PENCARI

Pagi tu tayar kerusi roda aku bocor. Tertusuk paku, lagi.Dalam keadaan tayar bocor sebelah,tersenget-senget dibuatnya, namun aku teruskan juga kayuhan pulang ke rumah. Hujan yang tadinya turun lebat tiba-tiba terhenti seperti sudah habis sisa tangisnya dan kini masa untuk mentertawakan nasib aku. Sebagai seorang yang berjiwa humor, aku pun tertawa sekali. 

Aku boleh dikatakan seorang pengguna kerusi roda yang agak aktif juga. Kerusi roda ini pernah menemani aku menuntut ilmu di Perlis, makan pasembur di Penang, menyertai aktiviti kayuhan di tepian sawah padi di Kedah, menaiki jambatan angkat terpanjang di dunia, menikmati keindahan Pantai Cahaya Bulan di Kelantan, merentasi taman-taman awam di Putrajaya, melihat buaya diberi makan di Sarawak malah pernah singgah di beberapa pulau dalam negeri Sabah, sebuah pengembaraan berkerusi roda yang penuh onak duri berjaya dilalui tanpa kerusi roda ini mengecewakan. Namun, siapa sangka, ia bertemu babak tragiknya di tempat yang disangka paling tidak merbahaya, di hadapan rumah sendiri.

Tayar ini umpama kaki aku, melihatkan paku yang tertusuk ke dalam tiub, terasa tajamnya seperti kaki aku yang terpijak paku ketika aku boleh berjalan di zaman kanak-kanak dulu. Kenangan berjalan yang kian tenggelami waktu. Aku ada tiga kenangan berkait dengan kaki. Pertamanya adalah kenangan terpijak paku , kedua adalah kenangan kaki tersepit di rim ketika basikal yang aku bonceng sedang bergerak. Pergh, dia punya sakit memang tak cukup kosa kata yang aku ada untuk menerangkannya dengan tepat.Sakit. Ya, sakit. 

Yang ketiga adalah kenangan yang paling signifikan, yakni ketika aku terlibat dalam kemalangan di usia 6 tahun yang sekaligus menjadi detik bersejarah perkenalan aku dengan kerusi roda. Kenangan yang dulu aku rasakan pahit kini seakan menjadi manis kerana sekarang kalau diseterika atau dikarate kaki aku sudah tidak rasa apa-apa. Ini bukan ilmu kebal yang aku peroleh dari bersahabat dengan jin, tapi secara saintifiknya disebut sebagai ‘spinal cord injury’.

Kini ke ceruk mana dunia aku pergi , aku tidak lagi meninggal jejak kaki sebagai kenangan tapi jejak tayar kerusi roda. Kemalangan tersebut telah mengubah dan menggondam algoritma tubuh aku menjadi kurang responsif pada arahan otak, namun nasib aku baik apabila doktor mengesahkan kekacakan tidak terjejas dan masih seperti asal.

Tidak seperti kaki yang dikurnia tuhan, tayar yang bocor boleh digantikan. Berbanding pengalaman bocor tayar sebelum ini, sekarang aku sudah bersiap sedia dengan tayar pengganti, sedikit sebanyak ini telah menyelamatkan aku dari menjadi serabut dan kelam kabut mencari kedai yang ada menjual tiub. Tayar bocor adalah putaran nasib yang sudah tertulis, namun kalau ada tayar pengganti sekurang-kurangnya pen yang menulis suratan ini warnanya sedikit menyenangkan hati.

Nak mencari alat ganti untuk kerusi roda pula bukan perkara mudah, seperti mencari jodoh kaedahnya. Masa aku belajar di Perlis dulu, roda kerusi aku pernah terseliuh (baca : mengalami kerosakan), setiap kali bergerak dia akan tersekat dan menghasilkan bunyi teriakan. Bayangkan lah pada masa tu memang tak jumpa tempat nak baiki, kalau ada pun tempat alat ganti tetap tak sesuai , jadi nak pergi kelas tu agak menguji kerohaniaan juga. Dengan dibantu rakan sebilik, kami terpaksa menggunakan satu kaedah tidak konvensional iaitu ‘wheelie’, yakni mengangkat tayar depan dan menunggang seperti mat rempit di ambang merdeka.

Alhamdulilah pengawal keselamatan tidak mengeluarkan saman dan tiada yang tercedera dalam aktiviti berbahaya ini. Cuma perasaan malu tu ada terselit sedikit. Nampak sahaja seperti berseronok, tapi siapa je yang suka jadi tontonan ramai, lainlah kalau setiap view dikira seperti youtube, itu bolehlah dijadikan punca pendapatan. Pergi mana-mana orang memandang dengan wajah kesian kerana menggunakan kerusi roda, kemudian kerusi roda yang digunakan tu tak dapat diselenggara dengan baik pula, malu bercampur syahdu.

Cuma aku masih berjaya tapis rasa kesian yang dilempar, supaya tidak melekat kat hati aku sendiri. Sebab rasa kesian tu seperti virus, mudah berjangkit dan melemahkan sistem badan, terutamanya imunisasi mental. Pokok-pangkalnya, aku tidak boleh dibuat rasa kasihan pada diri sendiri, aku bukan orang yang kasihan.  Rasa kasihan akan perlahan-lahan membuatkan harimau berbelang emas dalam diri aku ini menguap,mengantuk lalu tertidur 600 tahun lamanya, bangun pada tahun ke-601 untuk pupus.

Tidak dinafikan orang suka melihat atau menonton aku, sehingga timbul rasa kurang selesa seakan-akan aku begitu asing bagi mereka. Mungkin di fikiran mereka penuh tanda tanya tentang kehidupan aku, sampai suatu tahap mereka turut tertanya-tanya bagaimana masa hadapan yang bakal aku lalui. Walhal kita sebenarnya sama sahaja, cuma mungkin jalan yang aku lalui bukan jalan utama, sebaliknya aku menggunakan jalan alternatif yang berlainan dari majoriti namun arah tujunya tetap sama. 

Sampai suatu masa, memandangkan ramai yang suka memandang aneh, aku menerima ini sebagai salah satu lumrah dan hak alam yang berlaku semulajadi, sebagaimana teluk adalah hak ombak,ombak adalah hak pantai,pantai adalah hak pesisir, maka biarlah segalanya berlaku seadanya. Aku pun mulai kurang merisaukan hal menjadi perhatian, sebaliknya aku pakai baju elok-elok, sarungkan kasut yang ada gaya sikit, serta tak lupa untuk tambahkan sedikit keyakinan dalam senyuman supaya bila bertentang mata dengan masyarakat, mereka dapat melihat ke dalam diri aku yang ada impian dan kekuatan. Untung-untung ada yang jatuh cinta, haaa itu cerita lain.

“Lihatlah aku, aku juga seperti kalian, punyai hati dan perasaan-perasaan, ini adalah kerusi roda, jentera yang aku gunakan untuk menggerakkan hidup aku. Seperti cermin mata dicipta untuk orang yang rabun, jentera ini berkhidmat untuk aku dengan tujuan kehidupannya , itu saja. Aku juga seperti kalian, ingin mendaki impian, merasa kegetaran dunia, kesulitan yang mencabar-cabar, mahu pergi jauh menjelajah mengenal misteri dan seni kehidupan lalu menyerap dan mengembang dengan inspirasi, menikmati sari pati hidup!”

Begitulah kalimatnya lebih kurang jika mahu dibikin sedikit dramatik dan ala novel.

Kerusi roda sememangnya adalah sahabat baik aku, kami berkenalan sejak aku berusia 6 tahun dan mengenal hati budi masing-masing. Namun, tanpa sokongan keluarga dan kawan-kawan juga roda itu tidak berputar selayaknya. Rakan di bangku sekolah, di universiti dan di tempat kerja memainkan peranan dan memberi pedoman yang penting dalam pada aku cuba mencari jalan alternatif tadi.

Untuk aku sendiri, harus sebaik dan semampunya memberikan imej yang positif dan progresif kepada kerusi roda. Kerusi roda ni umpama sayap dan kebebasan untuk orang seperti kami,  ya kerusi roda harus membebaskan bukan mengurung atau mengikat kita pada stigma dan prejudis.

Aku sedar dan tahu, untuk keluar dari rumah sahaja adalah sesuatu yang mencabar bagi sesetengah OKU. Ramai yang terperangkap di dalam rumah kerana akses di luar tidak begitu mengizinkan. Sekaligus menjadikan kita takut pada dunia yang tidak menerima. Akan ada kesukaran dan penolakan kerana ketiadaan akses, kewujudan tidak diiktiraf sewajarnya seperti kita mahu mengeluarkan duit dari mesin ATM tapi gagal dan muncul paparan notis “Kad yang dimasukkan tidak sah”. 

Semasa mula-mula merantau ke Petaling Jaya dulu, aku banyak menggunakan pengangkutan awam untuk ke sana ke sini. Teksi adalah pengangkutan yang mewah bagi sesetengah orang, tapi boleh jatuh hukum ‘keperluan’ bagi OKU. Selain memerlukan wang ringgit, OKU juga memerlukan ketabahan untuk mendapatkan teksi.

Kalau ada 5-6 buah teksi beratur panjang, yang depan akan tunjuk insyarat untuk tanya teksi di belakangnya, kemungkinan kita kena berunding sampai teksi paling belakang baru lah akan ada teksi yang sudi hantar ke tempat yang hendak dituju. Kalau tidak kena ulang semula dari hadapan untuk naikkan sikit harga untuk mengubah keputusan pemandu teksi. Untung sekarang sudah ada perkhidmatan E-Hailing secara meluas, mereka sudah diajar secara praktikal dan adanya polisi untuk menyantuni OKU yang mempunyai keperluan khas. 

Sebagai OKU, kesukaran yang dialami dari aspek fasiliti bangunan dan pengangkutan sudah aku alami dan ianya adalah cerita yang berulang. Adakalanya, situasi ini membuatkan aku tidak dapat mengelak dari merasa geram bercampur kecewa. OKU amat takut pada tempat baru yang tidak diketahuinya. Apabila berdepan dengan tangga misalnya, aku terasa seperti pendatang asing tanpa permit, setiap anak tangga di hadapan itu adalah polis yang mengacu pistol. Perasaan gementar akan muncul  seperti peluru meluru laju ke jantung membunuh detakan semangat tersisa.

Walaubagaimanapun, aku sering mengingatkan diri sendiri, untuk sentiasa tenang dan terus memberi respon dan reaksi yang membina dalam apa hal yang boleh memberi input dalam proses menaiktaraf kemudahan dan sekaligus kesedaran terhadap OKU. Hal ini harus berjalan berterusan sampai jadi. Dalam masa yang sama, aku juga menggalakkan rakan seperjuangan untuk bersama-sama memberanikan diri meneroka ruang-ruang yang boleh diperbaiki. Orang kata, bersatu bertambah mutu.

Bila ada rakan seperjuangan OKU yang takut atau curiga untuk kemana-mana kerana akses yang tidak pasti, aku akan cuba kongsikan pengalaman peribadi aku yang boleh mengubah persepsi mereka. Aku juga akan mengajak mereka untuk keluar sama-sama, dengan harapan dapat menjentik sedikit keberanian dan memberi panduan, kalau ada kawan sekurang-kurangnya berat sama dijinjing, apa jua yang berlaku kita hadapi dan ketawakan bersama.
Sehingga ada antara kawan aku yang pada mulanya kalau nak ajak keluar tu perlu berunding panjang, sekarang sudah berani keluar sarapan dan tengok wayang di kotaraya sendirian, tak ajak aku pulak tu.

Bila ada rakan seperjuangan yang tidak cukup semangat untuk mengayuh kerusi roda, kebanyakkan masanya mengharapkan bantuan orang lain untuk menolak dia ke sana ke sini, aku cuba mempengaruhi dia untuk menjadi lebih kental supaya kehidupannya dengan kerusi roda bukan sekadar hidup, tapi hidup yang lebih mengujakan. Kini dia bukan sahaja mengayuh kerusi roda lebih laju daripada aku, bahkan telah menamatkan marathon 42km dengan jayanya pada tahun ini. Hebat bukan? Perangai macam sarang tebuan, baru dirodok sedikit semangat, sudah meradang!

Kita harus bina ‘Norma Baharu’ untuk warga OKU, bertenaga dan berdaya saing dalam apa jua bidang, sehingga menjadi sebahagian dari masyarakat yang dipandang hormat dengan kredibiliti dan kebolehupayaan tinggi. 

Seperti peristiwa tayar aku yang bocor, kita mungkin teragak-agak untuk keluar dari kubu persembunyian kita yang kita rasakan selamat, walhal yang menjadikan kita kuat adalah ketakutan-ketakutan yang berjaya kita patahrenyukkan. Roda harus terus berpusing kerana lumrah siang dan malam tak akan menunggu. Hidup penuh liku-liku, onak dan paku, jangan sesekali berundur. Mari keluar mencari semangat dan inspirasi di setiap selekoh hidup, kerana kita belum tahu inspirasi mana yang akan membawa kita menyusuri hakikat kewujudan. 


Next PostNewer Post Previous PostOlder Post Home

7 comments:

  1. Anda seorang yang kuat dan tabah, semoga semuanya baik2 aje untuk kamu :)

    ReplyDelete
  2. Kekuatan dalam cerita kau ni, buat aku pulak yang macam perlu parking di ruang OKU. #eh .. Semangat aku tak berapa kuat walaupun ramai yang kata aku kuat. Untuk berubah kepada norma baru bukan senang kan? Perlu kesungguhan. Kalau tak, jadi macam makcik makan roti canai pakai gelang pink. Hati tak kuat untuk terima kenyataan. #tiber

    Aku percaya, dalam dunia ni kita ada bahagian masing-masing dan macam mana untuk terima 'bahagian' kita, itu yang penting.

    Kau ni rempit jugak kan.. Wheelie kemain.

    ReplyDelete
  3. perenggan ketiga dan keempat tu pedih mengiris lah..! tersedih ahkak membacanya dik.. :'(

    tapi ini salah satu karya terbaik kamu. patut terbit dalam majalah Remaja or something something whatver.. majalah harimau malaya pun boleh rasanya.. mana-mana lah.. tapi keep it up okey..

    :)

    ...

    ReplyDelete