Musuh Tidak Kelihatan 3


Musuh Tidak Kelihatan 3


Abu pejamkan mata. Abu tidak sedar sudah berapa lama dia terlelap. Kepala terasa berpusing dalam gelungsur masa, yang membawanya entah ke daerah mana.

Terjaga. Abu mengangkat kepala dan melihat ke sekelilingnya. Kini Abu bukan lagi berada di rumahnya. Suasana terasa berbeza.

“Ini airnya “ pelayan lelaki meletakkan air di depan Abu. Nescafe panas. Abu keseorangan di dalam restoran itu, kerusi dan meja lain masih lagi kosong. Tidak lama untuk Abu meneka dimanakah beliau, tidak lain dan tidak bukan, di sinilah restoran makanan kegemaran Abu. Kelihatan pelayan di restoran itu juga adalah lelaki yang sama, Abu kenal dengan pelayan itu meski interaksi mereka hanya bersubjek makanan minuman. Namun persoalannya mengapa dia berada di sini, bukankah dia berbaring di rumahnya sebentar tadi ?

Abu menghirup perlahan air di hadapannya, rasa pekat nescafe memang sama seperti selalu, mimpi juga dapat menyukat rasa yang tepat. Abu mengelamun memikirkan keberadaannya di sana, apakah suara misteri itu yang membawanya atau ini hanya mainan mimpi yang sangat tepat.

“Haiiii Abuu!” 

Lamunan Abu terhenti drastik. Di hadapannya berjalan seorang gadis menuju ke arahnya. Langkah demi langkah seperti sangat perlahan seperti aplikasi slo-mo dalam telefon bimbit iphone10, jarum saat bergerak 5 kali lebih perlahan, tumpuan Abu tergamam pada gadis berkurung hitam di hadapannya- senyuman yang menghiasi wajahnya sangat mahal, jika mahu digadai pun Abu tak dapat melangsai dengan jiwa raganya. Gadis itu menarik kerusi dan duduk betul-betul dihadapan Abu yang kekejungan. 

Nampaknya suara misteri itu tidak bermain-main menunaikan permintaan Abu. Gadis itu ternyata cantik, full stop, tiada perdebatan dan perbincangan lebih lanjut diperlukan, ternyata cantik dan Abu hampir melelehkan air liur. 

Cuma, gadis ini bukan gadis turun dari kayangan. Gadis ini adalah gadis yang Abu kenali sejak dulu. Ya, Azahira,  gadis itu bernama Azahira. 

“Hey..kenapa buat muka macam tu? Ni Ira lah” tegur gadis itu prihatin dan sedikit ramah.

“Hi Ira..cececemana ada kat sini?” Abu kekok bercampur hairan.

“Haha!” gadis itu hanya ketawa ringkas sebelum memanggil pelayan untuk memesan secawan teh ais 3 layer dan mee goreng nak ayam bahagian peha.

Abu tidak salah, Abu masih ingat peristiwa kali pertama dia berjumpa Azahira. 5 tahun dahulu. Di restoran ini, ketika itu Abu duduk di kerusi dan meja yang sama bersama secawan nescafe panas. Pada pertemuan itu, Azahira muncul di hadapannya seperti cahaya yang kemudiannya duduk di hujung sudut restoran bukan di hadapannya seperti sekarang, bukan cahaya yang menyinarinya. Abu memerhati gadis itu dari tempat duduk Abu dengan rasa admire, seperti aiskrim kon yang terjatuh dan mencair di tengah jalan raya.

“Awak bukan Ira kan?” tanya Abu walaupun sudah tahu.

“Saya adalah mimpi dan angan-angan awak”

Abu diam.

“Awak ingat lagi masa ni Abu? 5 tahun lepas, masa tu awak pura-pura tidak endah, walhal awak sedang sibuk merakam saya dalam fikiran awak kan”

Abu diam lagi. Abu sedar gadis yang bercakap-cakap dihadapannya kini hanyalah sandiwara bukan watak sebenar. Suara misteri itu nampaknya benar-benar muncul sebagai wanita cantik, yang bukan sahaja menawan namun hatinya menjadi lemah dengan gadis ini. Kerana inilah Abu amat takut pada wanita cantik.. apapun sandiwara yang akan keluar di hadapannya, Abu akan percaya. Lemah.

“Nak tahu kenapa saya muncul sebagai gadis ini? Sebab pertemuan dengan gadis ini sahaja, yang telah membawa separuh jiwa kau hilang ,lalu separuh lagi menjadi aku. haha!” Gadis itu ketawa lagi, atau lebih tepat suara misteri itu ketawa lagi, tawa yang menyenangkan, meski Abu tahu ini semua sandiwara, Abu masih mengizinkan dirinya hanyut dengan secebis memori yang mengesankan itu.

Pada ketika itu, 5 tahun lalu. Abu melihat gadis itu duduk seorang sambil menikmati nasi lemak peha ayam, di tangannya sebuah buku dibaca dengan sangat peka. Sesekali riak wajahnya berubah-ubah, tidak pasti reaksi kepada nasi lemak ataupun buku yang sedang dibaca. Dalam diri Abu juga telah ada banyak reaksi, dengan jarak selang dua meja kosong itu, Abu membayangkan 
gadis ini sebagai kekasihnya di dalam sebuah daerah angan-angannya. Di dalam daerah itu, Abu dan gadis itu tidak menikmati makanan berselang dua meja seperti itu, Abu membayangkan mereka saling berhadapan menatap satu sama lain dan mungkin berkongsi mee goreng itu bagi menaikkan semangat romantis, dalam daerah itu, Abu dan gadis itu berpakaian sama hitam sama manis dan mereka bergelak ketawa haha walau tiada apa yang kelakar haha. 

Waktu kerja Abu bermula jam 9 , namun sudah 10 minit melepasi pukul waktu kerjaya Abu masih belum siap menanti gadis itu. Abu tidak pasti apa yang dinantikan, yang pasti hal kerja bukan lagi prioriti, separuh jiwa Abu sudah melayang tak bertali. Sehingga jam 10 pun Abu tidak peduli.

Abu masih di situ pura-pura menantikan seseorang. Sebenarnya Abu menantikan gadis itu untuk sedikit sebanyak menyedari kewujudan dia , waima seperti tunggul pun abu tak kisah asalkan tatapan berbalas. Sesekali gadis itu mengangkat kepala berpaling dari buku dan makanannnya, namun itu disebabkan tengkuknya mulai lenguh, Abu yang berada tidak jauh di depannya bukan siapa-siapa baginya. Tidak seinci pun rasa perlu untuk dilihat. 

Setelah jam menghampiri pukul 10, telefon gadis itu berbunyi lalu diangkat segera. Perbualan telefon itu nampaknya tidak berlangsung dengan tenang, kelihatan air mata jatuh dari kelopak gadis itu, ada yang berjaya diseka dengan tangan, selebihnya bertempiaran di meja makan. Tidak kedengaran tangisnya walau seesak cuma, namun Abu tahu gadis itu menahan sebak, menangis dalam diam adalah kesakitan yang tertinggi makamnya.

Abu kini sudah keluar dari daerah angan-angannya, walaupun tadi dia cuba masuk ke daerah terlarang namun fikirannya baiknya berjaya menutup jalan dan melencongkan ke daerah lain, apabila meihatkan keadaan gadis itu setelah menjawab panggilan tadi, Abu sudah masuk ke daerah yang dipanggil daerah kehibaan.

Gadis itu bingkas bangun dan menuju ke arah kaunter bayaran yang terletak di sebelah Abu. Gadis masih jugak tidak berpaling pada Abu walau seinci. Orang cakap kalau berpaling sedikit, mungkin ada sinar cinta, tapi sikit atau little-little pun tiada dalam kamus dwibahasa gadis itu. Kalau ini adalah peperiksaan mengenal cinta tahap 1..Abu baru sahaja mendapat markah 0. 

Abu hanyalah seorang lelaki biasa dengan rasa admire, seperti aiskrim kon yang terjatuh dan mencair di tengah jalan raya. Kini aiskrim kon itu dilanggar pula tayar kereta..menghasilkan bunyi kecepek.

Selesai membayar gadis itu meminta tisu dan berlalu pergi. Abu terbang dengan cintanya sambil tidak lekang merasa hiba akan apa jua kesedihan si gadis. Kesedihan yang masih berbentuk pertanyaan.

“haha!” 

Lamunan Abu terhenti tatkala watak di hadapannya ketawa. Mee goreng dihadapannya sudah tinggal sisa, teh ais 3 layer juga sudah tinggal 1 layer.

Abu yang terkejut cuba menenangkan kembali dirinya. Kenapa kau ketawa. 

“ Bukankan angan-angan awak untuk kita ketawa sama, dan makan mee goreng ini bersama haha”

Abu cuba untuk tersenyum kerana gadis di hadapannya adalah mirip Azahira, namun memikirkan ini adalah jenaka seram maka Abu hanya membuat bunyi hmmmm. Abu tidak selesa melihatkan Tshirt yang dipakainya sedondon hitam.

“Kita harus fokus pada tujuan dan perjanjian, apakah rahsia merawat corona virus, berikan pada aku”

“ Baiklah, aku tidak pernah lupa dengan perjanjian. Aku harap kau pun sama. Rahsianya sudah lama ada pada kau Abu”.

“ ??? Aku tak faham”

“Gadis ini, yang bergegas meninggalkan kau 5 tahun lepas, tanpa memghiraukan kau yang berharapan siang malam untuk bertemunya kembali..bukankah dia secara tidak sengaja telah meninggalkan buku di meja itu”

“Ya..buku itu..”

“Ya buku yang kau ambil dan simpan, yang tertulis nama- Azahira@Ira di muka pertama”

“Ya..”

“Kau tahukan buku untuk dibaca isi kandunganya, bukan untuk dibaca nama pemiliknya saja untuk keseribu kali“

“Buku bertajuk -Jem Avocado: Asal-usulnya, Sejarahnya dan Peranannya dalam Pembesaran Payudara secara Semula Jadi dengan Kuasa Mutlak- itu sangat menjengkelkan pada aku, aku hanya tertarik pada nama pemiliknya”

“Jawapan kepada soalan kau, ada di mukasurat 233 hingga 257”

Abu terkesima. Buku yang menjadi satu-satunya penyambung kenangannya dengan gadis itu mempunyai jawapan terbesar. Abu bangun dengan segera dari duduknya. Abu mahu lekas-lekas terjaga dari mimpi ini dan muncul kembali di apartmentnya untuk mengambil buku tersebut. 

“Kejutkan aku, aku perlu segera”

“Janji pada aku, kau akan mencari gadis itu semula?”

“Azahira?”

“Ya..dan aku akan bangkitkan kau”





“Janji!”





Next PostNewer Post Previous PostOlder Post Home

1 comment: