatik dan seram, takut pulak nak cerita. Benda ni aku tulis kat facebook, sebab tu ada main petik / tagged nama yang berkenaan.




Life is so random, but it’s all written. MAKTUB.


Sesekali akan ada orang yang muncul beritahu aku yang dia follow belog aku yang dulu atau dari dulu.  Aku tak tahu nak kata apa, sebab aku pun tak berapa kenal Fendi yang dulu. Kadang bila aku baca penulisan aku yang lama, aku rasa macam membaca sesuatu yang cerdik dan masih relavan, perasaan ni tak bagus sebab macam mencetus persoalan ‘adakah aku semakin tidak cerdik?’. Bila bercakap soal wanita pula, ada elemen romeo dan aku syak kebijakkan dan keromeo-an telah membawa haluan hidup masing-masing, meninggalkan aku seorang pemuda yang baik dan pemalu.

Manusia berubah berpunca dari peredaran masa dan pengalaman, mungkin permutasian pengetahuan dan perubahan hormon juga memainkan peranan. Perubahan memang perlu dan ada masanya dituntut. Rugi kalau kita melihat/memahami/hadam sesuatu filem atau buku tu sama masa kita kecil dengan sekarang, itu maknanya pemikiran kita masih lapuk tak berkembang. Filem P. Ramlee misalnya, lawak yang kita ketawakan dulu mungkin tidak sama apa yang kita ketawakan sekarang, sisi penglihatan dan kesedaran kita sudah menjelajah ke daerah yang lebih meluas.

Pastinya kalau aku jumpa Fendi versi 2010 atau 2005, aku akan berdiskusi panjang atau lebih teruk lagi berkelahi dengan mereka. Sebab aku mungkin tak setuju dengan apa yang Fendi dulu buat, aku yang dulu pun mungkin tak setuju dengan apa yang aku buat sekarang, manusia berubah kita mungkin jadi apa yang kita benci dulu. Aku yang dulu pastinya terkejut melihat Fendi 2020 yang berbincang pasal pokok-pokok di media sosial...mana hilangnya rockersmu yang dulu?

Aku suka memerhati hujan dari sebalik cermin dan memandang ke luar. Kalau kat kedai tu port yang syahdu memang duduk kat sudut tepi tingkap,  kemudian fikiran menerawang jauh menembusi dinding-dinding rindu dan keterbatasan jasad. Mungkin ini perasaan biasa manusiawi yang suka bergelumang dengan elemen alam, melihat air yang mencurah, tanah yang dirempuh titisnya, angin yang menderu dan mungkin gelagat bolak-balik manusia sekitarnya. Melihat manusia, atau sebenarnya mungkin diri sendiri. Melihat kita. Ternyata kita adalah sama, di arena mimpi yang penuh bermakna. Connection. 

‘Look at the people. You tell me which ones are free.., free from debt, anxiety, stress, fear, failure, and dignity, betrayal, how many wish they were born knowing what they know now. Ask yourself how many would do things the same way all over again? And how many would live there lives like me?’

Perilaku ini secara tak aku sedari, sama seakan aku membaca blog atau tulisan di mukabuku.  Kita baca tentang orang-orang yang kita tak kenal, tapi ceritanya barangkali menyingkap atau menghubungkan kita pada satu perasaan yang sama. Ada kalanya kita akan terkejut betapa cocok tulisan itu dengan perasaan kita, seperti garis lurus yang menembak tepat. Perasaan yang selama ini berkeliaran dalam fikiran kita, yang masih gagal untuk dicernakan pengertiannya dengan baik. 

Kebiasaanya kita akan terminat dengan penulisan yang seakan menyampaikan isi fikiran kita, tapi dengan perkataan-perkataan yang lebih elok. Contohnya aku nak beritahu tentang kemalasan untuk bersenam tapi nak lahirkan ayat-ayat tu terasa tak tepat dengan perasaan, tapi tiba-tiba terbaca orang lain tulis tentang subjek yang sama terus terasa waaaahh wahhh ni lah yang aku nak cakap..ni lah yang aku nak cakap..maka tersingkaplah tabir yang menyembunyikan seribu kata.

Menulis adalah sesuatu yang berani, sampai satu tahap menjadi spritual provoking, kerana dalam menulis berlakunya proses berfikir-bersoal, kita mengali ke dalam diri kita, Ianya seperti penjelajahan minda, penyerahan perasaan dan penyimpanan fakta, kemudian kita mendedahkan kepada umum..berapa ramai sahaja yang berani melakukan ini, kebanyakkannya lebih suka merahsiakan kerana ruang itu adalah sangat vulnerable / rapuh.

Menerusi penulisan, aku cuba sedayanya untuk berlaku adil dengan apa yang cuba dicerita, supaya tidak berbunyi terlalu hype dan juga tidak terlalu tawar. Apapun yang aku tulis, serius atau tidak, anggaplah ia bukan sesuatu yang konklusif, sesiapa pun berhak untuk membuat andaian dan memahami mengikut pemahaman masing-masing, serta aku juga berhak untuk tidak peduli.Kekhilafan dan ketidaksempurnaan juga pastinya akan muncul di sana-sini kerana sesungguhnya ini bukan kita suci.

Asalkan memberi kata seikhlas hati. Tak semudah bermain buaian..tapi kalau ia datang secara semulajadi, buaian pun boleh berhayun dengan kuasa alami. Suddenly a conversation / eye-contact or some writings can spark a connection. Mungkin kerana kita semua sebenarnya ada hubungan yang di suatu ruang yang belum tersingkap pintu dan tingkapnya. Kunci yang masih belum diputar. Kontrak pada alam yang masih terikat sehingga diberitakan kelak.


Kali ni aku nak tulis sesuatu yang serius dan spritual. Tentang arena karaoke yang kian dilupakan pasca covid19.

Suka menyanyi tapi suara tak sedap adalah kombinasi yang menyedihkan bagi sesiapapun, sama seperti cinta tak berbalas. Cinta kau sebesar alam , sedangkan gadis tak sedarpun kewujudan kau walau sebesar zarah. Namun berita baiknya, meski tidak berbalas malah kau terus mencintai, itu tandanya kau sungguh-sungguh ikhlas dengan apa yang kau buat dan rasa. Ikhlas bukan hal main-main wahai orang muda.

Semasa PKP kita dapat lihat populariti group Masak Apa Tak Jadi misalnya, di mana kita sudah berani menerima kekurangan diri dan meraikannya bersama rakan-rakan. Sebenarnya kita sebagai manusia bukan best pun nak cerita kita bagus itu ini ,kita dah lama sangat simpan diri kita yang sebenar, sampai masa kita nak luahkan atau nyanyikan lagu mengikut rentak sebenar kita, payah nak ikut rentak orang manjang, kadang lirik kat skrin dah terang-terang tulis perkataan lain mulut kau nak jugak sebut perkataan lain sebab terlalu bermain dengan feel sendiri.

Sebab tu aku kata, Karaoke adalah satu aktiviti yang menyentuh jiwa seorang yang tak berapa bagus menyanyi atau yang menyanyi serupa setan. Bagi insan yang mempunyai teknik nyanyian dan bersuara sedap, karaoke hanyalah atas dasar kepuasan dapat menzahirkan bakat terpendam. Namun karaoke bagi orang yang mengundang kejian bila menyanyi, ianya adalah  sesuatu yang spiritual. Ianya mengundang marah dan dalam masa yang sama membuka pintu keampunan dan keinsafan. Kita mula sedar manusia tidak perfek justeru memeluk kekurangan dan kelemahan yang ada, sambil tidak merasa diri lebih bagus daripada orang lain hanya kerana suara kita lebih sedap didengar.

Kau jangan sembang dah kenal habis dengan kawan baik kau, selagi kau tak berani nak nyanyi depan dia, atau dia masih tak karaoke depan kau. Bila kau dah persembahkan lagu karaoke, berdasarkan kemampuan kau , seadanya , dengan sumbangnya, dengan tempo-larinya, dengan bunyik kucing tercekiknya, dengan seadanya..maknanya kau dah bersedia untuk menerima dan selesa dengan diri sendiri. 
Hidup ni bukan nak kena tunjuk terel je.
Bila anda keluar dari bilik karaoke tanpa perasaan kesal dan malu dengan kawan-kawan selepas menyanyi macam haram, maknanya self esteem anda dah keras sikit.

Tapi pada-padalah jangan perasan sangat lak, kalau kawan tak marah tak bermaksud kau bersuara emas, kadang bunyi kentut lagi merdu.

Bila kau selesa dengan diri kau, percayalah kawan-kawan pun akan selesa berkawan dengan kau dan next karaoke session pasti dia tak teragak-agak untuk ajak kau lagi. Pertama sebab kau selesa dengan diri kau apa adanya, kedua dapat jimat nak kongsi bayar satu bilik besar dan yang ketiga yang paling signifikan..at least kalau kau ada sekali selamat sikitlah sebab bukan suara dia yang paling spoil.

Syukur..

Sebenarnya bila aku dah dengar ramai orang menyanyi karaoke, sebenarnya walau seteruk-teruk manapun kau nyanyi, mesti akan ada jugak akhirnya lagu yang kena dengan kau yang mana bila kau nyanyi bunyinya macam kena, cuma kau belum jumpa lagi lagu tu. Kalau kau tak percaya, kau boleh pergi pusat karaoke bayar untuk sehari macam duduk hotel, kau test lagu nombor 1 sampai nombor 10ribu..mesti ada 1 atau lebih. Kalau takde jugak yang mengena, mungkin lagu tu belum dicipta lagi.

Eh.Aku cerita ni macam tahu sangat pulak pasal orang nyanyi tak sedap, korang jangan salah anggap pulak yang suara aku tak sedap, pleaselah. Aku kalau menyanyi dalam hati ni, boleh buat suara macam-macam, kadang macam Faizal Tahir..kadang macam Jamal , kalau nyanyi lagu mat saleh tu bunyinya memang  mat saleh habis dah macam anak jati kampung Winsford, UK. Kalau lagu raya apatah lagi, boleh sampai terasa rendang tok ayah kat lidah tu. Dalam hati lah tapinya.


Lepas graduate aku sempat berhibernasi  selama beberapa bulan (tempoh masa yang tak berapa nak ingat dengan tepat), setelah merasa puas hidup sebagai pelajar dan kemudian jadi pengkritik drama melayu tak berlesen , aku mula cari cabaran baru.

Memandangkan semasa hibernasi tu aku kerap jugak pergi shopping mall menziarah kedai buku (kadang beli kadang ambil bau pun cukup), atau layan tengok wayang kalau ada cerita best, aku rasa ada heloknya juga kalau dapat kerja di shopping mall. Macam-macam ada di shopping mall..anjing dengan kucing pun aku nampak ada orang jual kat kedai Pet shopping mall. 

Lagi pula dari pemerhatian aku shopping mall menyediakan banyak kemudahan untuk pengguna kerusi roda seperti tandas OKU dan parking OKU, maka setelah 2-3 kali nampak poster interview terbuka (walk in ), hati aku pun terbuka jugak untuk singgah dan bertanya satu dua perkara. Tapi aku tak walk in sebab kaki aku dah expired awal, aku roll in.

Temuduga yang cukup ringkas tak ada soalan sains seperti perubahan suhu bumi atau soalan tentang matrix of client’s satisfaction atau philosopy of business misalnya, kalau ada soalan yang deep-deep tentang human behavior aku dah bersedia dengan beberapa quotes dari ahli falsafah Aristotle,tapi memandangkan ini adalah jawatan kerani sahaja, soalan yang dikemukakan straigt forward seperi kemahiran menggunakan komputer. 

Setakat burn CD, nak install game , atau dan download video dari youtube aku dah belajar dari Faiz Edzahar. Tapi aku takdelah cerita semua itu, aku beri jawapan standard la setakat software Bill Gates tu bolehlah tekan-tekan secara asasnya, kalau ada error yang bukan-bukan kau restart je PC abis cerita.

Lokasi tempat kerja pun tak jauh sangat dari rumah, mak dengan ayah aku akan hantar dan amik aku ikut availability masing-masing. Hari pertama sampai hari terakhir tak pernah lambat walau seminit, salah satu value yang aku belajar secara tak langsung dari rumah..tidak curang dengan masa.

Kerja di syarikat retail ni yang aku nampak job nature tak semua orang boleh tahan, bukan kerja yang popular di kalangan anak muda masakini kerana kena kerja 6 hari seminggu dan shif bertukar-tukar, memang gitulah kaedahnya. Kena ada minat dan kerajinan yang tidak berbelah bahagi juga untuk survive dan buat duit dalam bidang ni. Pada masa tu, kompas penunjuk arah aku lebih kepada mencari benih-benih inspirasi dan pengalaman.

Basically aku buat apa je yang supervisor atau exec aku suruh buat. Walaupun aku berada dalam department HR (training, hiring, kira gaji dan sebagainya) tapi sekali skala buat jugak kerja bahagian akaun, kadang-kadang turun jugak ke bahagian jualan ketika berlangsungnya promosi-promosi tertentu sebab pelanggan pada waktu tu berkerumun menyebabkan kakitangan tambahan diperlukan. Sebenarnya kalau disuruh sapu sampah pun aku akan sapu la, tapi lewat sikit lah siapnya.

Bila dah lama sikit buat kerja dalam pejabat, supervisor aku suruh pulak ikut dia interview orang untuk cari staff baru, sama ada untuk sementara atau yang nak kerja lama. Jadi ada jugaklah pengalaman menguruskan temuduga terbuka di pintu masuk shopping mall. 

Secara ringkasnya kerja aku adalah buat muka yakin sikit, beri maklumat berkenaan kerja kosong yang ditawarkan dan bertanya soalan-soalan untuk mendapatkan maklumat tentang calon. Technically tak begitu sukar, macam kita nak berkenalan dengan kawan baru, cuma kita tak tanyalah awak suka makan apa, awak dah ada boyfren ke belum.

Walaupun tak rumit, namun ianya mendebarkan juga lebih-lebih lagi bila yang datang tu adalah gadis-gadis lepasan SPM (yang comel). Kadang gadis-gadis ni cakap slow sampai aku tak dapat dengar, mendebarkan sebab aku pun suara tak berapa nak kuat jugak, kalau dah dua-dua berbisik ni nak kerja ke nak bercinta ntah. So aku kena betul-betul peka, kalau-kalau dia ada cakap i love you ke tu yang susah nak handle, tapi sayangnya memang takde, kebanyakkannya tanya pasal gaji.

Lepas lama-lama, supervisor aku pun suruh aku jaga kaunter interview sorang-sorang memandangkan kerja di pejabat pun bukan makin sikit ye tak. Aku tak kisah sebab seronok jugak sebenarnya kerja luar ni sekali skala. Boleh borak-borak dengan orang, kebetulan pulak skill borak-borak aku memang tak A..bolehlah praktis sikit. Tapi takdelah aku tanya soalan yang susah pada calon, ini untuk jawatan Pembantu jualan atau casual worker lah lebih kurang,
ini bukan jawatan gaji ribuan nak kena soal apa logik suami-isteri kena makan jarak-jarak kat restoran padahal kat rumah dah berguling macam filem hindustan.

Kalau  calon berjantina lelaki aku cuba anggap macam kawan je bila temuduga, aku bukan nak test IQ EQ atau kemahiran berfikir secara kritis dan kritikal, secara peribadi pun aku rasa dorang lagi bagus-bagus daripada aku, temuduga ni sekadar nak sahkan kau sesuai atau tidak untuk bekerja di sana, macam job matching , nak discover apa yang sesuai..kalau kau suka masak maybe bahagian dapur ada kosong. Kalau kau suka bersukan, mungkin bahagian alat-alat sukan lebih menerujakan untuk bekerja cuma bergantung pada kekosongan la. Kalau lelaki badan sado-ado sikit maybe sesuai bahagian yang memerlukan untuk pikul barang..security pun boleh. Yang tahan stress dan kuat tenaga batin bolehlah jadi cashier..sebab jadi cashier yang duduk di kaunter, kalau customer tengah beratur panjang dan dan kau rasa nak terkencing kenalah kepit sekejap..terseksa batin tu.

Yang bestnya kerja shopping mall, kalau ada nak jumpa kawan misalnya, boleh suruh lepak kat shopping mall lepas abis waktu bekerja, mudah kan? Lepastu dalam tu ada karaoke dan wayang pulak, sebelum masuk shif sempatlah tengok movie kejap.

Kadang time kerja boleh terjumpa kawan-kawan sekolah yang datang nak beli barang. Pernah sekali masa aku tolong di bahagian jualan, tengah sibuk-sibuk chop voucher dan bungkus membungkus, terserempak pulak dengan dengan customer yang aku kenal.

Kan tadi aku dah kata aku tak pandai berborak, aku dah nampak perempuan tu beratur dengan perut sarat dalam barisan, bila sampai je giliran beliau aku pun tegur sapa beliau. “Dah berapa bulan?” tanya aku sekadar berbasa-basi, merujuk kepada kandungan beliau. Kau bayangkanlah, aku yang muka innocent, jujur dalam berkata-kata, nerd tak pandai menipu tanya soalan begitu.

Dia kata ‘mana ada’. Maksudnya tak pregnant pun. Kau bayangkanlah, aku yang muka innocent, jujur dalam berkata-kata, nerd tak pandai menipu, bayangkanlah pula perasaan beliau terhadap pertanyaan aku yang memang nampak serius tak bergurau.

Lepas tu aku rasa nak pergi break kejap, amik wuduk dan bertaubat, aku takut ada neraka khas untuk orang yang tersilap cakap macam aku.

Selain pengalaman hitam tu, takde apa sangat yang hitam. Kenangan yang baik aku simpan lah sampai bila-bila, rindu nak dengar tazkirah Encik Miki , rindu nak dengar kelakar supervisor aku yang jenis tegas tapi lembut hati jugak sebenarnya. Kalau dia marah-marah orang nanti lepastu dia sendiri akan kesian kat orang tu pulak. Kadang ada jugak dia mintak pendapat aku, laku jugak pendapat aku sebenarnya kan.

Selepas itu aku dapat panggilan kerja di tempat lain. Ironinya, sebagai insan yang tak reti bercakap sangat atau malas nak cakap, aku dapat tawaran kerja di call centre tempat orang yang kerjanya bercakap siang dan malam. Masa sekolah dulu pun cikgu aku masukkan nama aku untuk pertandingan berbahas, yang aku buat dont know je bila nama dipanggil. Lepas kahwin bini aku tak habis-habis ajak berbahas pasal kenapa minyak kereta cepat habis, nak balik kampung mana satu, boleh salam ke tak boleh salam masa hari raya, berapa duit yang cukup untuk membolehkan pergi travel.

Muka aku ada macam orang pandai bercakap / berbahas ke?


Sebelum aku tamat belajar dulu ada satu latihan industri yang aku perlu jalani dan penuhi sebelum graduate, ataupun orang panggil internship. Sebagai pengguna kerusi roda sepenuh masa, perkara ini sedikit sebanyak mendebarkan aku, soal kemampuan dan skill aku dah memang satu hal aku sendiri pun tak yakin, pengalaman kerja di pejabat memang sifar di ketika itu, kalau tengok drama melayu yang scene pejabat-pejabat tu banyaklah menerusi slot samarinda..tapi itu lebih kepada rampas kekasih orang lah dan aku belum sedia dirampas kerana masih single.

Lagi satu hal yang bikin debar adalah akses kerusi roda dan stigma terhadap OKU. Walaupun debar, tapi aku spesis manusia yang realistik sebenarnya, aku boleh terima rejection dan menerima kekecewaan tanpa rasa perlu sakit hati dan menyalahkan Yahudi.

Satu dua surat permohonan aku hantar dengan besertakan gambar ukuran pasport yang paling sedap mata memandang, dalam keadaan terdesak macam ni tak salah kiranya aku cagarkan paras rupa untuk graduate. Untung-untung bos nak jadikan menantu macam slot samarinda tu.

Surat permohonan yang aku hantar pun bukan membabi buta, sekurang-kurangnya aku kena pastikan jugak tempat tu nanti aku boleh pergi andai kata diterima. Kebetulan pada masa tu aku memang selalu keluar ke KL, bila nak ke KL tu memang aku akan jejak di KLSENTRAL dulu, pada masa tu KLSENTRAL ni memang kiblat untuk aku melibur dan melihat dunia, hub untuk ke tempat-tempat lain, sebabnya di sana ada kemudahan dan akses untuk kerusi roda, so aku tak rasa terasing dengan manusia lain. 

Lalu idea pun tercetus, alang-alang aku mohon je untuk intership kat KLSENTRAL, kemudahan dah sedia ada dan mungkin boleh dijadikan batu loncatan atau exposure untuk memberanikan diri. Untuk pengetahuan semua, saya adalah seorang yang pemalu. Kadang dibuat-buat, tapi biasanya memang kalau ada orang perempuan datang rumah saya takkan keluar bilik. 

Tak lama sangat lepas tu aku dapat surat penerimaan internship siap dimaklumkan akan beri elaun lagi. Aku rasa macam susah nak percaya, interview pun tidak tiba-tiba dapat peluang internship dengan syarikat yang establish, lega bercampur ragu-ragu sikit dibuatnya. syarikat dan nama supervisor segan pulak aku nak sebut, sebab aku pun bukan trainee yang boleh dibanggakan mana pun..kahkah.

Aku amik langkah berjaga-jaga datang sebulan awal dari tarikh yang sepatutnya. Tujuannya untuk pengesahan penerimaan sambil berjumpa HR secara tak rasmi memberitahu keadaan aku yang berkerusi roda. Kalau ada sebarang halangan atau kesukaran bolehlah aku bincang atau cari tempat lain yang lebih sesuai. Tidaklah kelam kabut di kemudian hari. Pada hari tu nasib baik menyebelah, apabila dipertemukan dengan pihak yang baik dan tepat. 

Bukan sahaja pihak pengurusan menerima aku tanpa apa-apa syarat, bahkan meminta pandangan aku pula untuk menambahbaik apa-apa jika perlu mengikut keperluan aku. Ini sudah cukup baik, lebih baik dari expectation sebab sebenarnya aku menjangkakan sesuatu yang lebih birokrasi..bukan something straight forward begini.

Berterima kasih kepada semua yang membolehkan aku belajar beberapa perkara dalam alam pekerjaan, apa yang aku perhati dan apa yang dileteri, sedikit sebanyak mendedah dan mencorak pemikiran awal aku untuk terus berkembang. pengalaman awal yang baik sebegini memang penting, menjentik satu semangat dan rasa percaya diri.

Aku tamatkan internship selepas 4-5 bulan, membawa pulang pengalaman dan pelajaran lumayan(serta thesis yang separuh siap).Jika anda lama di Klsentral, anda pasti akan bertemu dengan karakter-karakter aneh. Orang yang ceritanya ada banyak duit tapi endingnya mintak duit dari aku misalnya, atau gadis yang menfitnah aku kacak tapi aku tetap sabar.Dalam cerita orang lain pun, aku mungkin salah seorang watak aneh tersebut.Tapi sebab ni adalah cerita aku, so aku prefer untuk ambik watak hero dan mengepost satu foto hensem ala-ala samarinda...punyalah panjang aku taip padahal nak post gambar ni je.




Nak dijadikan modal bercerita, seminggu sebelum PKP diumumkan tu, aku pindah rumah secara rasmi. Tak jauh mana pun, berpindah dari KJ ke KJG.

Timing agak tak berapa cantik. Lepas pindah kena pulak kurung. Time tu rumah memang takde perkakas memasak sangat, peti ais takde, meja makan takde. Nasib baik dah biasa makan di lantai atau kalau lenguh masih boleh beralaskan kotak yang tinggi sikit supaya senang nak suap nasi ke mulut. 

Part ni aku bagi peluang kat ex-girlfriend atau kekasih tak jadi atau wanita-wanita yang pernah tidak sampai cintanya. Korang boleh bermonolog dalam hati. “Peh..alas kotak je, nasib baiklah tak jadi...aku kurang-kurang nak IKEA”.

Hampir sedekad tinggal di KJ, banyak memori yang tak sempat aku notakan. Mungkin dari masa ke semasa aku kena tuliskan supaya boleh disemak pada masa akan datang.

Pertama kali aku sampai ke KJ tak sangka aku akan stay begitu lama. Terima kasih Farah Wahida sebab temankan aku melawat kawasan. Asalnya datang sebab dapat kerja di KJ , maka aku pun carilah rumah sewa yang dekat dengan pejabat. Rezeki tak salah alamat, aku dapat sewa bilik di rumah yang betul-betul di belakang pejabat.

Dia punya dekat sampaikan aku boleh makan kat pejabat dan balik basuh tangan kat rumah. Bukak tingkap bilik dah boleh nampak bumbung pejabat..kalau nasib tak baik boleh nampak kepala bos. 

Benda bagusnya boleh jimatkan masa+kos pengangkutan lah. Tapi yang tak bestnya kalau aku cuti pun muka aku akan berkeliaran di sekitar pejabat, sebab tu kan kawasan rumah aku.

Bila aku nikah dan kemudian berhenti kerja di tempat tu, aku berpindah 3km dari situ. Kali ni sewa rumah berdekatan dengan WISMA FAM, betul-betul di sebelah kedai mamak kat situ. Kesian siapa yang datang rumah aku sebab dihidangkan air teh ais / teh o ais fresh dari mamak, lagi kesian aku suruh je beli makanan kat mamak pastu makan kat rumah aku...makan pun dalam bekas mamak sebab pinggan pun aku tak bagi.

Mamak ni pulak memang port pemain bola selalu mengeteh, iyalah FAM tu kan Football Association of Malaysia. Antara yang aku pernah nampak adalah Shukur Adan, Apek, Safee Sali, Amri Yahya, Idlan Talaha dan beberapa lagi. Ramai sampai aku pun tak sempat nak catch-up dan terpaksa buat-buat macam takde benda (padahal dalam hati ada sedikit teruja). Pernah sekali aku drive nak balik rumah hampir nak terlanggar Amri Yahya, nasib baik Amri jenis pandai mengelecek kalau tidak aku pulak yang kena ganti dia main malam tu. 

Yang paling hampir aku pernah jumpa adalah Zaquan dengan Badrol Bakhtiar yang tengah makan laksa depan FAM. Time tu mana ada penjarakan sosial, duduk memang rapat kalau aku angkat ketiak mungkin dorang dapat bau sikit deodoran aku, memang rasa nak ajak bergambar untuk dijadikan modal berlagak tapi malas nak ganggu privasi dorang ye tak. Sebenarnya aku tak pasti Zafuan ke Zaquan sebab muka lebih kurang.

Yang seronoknya tinggal di KJ ni, tak besar sangat dan tempat-tempat awam berdekatan. Bila aku malas nak bawak kereta, aku boleh je kayuh wheelchair kalau nak pergi kedai makan, pergi beli burger, gunting rambut, giant atau pergi masjid. Sebenarnya stesen minyak pun dekat, tapi tak pernahlah aku pergi stesen minyak tak bawak kereta, apakejadahnya pulak kan.

Tapi yang paling selalu pergi rumah kawan aku lah Aminoor Farid Abdul Halim..melepak dan bermain teka-teki menguji IQ. Kebetulan pulak rumah kawan aku tu betul-betul dekat dengan masjid, sampaikan ada masanya aku boleh terkeliru, asalnya nak pergi terawih tapi terpergi rumah kawan main playstation entah berapa puluh rakaat. Merapatkan silahturrahim kata orang.

Begitulah kisahnya, cerita ni memang takde ending.
Bergoncang jiwa rockers aku sepanjang PKP ni, mula-mula layan Korean Movie dan Drama, time berbuka puasa boleh pulak tengok cerita Bukan Gadis Biasa..sekarang dah jinak-jinak jadi mat bunga pulak. 

Ni semua agenda Yahudi nak menjatuhkan rockers secara halus.




SEMBANG BUKU - Pengembaraan Laki-laki Scorpio



Ada kelakar yang kena, ada yang tak kena. Kebanyakannya antara kena dengan tidak. Terpulanglah kau nak amik ia sebagai apa.

Pengembaraan yang nampaknya terlalu imaginatif tanpa batasan. Aku hampir-hampir nak tamatkan di bahagian pertengahan tapi aku gagahkan juga melayani imaginasi buku ni. Mungkin sebab bahasanya mudah dan pergerakan cerita laju jadi tak rasa berat sangat.

Pengembaraan seorang lelaki yang lari dari rumah kemudian berjumpa ikan duyung, pari-pari, sotong gergasi dan lain-lain lah. Aku tak dapat kaitkan hubungan cerita antara makhluk-makhluk yang lelaki tu jumpa selain hanya khayalan, untuk melampiaskan nafsu menulis mungkin? Boleh dikatakan ini adalah gaya penulis Hadi M. Noor yang tidak boleh bercerita secara serius, aku boleh faham hal tu sebab aku pun susah nak serius bila cerita hal serius.

Ada sedikit sebanyak pendirian, falsasah dan pendapat peribadi yang diselitkan dalam penceritaan. Mungkin ini adalah taman permainan / medan fikir penulis / watak dalam cerita ini, semuanya disampai secara santai.

Nasib baik penamatnya teratur dan tersusun, tak meninggalkan kesan sangat tapi sekurang-kurangnya tak rasa macam kena game.haha. Oh lupa, dia ada jumpa makhluk asing jugak.

#sembangbuku

SEMBANG BUKU
Lelaki Harimau - Eka Kurniawan


Cerita dimulai dengan satu pembunuhan kejam tanpa senjata. Punyalah awal dia punya klimaks, kemudian baru diperhalusi satu per satu lembaran cerita yang tragis.

Margio membunuh Sadat dengan hanya menggunakan gigi beliau, mengokak leher Sadat tanpa belas dan perikemanusiaan.

Persoalannya. Bagaimana beliau melakukan pembunuhan tersebut? Apa pembakar semangat Margio sehingga sanggup berkelakuan sebegitu brutal dan gothik? 

Cerita bergerak dari belakang ke depan dan melompat dari satu garis masa ke masa yang lain bagi membuka dan menghuraikan satu demi satu kisah tragik yang berkisarkan pada watak utamanya Margio dan manusia-manusia porak-peranda di sekelilingnya.

Berlatarbelakang keluarga yang tinggal di sebuah perkampungan di Indonesia, buku ini tebal dengan keganasan yang berlaku dalam keluarga, penindasan terhadap wanita dan budaya masyarakat yang lali dengan mabuk judi dan zina, pertembungan sosial dan agama dicerminkan dengan baik. 

Selain menyampaikan sebuah cerita , novel ini turut menonjolkan budaya masyarakat yang didiami watak, pemikiran dan juga kepercayaan-kepercayaan mereka. Antara contoh tentang kehadiran harimau yang diturunkan secara batin kepada Margio dan juga mengenai tanah yang tidak mahu menerima jenazah ayah Margio akibat daripada kebiadapan hidupnya.

Babak-babak dan latar diceritakan dengan terperinci, seolah-olah kita dapat melihat, bau, sentuh dan sekaligus merasai kehidupan yang dilalui. Ini mungkin akan membosankan bagi sesetengah orang.Namun, sebagaimana buku Salina karya sasterawan kita, buku masterpiece biasanya mempunyai kebolehan dan kelebihan untuk menyimpanbeku suasana tempat, kejadian, perasaan secara terperinci sehingga pembaca 50 tahun akan datang akan tetap merasai.

Sebuah cerita yang ringkas tapi diceritakan dengan unik dari sudut berbeza. Sesuatu yang mengetuk kotak fikir, adakah keganasan yang wujud dalam diri Margio hasil dari kehadiran harimau mistikal atau berpunca dari pengaruh menyaksikan keganasan yang berlaku dalam keluarganya? 



Manusia ialah makhluk sosial, berat untuk sesetengah orang mengubah norma-norma yang telah dilaluinya selama bertahun-tahun. Manusia makhluk sosial, membawa maksud manusia hidup berkelompok, perlu berinteraksi sesama sendiri, saling berhubungan dan akan berkembang melalui percampuran. Selain itu, secara langsung atau tidak, manusia juga terikat pada penilaian orang lain dan penerimaan masyarakat.

Oleh itu, kempen penjarakan sosial atau PKP/PKPB di hari raya adalah satu kempen yang berat bagi masyarakat kita. Setelah 2 bulan berjaga-jaga, kita memberi sedikit ruang demi keseronokkan berhari raya. Kalau dilihat dari paparan mukabuku, perasaan bercampur baur, riang dan risau dibuatnya.Doakan sama-sama, moga hari raya yang dianggap hari kemenangan ini, bukan petanda kelekaan yang membinasakan.
Musuh Tidak Kelihatan 4

(Pukul 8:30 malam.Di beranda rumah Khairul, hujan turun dengan renyai. Khairul menyalakan batang rokok di tangan. Abu diam memandang jauh seperti mengira butir hujan yang turun. Mereka berdua duduk sebelah menyebelah di kerusi kayu lama)

Khairul: Bu, kau tahu tak apa yang best pasal hujan?

Abu: Entah. Doa makbul?

Khairul :Time macam ni..kalau hisap rokok, rasa lagi sedap, lagi sesuatu perginya.

(Khairul menyedut dan melepaskan asap perlahan ke udara. Asap lenyap tatkala bertembung dengn air hujan di luar)

Abu : Ooooo..

Khairul : Kadang banyak ilham datang.

Abu : Ilham ke penyakit ?

(Khairul mengerling dan Abu menyambut dengan senyum hambar)

Abu: Kau tahu kedai DIY buka pukul berapa esok?

Khairul : Tahu..kalau dia muslim buka lepas maghrib la sama macam kita. Apesal. 

Abu : Bukan buka makan berbuka lah bahlol, buka kedai.

Khairul : Manalah aku tahu

Abu : Hmmm..

Abu : Mimpi yang aku alami semalam, feels so real doh.. aku masih tak boleh move on.

Khairul : Seyes ah kau tak habis lagi dengan mimpi tu,  cerita ni dah masuk episod 4 kut.

Abu : Damn it is...so real. Macam mana eh nak cakap, bila aku bangun tidur hari tu, aku tak pasti aku bangun in real life atau aku masih berada dalam mimpi, seperti dipisah satu garisan halus antara mimpi dan dunia nyata.

Khairul : Abis tu, kau rasa yang kita hidup bernafas sekarang ni nyata dan benar sangat ke.

Abu : Maksud kau?

Khairul : Kita rasa ini macam benar..tapi sebenarnya bila-bila masa kita boleh terbangun dari sini juga, kemudian kita sedar yang rupa-rupanya ada lagi satu alam yang lagi benar dari sini..itupun terpisah satu garis halus jugak..antara tempat kita duduk sekarang dengan kalau kau terjun ke bawah tu haha

(Abu melihat ke bawah , tidak kurang tidak lebih ada 15 tingkat sebelum mencecah ke jalan bersimen, tentunya tidak mengambil masa yang lama untuk ke bawah melalui jalan ini)

Abu: Yelah, hidup ni sekejap je kan.

Khairul : ni yang orang panggil fana..kau tengok asap aku hembus ni..

(Abu tekun melihat gelung-gelung asap yang keluar dari mulut Khairul, terbang lalu berpecah sedikit demi sedikit dan hilang dari pandangan)

Khairul : kan dah hilang tu.

(Abu dan Khairul diam untuk beberapa ketika. Kedua-duanya selesa melayan perasaan masing-masing)

Abu: Kau pernah ke alami mimpi yang begitu real?

Khairul : Hmm..aku pernah mimpi yang aku dalam mimpi tu aku sedang mengantuk gilababi, mengantuk yang kalau boleh pindahkan kepada gajah, gajah pun boleh tumbang..lepas aku tahan punya tahan, last aku mengalah dan aku tido.

Abu : Kau tido dalam mimpi kau..eh..maksudnya dalam mimpi tu kau mengantuk kemudian kau tertidur? Apa jadi?

Khairul : Lepas tu aku terjaga dari tidur. 

Abu : eh ..Tidur yang mana satu kau terjaga?

Khairul : itu lah persoalannya. 

Abu: Kau tidur tak basuh kaki ni..

Khairul : haha, apapun kan..aku boleh faham lah mimpi kau tu, my advice is ...kau cari lah dia. You always smile, but ..in your eyes, your sorrow show..macam ada benda tak cukup.

Abu: Memandai je kau ni macam tok batin pulak

Khairul : mungkin mimpi kau tu adalah satu aspirasi.

Abu : Itulah, aku cuba lupakan dan sebenarnya tak begitu ingat pun perempuan tu, dah 5 tahun kut, tapi yang sebati dengan aku perasaan tu, melekat betul.. aku tak boleh lupa perasaan yang sekejap tu kesannya mengundang betul.

Khairul : Ok dalam mimpi kau tu..kau cakap kau ada berbual dengan suara misteri apantah tu kan..lepas tu suara tu menjelma jadi perempuan tu..kenapa kau tak mintak je alamat rumah ke nombor telefon ke masa dalam mimpi tu

Abu : Aku tak terfikir pulak..boleh ke?

Khairul : Kenapa pulak tak boleh, mimpi kau kau punya suka lah.

Abu : Kau tahu Rul, aku siap bayar lagi aku punya mee goreng yang aku makan dalam mimpi tu. 

Khairul : Bangang kau, patut kau boleh jimat tu.

Abu: Silaplah..ayam goreng 4 ringgit tu dia caj

Khairul : mimpi patutnya tanpa batasan kreativiti, digubal oleh perasaan terdalam, kemahuan, nafsu, pertanyaan-pertanyaan..

Abu : Patutlah..

Khairul : apa yang patut

Abu : Entahlah.. Tapi, itu di luar kawalan aku lah..

Khairul : Mungkin secara luar sedar ; kau punya soul tu, kau memang nak cari perempuan tu..tapi you being you la..taknak ikut gerak hati...fikir banyak hal

Abu : Haha..lepas tu otak aku buat messy dengan teori-teori penawar covid semua, padahal aku hanya nak jumpa perempuan tu balik. Sometimes, what was right what was neccessry came into conflict..and..aku hanyut dalam mimpi aku...

Khairul : Dalam buku budak tu , selain nama, takde apa-apa lagi butiran?

Abu: Takde Rul..

Khairul : Tak mungkinlah.

Abu : Takkan aku nak kesan cap jari pulak, ini bukan cerita gerak khas.

Khairul : Buku tu terbitan syarikat apa? 

Abu : Entah..

Khairul : Kau tengok balik nama penerbit, kau call penerbit tu tanya dorang edar buku kat mana..kat kedai buku mana buku tu ada dijual, pastu pergi kaunter kedai buku yang berdekatan kau tanyalah kalau situ memang ada jual buku novel melayu yang kau cakap tu.

Abu : Then what..

Khairul : Kau bagi nama penuh perempuan tu, kalau kedai tu ada kad membership.. confirm kedai ada details perempuan tu kan.

(Abu menekuni kata-kata Khairul, matanya separuh pejam, seperti ada cahaya harapan yang cuba menembusi di hujung sana)

Abu : Wow..Rokok kau memang sesuatu!

Khairul: aku dah cakap

Abu : tapi kalau kau nak tahu, dalam mimpi aku tu..buku tu bukan buku novel.

Khairul: Abis tu buku apa

Abu : Lupakan je la. Mungkin itu hanyalah minda separuh sedar aku yang digubal oleh perasaan terdalam, kemahuan, nafsu, pertanyaan-pertanyaan..

Khairul: aku syak, bukan saja kaki..roh kau pun perlu dibasuh ni.

(Bersambung..)
Dalam membuat sesuatu kenyataan UMUM, kita harus mengelak dari menyandarkan input kepada pengalaman PERIBADI semata-mata. Pengalaman peribadi seringkali sifatnya berat sebelah dan tidak menyeluruh. 

Contohnya apabila kita mengatakan orang KL paling tak reti bagi signal, itu tak semestinya tepat kerana mungkin kau ada 1-2 pengalaman kat KL bila orang KL tak bagi signal masa nak masuk simpang, tapi..tapi orang lain tengok okey je, atau sebenarnya orang tak bagi signal tu sebenarnya bukan rakyat KL pun entah-entah orang negeri lain yang bertandang.

Atau bila kau kata semua lelaki sama, tak tepat jugak nak buat kenyataan umum berdasarkan 1-2 pengalaman pahit peribadi, sebab kau bukan test semua lelaki pun dan ada je perempuan yang dapat lelaki yang tak sebagaimana kau katakan.

Masa aku belajar dulu, bila berborak dengan budak-budak lelaki , bila nak refer pasal budak perempuan yang bernama Wani agak susah sikit sebab dalam kelas kami sendiri dah ada 3-4 orang nama Wani, belum campur Wani yang kami kenal di kelas orang lain. 

Pernah sekali tu perbualan kami terpetik nama Wani, kawan pun tanya “Wani yang mana satu ni?”

Seorang lagi menjawab “Wani yang cantik lah”.

Lepas tu kami pun bertambah pusing dengan jawapan tu sebab Wani yang kami kenal semuanya cantik belaka. Dalam diam-diam kami pun buat ranking Wani cantik 1 , Wani cantik 2 , Wani cantik 3 dan Wani cantik 4. Itu memang pengalaman terpencil kami la yang kebetulan bertemu begitu ramai Wani cantik, Wany Hasrita pun tak kurang cantiknya bukan?

Tapi still pengalaman peribadi sebegini rare tak boleh membawa maksud setiap orang yang bernama Wani adalah cantik berdesup.

Aku pernah sembang dengan kawan aku, aku beritahu yang nama FENDI ni cukup BERAT dan bukan semua orang boleh bawak, aku cakap lagi..orang yang bernama Fendi ni tak pernah lagi tak hensem, jarang sangat, memang kebetulan atau suratan orang nama FENDI ni memang hensem tak kira secara realiti atau dalam drama / filem. Aku tekankan lagi yang tak wujud lah orang nama FENDI yang tak hensem, nil..non-existant..sirna..zero! Sajalah aku nak up diri aku.

Lepas tu kawan aku potong cakap.

“Kiranya kau nak cakap, kau Fendi pertama lah yang tak hensem”.

Rasa down bila teringat pasal benda ni. Mungkin aku boleh cuti dari tunjuk muka di media sosial.
Aku dok hitung sejak PKP mula haritu, dah bermacam-macam filem Korea aku tengok, elok-elok heroin dan jalan ceritanya, ada moral, ada humor, kemasyarakatan, serta isu-isu yang pelbagai rencah, cerita Don Lee sahaja dan 4-5 filem aku layan.

bila berkurung di rumah ditemani channel Korea kat rumah dan jarang-jarang berjumpa orang melayu, diharap hal ni tak memeningkan genetik aku, kalau aku keluar rumah ni mungkin kemelayuan aku akan jadi Melayu yang Korea..otak aku dah kena brainwash..mungkin esok aku nak modified pintu rumah aku kepada yang jenis pakai password. Nak modified muka takleh, modified pintu je la supaya nampak macam Korea buat masa sekarang.

Yang aku perasan, filem Korea ni takde watak gadis gedik-gedik, kalau ada watak gadis yang cun pun bukan jenis yang dia pikir dia sorang je yang cun kat dunia ni dan semua planet-planet berputar mengeliling dia. Jenis cun yang tak memekak-mekak.

World of married couple pun aku tengok, tapi bila isteri aku tanya aku tengok cerita apa kat telipon..aku cakap cerita perang. Ni bukan tipu, ni memang cerita perang cuma senjata yang digunakan bukan mortar atau meriam. Best jugak ceritanya , tapi aku takdelah emosi sangat layan masalah-masalah dorang tu, pandailah dorang selesaikan nanti takkan aku nak campur. Kalau part yang ada kiss kiss tu aku tutup mata lah kan..seram jugak taktik peperangan zaman sekarang ni.

Namun ada jugak genre filem Korea yang tipikal, banyak cerita tentang bertukar identiti, maksudnya gangster masuk dalam badan pekerja pejabat pos, pekerja pejabat pos masuk dalam badan gangster. Atau golongan B20 masuk dalam badan T20 dan sebaliknya.

Apakah roh kita perlu bertukar jasad untuk lebih memahami orang lain? Mungkinlah. Macam sekarang ni roh Korea dah masuk dalam badan aku. Gamsahamnida.

(Aku cuba cari gambar aku yang mirip-mirip Korea sikit untuk match dengan post ni tapi tak jumpa, bengang je aku..)




Apa khabar?

Bila dah terkurung di rumah, dengan akses terhad ke dunia luar, memang normal kalau spirit sedikit down, patutnya waktu-waktu pagi ahad begini korang dah pergi berlari kat trek ataupun ngeteh kat kedai mamak kan. Sekarang nak pergi mamak pun duduk berjarak..ingatkan mamak buat peperiksaan bertulis untuk pengambilan staff baru.

the best way aku rasa adalah kepelbagaian, duduk rumah ni kalau kerjanya menyakat orang pun lama-lama kena block pulak. Kalau nak tengok movie pun kena gilir English Korea dan sebagainya. Baca buku pun cadangan yang baik dan juga bersenam. Cuma kalau bersenam mengadap dinding ni mental kena kuat. Bulan puasa pulak tu, air dalam badan dah lah kurang kang tak pasal-pasal dapat ulcer pulak kat mulut, rumah aku mana ada bonjella nak sapu, kalau Nutella ada lah..sedap tu sapu kat mulut.

Itu belum cerita pasal kerja.

Lebih-lebih lagi kalau work from buat rutin yang sama, suasana rumah yang berdindingkan putih dan kosong, rasa nak je lukiskan pemandangan tepian pantai di dinding kosong ini..atau mungkin lukiskan gambaran taman /air terjun atau hutan dengan pokok-pokok merimbun. Sekurang-kurang kalau lepak rumah menaik jugak spirit ye tak. 

Sayangnya aku tak handal melukis. Menulis bahkan agak buruk tulisan aku , dia punya pergi macam kacukan antara cacing dengan cakar ayam. Hipotesis aku mengatakan bahawa tulisan tangan tersebut terbentuk hasil dari ekosistem semulajadi, secara kuhususnya boleh dilihat melalui rantaian makanan seperti di bawah:

CACING ---> AYAM--->FENDI=Tulisan Fendi

Apapun, sebenarnya bergantung juga pada persekitaran, kalau situasi menekan-nekan tulisan aku:jadi bergelimpangan. Kalau aku tengok balik pun aku pelik "ni aku tulis ke aku tandatangan". 

Itu baru tulisan, kalau lukisan memang tak dapat diselamatkan. Kalau cikgu-cikgu pendidikan seni tengok lukisan aku mesti kena marah “Berapa kali dah cikgu pesan kat awak ni Fendi, jangan lukis gambar setan!”.

Jadi aku memang nak kena panggil orang yang layak untuk hidupkan dinding , itu boleh dicari kau just kena ada bajet dan konsep. Tapi kan bila aku sampaikan idea aku ni, isteri aku macam tak gemar pulak, dia lebih suka dibiarkan putih dan kosong, aku pun tak tahu macam mana nak buat. Atau mungkin instead of lukis gambar pokok-pokok kat dinding, aku perlu bubuh gambar pemandangan interior shopping mall, so bila nak le dapur tu rasa teruja lalu deretan kedai-kedai Sephora Watsons, letak jugak gambar lori GDEX ke, van Shoppee ke..ni kira kegemaran para wanita kan?

NOTA BUKU - TERUSIR by Hamka


Buku ini cukup ringkas dan padat,ngam-ngam dengan isi yang hendak disampaikan penulis. Perkembangan watak tidak diperincikan sangat, ada masanya terasa landskap cerita memang sengaja tidak diperluas, untuk itu itu sahaja.

Emosinya tidaklah setebal mahakarya Hamka - Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck , tetap jua bergerak dalam lorong ceritanya dengan lancar dan tenang. Secara lahiriah pun buku ni memang nipis, kalau menaiki bas dari KL nak ke Perlis, sampai kat Alor Setar pun boleh habis.

Pokok cerita adalah tentang kita yang terburu-buru meletak nilai atau menjatuhkan hukum tanpa melihat sisi-sisi lain yang signifikan. Penulis memang tak menunggu-nunggu, cerita dimulai terus tentang seorang isteri yang terbuang melarat , diusir hina tanpa diberikan peluang untuk membela, atau sekurang-kurangnya untuk bersuara. Parah makin membarah, sadis, nasib yang tidak menyebelah membawanya ke lembah tragis serendah-rendahnya.

Dulu masa sekolah aku ada peristiwa manis muka kena lempang dengan cikgu, sebab cikgu fikir aku yang main baling pemadam dan hampir-hampir mengenai dia. Mentang-mentang aku duduk betul-betul dihadapan dia, semudah itu dia membuat penilaian separuh-malas dan malas melihat luas. Meski diberi ruang untuk bersuara, namun  pelempangnya terbih dahulu hinggap di muka, mendahului pertimbangan sepatutnya.

Penulis membuka minda kita dengan garapan cerita, untuk tidak gopoh, bukan sahaja melihat sesuatu dari sudut yang betul atau berbeza, malah untuk berani melihat salah ke dalam diri kita. Mengesankan, ketika kita sibuk mengecam atau menjadi emosi dengan sesuatu isu, kita terlepas pandang bahawa punca isu itu terjadi datangnya dari diri kita / kita sebahagian daripada isu tersebut. Umpama marahkan team bola kita main serupa hilang pedoman, tapi anak-anak nak main bola pun tak dibenarkan sebab takut tak fokus pelajaran.

Itulah lebih kurang mesej atau nota yang aku dapat kutip.

Kita perlukan cermin untuk melihat refleksi diri, supaya kita boleh kemaskan penampilan seadanya, atau mungkin kita perlukan buku-buku sebegini untuk lebih mendalami lalu menyedari lorong-lorong kemungkinan yang kita mungkin terusir untuk melewati.



Next PostNewer Posts Previous PostOlder Posts Home