Masa melintas 7Eleven, teringat aku pada suatu pesan, atau boleh juga ditakrifkan sebagai nasihat dari seorang cikgu. Nasihat cikgu-cikgu nampak je macam biasa-biasa, tapi kadang bila dah besar baru kita nampak dia punya azimat.


Kata-kata yang lama tersemat di memori tu, hari ini kembali di depan mata seperti menonton filem 3 dimensi beserta audio Dolby Atmos yang sangat surround. Memberi kesan yang sangat mendalam.


“Kalau tak larat puasa penuh, cubalah puasa separuh hari” kata cikgu tadika 25 tahun yang lalu.








 Dalam banyak-banyak hubungan, hubungan aku dengan spek mata yang paling karib. Melekat je manjang. Kalau ada orang yang claim pernah nampak aku tanpa spek mata, maknanya dia memang orang yang rapat dengan aku. Yakni betul-betul rapat. Sama ada dia pernah nampak aku semasa aku sedang tidur , atau...nampak aku ketika aku sedang mandi (contoh je). Kedua-dua situasi tu memang aku tak pakai spek mata.


Sebagai pemakai spek mata sejak sekolah menengah, banyak insiden yang kami lalui. Antara yang pahit adalah spek mata terpatah dan hilang ketika mandi di kolam air panas. Spek mata patah tu pernah berlaku 2-3 kali, yang paling memorable adalah beliau patah sebelum nak start marathon. Horror jugak dibuatnya, kalau aku kayuh marathon tanpa spek mata tu memang dari awal sampai habis asik berlanggar dengan gadis-gadis je la (tak sengaja). Time tu aku jadi saintis, ganglioksida bergabung kreativiti meletup memikirkan macam mana nak ikat, tampal, jahit atau apa-apa saja yang boleh, bila nak cari barang yang boleh membantu dalam kereta tiba-tiba aku jumpa spek mata lama aku, fuhh selamat...


Yang kes hilang ketika mandi di kolam air panas tu pun tak kurang serabut kepala juga. Mandi kolam lak kul 3-4 pagi, terkuak sana terkuak sini, tahu-tahu spek mata hilang dari muka. Puas member-member cari sampai scubadiving ke dasar pun tak jumpa. Orang rabun yang mencari spek mata tanpa memakai spek mata, memang tak menyakinkan.


Cari punya cari dalam dan luar kolam tak jumpa jumpa, sampai kecut-kecut dibuatnya, mulalah nak tuduh jin air sorok, mujur lepas matahari naik dapat jumpa, beliau jadi macam kes kapal Ever Given yang tersekat kat terusan Suez, spek mata aku tersekat di parit / saluran air..kalau lambat sikit misi menyelamat maybe dan menuju dan karam kat selat Melaka spek aku (sekadar berkonspirasj).


Time tu dah termenung jauh nak kira duit nak beli spek mata. Kalau bab membeli spek mata pun bukan mudah. Bila bajet dah ada, nak memilih yang berkenan tu pulak banyak songeh. 


Kalau macam aku memang aku cepat bosan tengok muka sendiri. Nak buat pembedahan muka rasa rugi la sebab muka boleh pergi jauh, jadi kita tukar spek mata je la bagi tak bosan. Kadang-kadang beli yang skema, kadang yang poyo sikit, kadang yang sporty..tengoklah mana yang berkenan, yg jenis muslim friendly je la yang belum pernah pakai (mungkin cermin akan turunkan power bila ada gadis seksi).





Hari ni (semalam) aku pergi ke kedai buku di KLCC. Terasa seperti menelusuri ruang-ruang waktu di zaman muda-mudi. Ketika tu aku agak karib dengan buku, seharian boleh menelaah dan menghayati buku perlahan-lahan. Sekarang nak melihat-lihat buku pun rasa tercekik, tambahan pula di zaman telefon pintar ni dayafokus dah jadi pendek.


Membaca buku ni antara aktivity happy vibes aku yang aku boleh buat tanpa perlu menjadi kaya terlebih dahulu. Membaca buku tak semestinya untuk jadi pandai,membaca boleh jadi hiburan yang mempunyai kesan sampingan yang baik..dia macam memvaksin minda jugak. Cuma banyak kali jugak bila naik lrt terlepas turun stesen bila ralit baca buku, ada satu kali tu sampai dah 6 stesen terlepas baru perasan..punyalah tak toleh kepala.


Dulu apa genre pun aku baca. Maklumlah masa anak dara tu otak berada dalam tahap curiousity yang tinggi. Cuma awal-awal tu genre thriller dan sci-fi agak mencabar minda samarinda aku, bukan mencabar dari segi keterbukaan dan minat, tapi mencabar dari segi bahasa mat sallehnya yang lebih teknikal dan perlukan layar imaginasi yang kuat untuk menghayati setepatnya. Mungkin setelah melalui banyak pembacaan, baru dapat tangkap dengan mudah.


Dulu kawan aku yang suka buku ni semuanya perempuan belaka, yang lelaki kebanyakkannya novel yang untuk SPM tu pun tak habis baca, jadi kebiasaannya aku akan pinjam buku dari kawan perempuan la bila cuti semester, tak kiralah kawan atau ehem ehem. Kawan pulak buku kemain banyak, dia bagi pinjam sekotak terus. Setakat novel chiclit tu jangan sembang terbang lah dengan aku, Sophie Kinsella dengan Meg Cabot tu berkotak dah aku layan, kebanyakkannya memang menghiburkan namun tidaklah begitu meninggalkan kesan yang mendalam..bolehlah buat sengih-sengih sambil makan biskut.


Buku inggeris yang paling awal meninggalkan kesan pada aku adalah buku The Doomsday Conspiracy ditulis oleh Sidney Sheldon. Buku ni aku pinjam dari clasmate aku yang dipinjam pula dari makciknya kalau tak silap. Sama ada makcik dia tahu aku pinjam buku tu pun aku tak pasti lah sebab bukan makcik aku. Buku tersebut aku habiskan sekali harung sebab sangat thrill dan dramatik. Habis je baca, aku termenung sejenak ke luar jendela memerhati ke langit kalau-kalau ada alien yang akan turun menculik aku, ya buku tu berkisar tentang makhluk asing.


Buku bahasa melayu yang meninggalkan kesan buat aku ialah SALINA ditulis oleh Samad Said. Buku ni mengenai seorang perempuan bernama Salina yang didorong kemiskinan untuk mencari kerja sebagai pelacur. Lepas abis baca buku ni pun aku termenung jugak, tapi takdelah termenung sejenak ke luar jendela memerhati kalau-kalau ada pelacur nak menculik aku, lebih kepada termenung memikirkan betapa handal Pak Samad menghasilkan kraf yang sebegini rupa. Lebih mengejutkan lagi, baru-baru ni baru aku tahu yang Pak Samad menulis buku Salina ni ketika beliau di awal 20-an...mantap betul Pak Samad, aku ketika awal 20-an menulis di fesbuk pasal benda-benda bangang je mampu.


Jadi hari ni aku nak cuba baca buku dari Kazuo Ishiguro. Diharap buku ni dapat membuatkan aku termenung kembali ke luar jendela, melihat-lihat masa silam ketika aku ada masa dan ketenangan untuk membaca. Atau setidak-tidaknya semoga otak aku terus muda serta fit untuk meneruskan vibes dunia buku yang adventures dan mengesankan. After all, what can we ever gain in forevor looking back and blaming ourselves if our lives have not turned out quite as we might have wished?

After a long wait. "Dari Tegap Bertimpuh Baik Rebah Merempuh"


Mitologi - SUMPAH Tun Ledang Shah


1. Buku bahasa Malaysia yang tidak mengecewakan. Mitologi.


2. Merujuk pada Wikiepdia, Mitologi merujuk kepada kajian berkenaan mitos atau himpunan mitos. Mitologi lazimnya berkait dengan legenda dan cerita rakyat.


3. Menjadikan Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa dan kitab-kitab awal melayu sebagai sebahagian dari rujukan. Kocokan maklumat dan penceritaan lampau kini mencipta satu cerita baru yang epik.


4. Membaca buku ni memberikan satu pengalaman sejarah yang luas dengan garis masa yang kadang aku tak cekap menangkap. 


5. Mencampurkan Fiksyen dan mitos, menjadikan cerita ini asyik dan seterusnya membuka lubang-lubang sejarah dan hikayat yang harus ditelusuri.  


6. Walaubagaimanapun, watak-watak yang hidup di masa kini agak membosankan dan tidak benar-benar hidup. Mungkin masa kini sudah semakin membosankan, cerita dan pencerita, aku dah mula mencari buku Shahnon dan Usman Awang.






Bertahun-tahun aku belajar bahasa inggeris, tak pernahnya nak sedap macam Brad Pitt bila bercakap walau rupa seiras. Berbuku-buku novel inggeris aku baca, bila menulis takdelah mampan macam akhbar thestar. Nak kata bengap tu janganlah, tapi aku guna bahasa ni sebagai bahasa kegunaan macam aku guna kereta la, kalau tanya apa rosak atau macam mana nak baiki memang tak tahu, sudahnya hantar bengkel juga, tapi kalau suruh guna tu tahulah buat u-turn, masuk parking, bagi signal (sorry kalau lupa) dan sebagainya. 


Sebagai seorang mekanik, silalah nasihat aku apa yang patut berkenaan penjagaan dan penggunaan kereta secara optimum sebab mekanik ada sijil atau kemahiran bertauliah atau pengalaman luas, janganlah kecam aku itu itu kalau ada tersalah sebab aku pengguna yang memang tak sempurna. Lagipun cikgu aku ajar aku bawak kereta pun tak guna bahasa inggeris yang betul. Bila nak kena belok ke kiri, dorang cakap “kona kiri kona kiri”. Apa bende kona kona ni? Penggunaan istilah pun tak betul, bila nak gerak tu dia suruh “tekan minyak tekan minyak”, dah sudah minyak mana pulak nak kena tekan, tak nampak pulak ada bawak minyak dalam kereta..ni nak ajar bawak kereta ke nak main masak-masak. Done kecam cikgu.


Bahasa inggeris ni selalu membuat kita insecure dan rasa bodoh diri. Padahal aku pergi Phuket, kat hotel dia pasang filem omputeh yang dah dialih suara ke bahasa thai, nampak macam bodoh je tengok Tom Cruise muka mat salleh tapi bila bercakap keluar suara thai krupkapkapkap tu, aduh terus aku tukar channel. Sebenarnya kita relaxrelax je, bahasa ibunda kita sendiri pun tak mampan lagi nak ber-ia nau nak jaga bahasa inggeris. Tapi belajar tetap kena belajar la, sebab mengejar ilmu kan bagus, berguna dan berpahala ye dak.


Masa aku nak sambung belajar dulu pun risau tak reti sangat inggeris. Lepas SPM aku minta mak aku beli suratkhabar The Star. Mak aku macam heran la apsal nak beli TheStar ada cerita best ke dalam tu.Aku beli The Star sebab tebal woo, sehari baca tak habis. Nak habiskan 1 mukasurat pun jenuh, mana taknya..kalau ada perkataan tak faham aku akan bukak kamus, time itu memang banyak yang tak faham daripada faham la ceritanya..naik lenguh nak menyelak kamus. Tapi tu la, bersusah-susah dahulu pendapatan, makin lama makin kurang lah kekerapan bukak kamus.


Bila sambung belajar aku rasa ok je inggeris ni kalau kita tak anggap dia susah dan suci sangat sampai tak boleh nak bincang. Kat sana ada jumpa budak-budak yang inggeris dia fluent macam tak makan belacan. Budak kelas aku sendiri pun bila present depan kelas, dengar dia cakap inggeris pun smooth tak bunyi gemelan melayu langsung. Dia punya sedap tu memang diakui sirim lah sebab lepas tu dia siap wakil universiti untuk debat inggeris. Lepas lama perati, aku terfikir nak tanyalah apa tips dia, nak tanya tu pun aku teragak-agak sebab tak tahu nak kena tanya dalam bahasa inggeris ke dalam bahasa melayu, kang salah tanya kang kena berdebat bergulung-gulung pulak. Sebenarnya tak, kalau relaxrelax je sebenarnya ok je, jangan takut belajar.


“Macam mana kau boleh cakap English macam ni punya rupa?” Aku tanya dia, lebih kurang gitu lah. Dia kata kena tahu apa yang nak cakap, and the rest akan datang naturally, kalau tak tahu isi atau point cakap bahasa apa pun tak jadi, kemudian practice practice praktis. Aku pun buatlah O panjang. OOOOoooooooooooooo OOOOoooooooooooooo OOOOoooooooooooooo OOOOoooooooooooooo OOOOoooooooooooooo OOOOoooooooooooo OOOOoooooooooooooo OOOOoooooooooooooo OOOOoooooooooooo gitu




 

Gambar hiasan semata-mata


Aku cuba cari idea design kabinet tv di shopee dan facebook. Saja aku nak tengok-tengok kalau ada design yang ngam dengan citarasa aku, kena dengan apa yang aku cuba wujudkan dalam suasana ruang tamu a.k.a ruang pejabat di rumah aku. Idea kasarnya yang ada elemen kayu pallet gitu, nampak rugged dan relax.


Apa saja yang berkait dengan bentuk ni bagi aku akhirnya akan mencipta art. Jadi bila art tu dia jadi subjektif, bila subjektif tu dia susah nak terjemah atau nak letakkan point, dia bukan 1+1=2. Cuma yang pakar tentunya tahu letak duduknya rekaan tu bersandarkan pada undang-undang estetikanya.


Kalau mencari telefon bimbit pun, dari segi look tu memang nak cari bentuk yang nampak sofistikated dan moden. Dalam banyak-banyak telefon bimbit yang aku pakai, paling aku suka adalah shape telefon bimbit Motorola Razr yang pesen lipat-lipat. Time aku pakai tu memang tengah in la ditambah pulak dengan warna hitamnya, nampak bergaya klepak-klepik bukak-tutup telefon tu.


Begitu juga masa nak membeli kereta buat pertama kalinya, aku turutkan jiwa muda aku beli honda sivic eg8 sebab shape dia yang sharp dan sporty tapi bersahaja. Walaupun masa aku beli tu aku bukan reti drive pun, tapi tak jadi masalah sebab aku suka  tengok shape dia kat tempat parking..nak drive tak reti lagi time tu. Kalau peminat kapal terbang dia suka simpan model kapal terbang, ada juga yang suka kapal laut, apa yang membuatkan kereta, kapal ni nampak menarik? Komposisinya? Bentuknya yang simetri ketika pegun dan dinamis dalam pergerakan?


Keindahan dan kegilaan terhadap bentuk-bentuk ni sebenarnya sudah lama, zaman-berzaman dan meliputi semua hal lain lagi. Keindahan bangunan-bangunan pun disebabkan shape dia, cantuman-cantuman bentuk yang mengasyikkan. Orang yang belajar ilmu senibina atau seni lukis mungkin boleh perjelaskan dengan lebih mendalam lagi, aku cuma seorang user yang berada di tengah-tengah keasyikan...apa yang aku boleh katakan, adunan bentuk-bentuk, garis dan waima saiz/ komposisi boleh membangkitkan mood dan suasana tertentu, kalau berjogging aku suka merentasi putrajaya sebab dapat melihat bangunan-bangunan kerajaan yang pelbagai bentuk.


Perkara ini membawa aku ke satu lorong masa, masa di sekolah di hari pertama kelas Geografi. Cikgu subjek geografi tu masuk kelas dengan muka serius. Beliau menceritakan sedikit sebanyak latar belakang beliau dan subjek geografi yang bakal diajarkan buat sekalian pelajar. Beliau kemudian meminta semua pelajar berdiri, siapa yang nak duduk perlu menjawab soalan beliau, tiada jawapan yang betul atau salah katanya.


“Bahagian apa yang menarik tentang seorang wanita?” merupakan soalan of the day. Soalan ni macam sains pun ye, macam art pun ye..tapi sejujurnya merujuk pada tubuh badan la. Lebih kurang 30 pelajar yang semuanya lelaki tiba-tiba terkaku nak jawab apa. Rasa nak jawab salah, tak jawab kena berdiri. Ke hulu hilir cikgu bawak rotan aju soalan kat pelajar. Dia bukan main-main, dia memang tanya secara serius. 5 minit pertama tu sorang pun tak menjawab. Rasa nak gelak ada, rasa seriau pun ada sebab cikgu ni menekan-nekan kaedahnya. “Kalau soalan semudah ini tak boleh nak jawab, apa lagi soalan-soalan geografi yang lebih kompleks pasal bentuk mukabumi, hutan dan sebagainya”.


Sehinggalah dah letih berdiri, sorang-sorang mulalah menjawab dan dapat duduk. Bila tengok member senang hati dapat duduk, member lain pun mulalah cari jawapan. Yang payahnya cikgu ni taknak jawapan yang sama. Kalau member dah jawab, kau kena cari jawapan lain. “Banyak lagi jawapan lain” katanya. So kalau kau dah terfikir jawapan tu lebih baik angkat tangan segera sebelum orang lain jawab, sebab makin lama jawapan yang diberi akan semakin mendalam dan seram. Dia punya seram sampai laju budak-budak ni angkat tangan, sampai hujung-hujung tu dah krik-krik.


Ada jawapan yang buat member tersengih, gelak, merahpadam, yang jawab awal-awal tu bolehlah bagi jawapan tak jujur dan harmles seperti hidung, cuping telinga atau lutut. Tapi masih kena elaborate. Kalau jawab dahi, cikgu tanya “Dahi? Kau tengok perempuan punya dahi kau rasa menarik? Dahi yang macam mana menarik, macam mana tak menarik? Kalau dahi licin menarik lah?”.Jawapan nak melepaskan diri je. 


Bentuk-bentuk sememangnya memainkan peranan secara signifikan dalam hidup manusia. Secara visual mahupun rohaniah. Terpulanglah pada anda mahu memandang dari sudut mana.


Nak tahu jawapan aku?


Aku orang pertama sekali duduk.



Note: masa kecik dulu aku suka main tanah liat, paling cemerlang kalau aku buat bentuk cacing atau ular. Kalau ular tu kena gulung lebih sikit daripada cacing pastu bubuh mata.

 Pagi tu aku melalui satu perjalanan LRT yang agak panjang dan mendebarkan. Tidaklah seperti Train To Busan yang dipenuhi aksi cemas bersama zombi-zombi, namun perjalanan untuk menemui potential ibu mertua buat pertama kali tidak kurang cemas juga. Literally panjang sebab begitu banyak stesen yang perlu dilepasi, illiteraly sebab begitu banyak cemas yang menghantui. Aku rasa macam too soon, tapi makwe dah aturkan perjumpaan, jadi aku kena mengambil peluang yang telah dibuka.


Takde watak lain yang aku boleh bawak pada hari kejadian, watak yang aku pegang ni memang watak semulajadi aku. Jika diberikan sedikit lagi masa, mungkin aku boleh menambahbaik watak kepada lelaki yang lebih menyakinkan. Namun tak banyak perkara berada di dalam kawalan aku, tibalah aku di stesen yang terakhir sebagai lelaki berkerusi roda, tinggal di rumah sewa, kereta 2nd hand, kerja secara kontrak dan pemalu orangnya menuju ke rumah bakal atau potential ibu mertua.


Sampai di stesen lrt, aku dan makwe mengambil teksi untuk ke rumah ibunya pula. Sekarang aku tak faham kenapa tak naik je kereta terus ke sana, kenapa perlu naik teksi macam filem masam masam manis. Boleh jadi pada masa tu aku masih tak cekap memandu ke kawasan rumah tu, malas memandu, cemas memandu, atau mungkin nak jimat kos. Arguments ini sudah kabur pada aku sekarang seperti tv 80-an.


Setibanya di rumah potential ibu mertua, aku menunggu di perkarangan bawah rumah. Di situ seingat aku ada kerusi batu untuk duduk-duduk. Makwe naik ke atas untuk menjemput ibunya turun ke bawah. Ya, disebabkan aku dah dikenakan PKPSH perintah kawalan pergerakan, maka aku tak dapat naik tangga ke rumah mereka yang berada di tingkat 1. Usaha tangga kejayaan, metaphor yang kejam untuk aku. 


Minit-minit awal pertemuan kami, potential ibu mertua nampak ramah tapi sedikit hiba di balik senyuman. Kemudian matanya berkaca-kaca, dalam sendu sambil mengelap air mata dia bertanya sama ada aku betul serius nak kahwin anak dia. Dari perbualan kami, aku mendapati dia tak yakin dengan hubungan kami yang masih baru-baru, atau dengan kata lain, secara tersiratnya dia pun was-was anak perempuan dia mampu untuk menangani ranjau perhubungan yang mahu dinaik pangkat. Teruskan mengenal hatibudi supaya lebih jelas dalam membuat keputusan  adalah nasihat beliau, aku sebenarnya setuju benar.


“Tapi rupa tu ada” kata beliau. Aku bingung sekejap tidak pasti dengan apa yang dimaksudkan dengan rupa. Melihat aku seperti confuse, dia menunjuk pada bahagian muka dan ulang “Rupa, rupa..rupa ada” katanya. Ok baru faham, dia kata aku ada rupa, masa tu aku dalam rasa bercampur baur sama ada nak gelak nak riak atau aku perlu angguk-angguk tanda setuju. Kalau orang cakap dalam situasi santai mungkin kita boleh anggap ianya seloroh, tapi moment ni adalah sangat cemas dan aku perlu ambik serius hal ni. Moment dia kata rupa ada tu aku ter-rekod dalam filem minda aku dalam forrmat 4k ultra HD, sangat jelas dan mengesankan. Walaubagaimanapun. aku mengambil jalan selamat dengan berdiam dan tidak keluar dari babak hiba yang sedang berlangsung.


Dalam pada kelihatan hiba dan berat tu aku fikir mungkin sukar lah untuk dia terima, tapi sempat juga dia suruh anak dia bawak turun album-album gambar bagi aku tengok. Jadi peluang masih 50-50, which is cukup baik dah tu.


Aku sebenarnya tak expect untuk diterima ramah . Melihat diri sendiri di cermin pun aku sedar aku bukan siapa-siapa, malah kebanyakkan cermin pun aku tak dapat lihat diri aku sebab cermin diletakkan agak tinggi, aku yang duduk ni biasa nampak dahi aku je, malah dahi aku pun tidaklah seksi sangat untuk dibelek-belek. Expectation aku pada pertemuan tu hanya mahu perkara ini jelas, aku bersedia untuk hard atau soft rejection tanpa berasa offended. Biar kita tahu awal-awal.  Kalau nak tahu true colour, show them at your lowest point.






Ayah aku tolak wheelchair aku ke tempat menunggu. Hospital macam biasa, penuh dengan orang yang menanti nombor giliran. Dari nombor yang tertera di kertas yang dicabut tu, rasanya 2-3 jam lagi baru sampai giliran aku, itu sudah menjadi kebiasaan bagi aku setahun sekali atau setahun dua kali bergantung pada temujanji yang ditetapkan pihak hospital. Rutin ni dah aku lalui sejak aku berumur 6 tahun. Aku sebenarnya tak tahu mende, semuanya diurus-selia oleh ayah aku, aku hanyalah seorang budak yang comel.


Selepas itu ayah aku akan hilang dalam 10-15minit , meninggalkan aku setia melihat nombor di skrin bertukar-tukar dalam gerak perlahan. Mata mulai mengantuk. Aku melihat-lihat pesakit lain , yang tua yang muda semua menanti nombor, yang berkerusi roda kaki bersimen, yang bertongkat, yang tangan leher bersimen, yang  berikat dengan beg urin, aku renung beg urin beliau makin penuh , kalau ditambah air batu memang tak tumpah macam teh O ais lemon. Zaman tu mana ada telefon pintar, merenung urin beg sedikit sebanyak menghilangkan bosan.


Tak lama kemudian ayah aku kembali, dengan suratkhabar dikepit di ketiak. Ini adalah aktiviti yang paling aku suka dan nanti-nantikan setiap kali ke hospital, iaitu membaca suratkhabar. Tunggu 2 jam pun takpe asalkan ada suratkhabar. Ayah aku akan beli sama ada Utusan atau Berita Harian, ada masanya dua-dia dia beli. Ada jugak roti-roti buat sarapan.


Sehinggalah apabila nombor giliran sampai, kami pun segera ke bilik doktor. Kebiasaannya tak ada apa pun yang berlaku. Doktor akan membuka dan menyemak laporan demi laporan kemudian memeriksa keadaan semasa. Doktor-doktor sebelum ini secara ringkas akan memberi tarikh temujanji seterusnya dengan kata-kata terkandung harapan untuk progress yang positif untuk aku. Sehinggalah pada hari itu, doktor lelaki tersebut seakan memberi perspektif baru kepada kes aku.


Dengan jelas doktor mengatakan apa yang aku alami adalah permanent. Melainkan dunia perubatan menjumpai simpang baru untuk diteroka, ianya akan kekal permanent. Ayah aku seakan tidak dapat menelan perkataan permanent tersebut. Mungkin kerana sebelum-sebelum ini doktor lebih diplomatikal mengatakan akan ada progress positif, tapi kali ini lain pula cerita. Perjumpaan itu meleret lebih panjang dari biasa, kalau sebelum ini ayah aku hanya mendengar tapi kali ni nampak ayah aku macam cuba bersoal dan melawan, doktor tersebut tidak putus asa memberitahu fakta-fakta dan kenyataan. Moment ini adalah pedih untuk aku saksikan, seorang ayah yang ingin melawan namun mahu tidak mahu, kenyataan itu   datang tanpa disclaimer “Boleh dikembalikan jika tidak suka”.


Aku hanya diam di sebelah ayah aku dan di depan doktor, seperti pesalah yang dijatuhkan hukuman mandatori. Kalau dikontemporarikan mengikut acuan semasa, doktor mengatakan “ Anak encik telah dikenakan PKP Perintah Kawalan Pergerakan sepanjang hayat, akibat daripada kemalangan tu, kalau sebelum ni mungkin PKP kami rasa sampai tempoh masa tertentu saja sebab kami nak perhatikan jika ada sebarang progress, tapi nampaknya apa yang saya boleh katakan sekarang adalah PKPSH perintah kawalan pergerakan sepanjang hayat”.


Pada aku pada masa tu aku rasa nak balik je, dalam hati its okay its okay, i just wanna go home,its not so bad..not so bad..i just wanna go home and watch dragon ball please, i cannot handle this new emotion spectrum that i never know exist. 


Tapi pada ayah aku dia masih belum mahu keluar dari bilik doktor, sementara di meja doktor sebelah sudah bertukar 3-4 pesakit, kami masih di situ tersekat kenyataan dikerongkong, mungkin ayah aku sudah melihat membayangkan ke depan perjalanan hidup aku yang tak boleh berjalan. Perintah kawalan pergerakan yang dikenakan atas aku, pastinya bukan mudah. Dalam kepala aku pada masa tu hanya ada satu perkara - kerusi roda. Aku bayangkan aku 5 tahun ke depan, 10 tahun ke depan, 20 tahun ke depan..setiap bayangan aku ada bersama kerusi roda, tiada bayangan aku berdiri tersenyum dengan pandangan mesra.


Aku masih lagi dalam taman emosi dan fikiran aku sendiri, sukar untuk meneka apa pula di taman ayah aku. Mungkin selepas keluar dari bilik itu ayah aku ada menepuk bahu aku, aku agak kabur, sudah hilang dalam taman sendiri. Perjalanan pulang ke rumah hanya sepi tanpa kata-kata, mungkin bukan kata-kata yang diperlukan, mungkin hanya sepi dan sunyi lebih mengubati,  sarapan pagi tadi sedikit sebanyak memberi kekuatan untuk menerima kenyataan. 


Aku tak pasti sama ada ianya lebih teruk untuk ayah aku, atau untuk aku. Pastinya empati aku pada ayah aku datang kemudian. Sekarang kalau ada rakan sekerja yang anaknya demam misalnya, dorang akan susah hati kat tempat kerja, ada jugak anak yang masuk hospital atas sebab-sebab tertentu, bila kita tanya je boleh rasa kehibaan yang berat pada jawapan yang diberikan. Emphatically, multiply it, pastinya tidak mudah untuk ayah aku yang anaknya kena PKPSH secara kontemporarinya. Ini lebih sakit dari dilanggar kereta, literally. Yes literally, illiterally, motherfuckingly. 


But thats just the beginning of me la, fast forward after 20plus years on another story, mak aku pulak yang didiagnos cancer. Ayah aku sekali lagi berlawan dengan laporan yang menyulitkan tu dari bilik doktor. Dipendekkan cerita, ayah aku bawak mak aku pulak ke setiap appointment saban tahun. Untuk mendengar dan membaca segala laporan / temujanji yang pahit tu tentunya seakan de-ja-vu dan memerlukan seseorang yang berjiwa berani. Bukan macam aku, rumah bersepah pun rasa nak depresi. Semoga pahala berterusan dicatat di dalam buku laporan beliau untuk dibentangkan di temujanji akhir. 

 

Masa sekolah dulu ada seorang cikgu kaunseling baru berpindah ke sekolah aku. Bila dia masuk kelas aku dia pun memperkenalkan latar belakangnya dibidang kaunseling dan menjemput semua pelajar untuk datang ke bilik kaunseling sekolah jika dirasakan perlu sesi kaunseling.


Sebelum cikgu kaunseling beredar, dia sempat berbual dengan aku. Selaku orang yang mendalami ilmu psikologi, pattern soalan-soalan dia agak lain sikit, soalannya akan go deeper dengan term yang spesifik. 


Seingat aku soalannya menyentuh pada keadaan aku, perasaan aku pada keadaan aku, sama ada aku ada menyimpan rasa marah pada orang yang melangggar aku dan menyebabkan aku mengalami spinal cord injury level apantah aku tak ingat. Soalan-soalan ini diulang banyak kali, mungkin untuk trigger satu pendedahan emosi dari aku, bila dia tak dapat apa yang dia expect dia ulang semula soalan, paraphrasing dan tanya semula, tapi aku beri jawapan yang sama dan membosankan, jawapan yang aku rasa tak challenging untuk seorang cikgu baru yang berkobar-kobar mahu membantu pelajar dari aspek psikologi dan mencari bugs dalam kepala aku.


Jawapan aku ringkas, aku jawab sepatah-sepatah tapi memang itu sajalah jawapan aku yang masih budak-budak. Tapi bila aku filir balik, kalau ditanya semula soalan tu pada Fendi yang sekarang, jawapan aku rasanya tetap sama, cuma nada saja je mungkin lebih sarkastik bercampur komedi, intipati jawapannya tetap sama. Soalan-soalannya aku dah tak berapa ingat setiap satunya dengan spesifik, walaubagaimanapun, dengan kata lain, soalannya berkenaan mental dan emosi aku, sama ada aku ada menyimpan rasa dendam atau kesedihan dengan apa yang berlaku.


Soalan pesen begini memang jarang atau tak pernah muncul depan muka aku. Aku tahan dari terus menjawab tidak. Aku imbas bank memori aku , lepas abis scan aku jawab “Takde”. Bila soalan yang lebih kurang sama ditanya, aku tahan untuk terus menjawab, aku pandang ke siling kelas, pandang ke lantai jika ada jawapan lain yang boleh diberikan, tapi takde, jawapan aku masih “takde”. 


Aku lihat muka cikgu macam tak puas. Aku dalam hati masih tertanya-tanya betul ke takde. Sambil merasa pelik, kenapa takde..harus ada ke? Kemalangan tu menurut doktor telah mencederakan saraf tunjang aku , tapi setakat ni doktor tidak pernah merawat emosi dan perasaan aku, itu mungkin kesan sampingan. 


Mungkin akan ada, tapi aku masih belum mengalaminya. Mungkin pada usia awal itu, aku belum berdepan dengan kekecewaan gagal temuduga kerja, kesukaran meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi, penolakan cinta oleh makwe-makwe atau tidak boleh menendang bontot orang yang membuang sampah dari tingkap kereta. Jika itu semua aku alami, mungkin jawapan aku pada cikgu “ya, begitu tebal dendam saya kalau diletakkan dalam ASB, saya dah tak perlu bekerja makan gaji lagi”. Aku fikir begitulah, percubaan menjadi realistik memang aku dah praktik sejak muda.


Tapi sangkaan aku silap sebenarnya. Sampai hari ni aku tidak jumpa jawapan yang lain. Dilanggar kereta di awal usia 6 tahun, naik atas kereta pastu jatuh semula ke atas jalan raya, sedar-sedar aku dah ada kat atas katil, bukak mata aku nampak dinding yang dihiasi dengan lukisan kartun binatang-binatang macam wad kanak-kanak tu, since then aku dah tak berjalan melainkan pernah berjalan dalam mimpi pastu alien datang aku pun berlawan dengan alien tersebut..tapi itu cerita lain. Kemalangan itu tidak mendatangkan sakit atau sedih, aku boleh lalu semula jalan di mana kejadiaan itu berlaku tanpa ada rasa sebal pun. Cuma ada satu peristiwa yang lebih sakit dan sedih lagi dari peristiwa kemalangan tu.

 Tahun 2020 dah kita tinggalkan, tapi aku rasa macam kentut tak lepas je 2020 ni, banyak perkara yang macam tak habis, macam patut ulang balik pun ada , yang dah lepas tu 2020 A dan tahun ni 2020 section B, macam kaset gitu.


Sekadar nak sebut beberapa perkara.


Tahun 2020 ni tahun aku buat eksperimen dengan pepokok. Maksudnya aku tiba-tiba berminat dengan pokok-pokok. Asalnya bila PKP dan WFH, rasa macam nak upah orang cat dinding bagi ada life sikit, bubuh wallpaper berimejkan pokok-pokok atau air terjun. Lepas tu bila dah beli pokok, rasanya ada pokok sebenar lagi nampak alive.


Pokok-pokok awal yang aku ada terdiri dari beberapa spesis yang berlainan. Aku baca-baca sikit pasal penjagaan mereka dan sebagainya. Setelah ada beberapa pokok yang kiok, ada juga yang macam tak ngam dengan aku. Akhirnya ada beberapa spesis yang aku suka dan sesuai dengan citarasa aku yang juga sesuai dengan cahaya serta kelembapan area di rumah aku. Tapi yang bukan favourite pun aku jaga sebab suka kepelbagaian flora dan fauna. Antara yang aku suka adalah sansevieria, aglaonema dan ati-ati.


Budget nak cover untuk pokok-pokok ni boleh dikatakan convert dari budget pelancongan la. Sepatutnya sepanjang PKP tu aku akan ke negeri Melaka, Kedah, Negeri Sembilan dll untuk marathon tapi sebab Covid maka tundalah. Sedikit sebanyak ada pokok-pokok di rumah ada lah fefeling lepak outdoor, menangani isu mental block secara tak langsung.


Aktiviti Marathon sepanjang 2020 kira tak dapat dilaksanakan. Aku kalau takde marathon ni memang tak berapa nak aktif, aku daftar marathon pun sebab nak dijadikan pushing factor untuk kekal fit. Walaubagaimanapun, turn out taklah begitu down sangat, sebab masih boleh bersenam di rumah secara ringkas dan 3 -4bulan awal tu pemakanan aku agak bagus juga, sampaikan pengambilan air teh ais teh o ais kurang sebab tak lepak mamak kan. Cuma bila masuk 2nd part of PKPB tu aku dah mula selesa dengan grabfood, semua kedai aku nak cuba.


Awal PKP aku memang rajin baca buku, lepas 4-5 buku, aku bertukar arah kepada drama dan filem Korea pulak. Begitulah kisahnya, tiada yang kekal dalam dunia ini, esok kau rasa kerja kau stabil tapi lusa tiba-tiba dunia berbolak terus kena tukar kerja lain. Hari ni kau rasa badan kau sihat, esok dunia berbalik datang pulak virus merapu-rapu terus ramai jatuh sakit. Hari ni kau paling excited bila masuk kedai game, esok lusa paling kau excited adalah masuk nurseri tengok pokok. 


Pedoman 2020, what matters is not what was achieved this year 2020,  but who what we still have by our side.


 Sekejap je dah 2021, terasa seperti baru semalam 2020.





Next PostNewer Posts Previous PostOlder Posts Home